Thursday, February 03, 2011

JIKA ANDA HIV POSITIF DAN JUGA SEORANG DIABETIK




Oleh: Prof. Emeritus Datuk Mustaffa Embong (Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara) (NADI)

Ana, dalam usia 50-an, sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai seorang ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat.Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu beliau hendak ke pejabat, ana mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu merebak ke lengan kiri dan akhirnya beliau terus tidak sedarkan diri.

Apabila beliau pulih dan sedar semula, ana mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Ana, anda telah mengalami serangan jantung. dan anda juga ada menghidapi diabetes yang tidak terkawal. Serangan jantung adalah satu komplikasi kebiasaan akibat daripada penyakit diabetes yang tidak dirawat,” terang doktor.

Kisah ana ini adalah lazim bagi kebanyakan mereka yang menghidap diabetes tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Pada suatu hari nanti, mungkin dengan secara tiba-tiba sahaja, mereka diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung. Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka akan bergegas berjumpa doktor di mana mereka akan diberitahu bahawa apa yang telah mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala komplikasi diabetes.

Diabetes, yang biasanya dikenali sebagai ibu kepada semua jenis penyakit, merupakan keadaan di mana anda mempunyai terlalu banyak glukosa dalam darah dan ini akan juga mengkucar-kacirkan paras kolesterol darah serta tekanan darah anda.

Walaupun buat masa ini diabetes masih belum ditemui penawarnya, namun penyakit ini boleh sempurna dikawal. Sebaliknya, jika tidak dikawal dengan baik, diabetes boleh membawa kepada pelbagai komplikasi termasuk pada saluran-saluran darah kecil (mikrovaskular) dan komplikasi makrovaskular.

Komplikasi makrovaskular merupakan penyakit-penyakit saluran darah besar (tiub-tiub berongga yang membawa darah ke organ-organ dan tisu-tisu) yang disebabkan oleh paras glukosa darah, paras kolesterol darah dan tekanan darah yang tinggi – tiga faktor risiko yang biasa terdapat pada penghidap diabetes.

Komplikasi-komplikasi makrovaskular yang lazim:
Tiga komplikasi makrovaskular yang paling lazim akibat diabetes adalah penyakit jantung koronari, strok dan penyakit arteri periferi (pad).

Penyakit jantung koronari & strok.
Penyakit jantung koronari atau penyakit arteri koronari (cad) adalah bentuk penyakit jantung yang paling lazim dihidapi oleh mereka yang menghidap diabetes yang tidak dikawal. Ia berlaku apabila pengaliran darah melalui arteri koronari (jantung) tersekat akibat pengumpulan enapan lemak (suatu keadaan yang dipanggil aterosklerosis).

Enapan lemak (atau plak) ini terbentuk akibat kecederaan pada bahagian lapisan dalam dinding arteri yang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kolesterol darah tinggi, tekanan darah tinggi serta penyakit-penyakit seperti diabetes.

Enapan-enapan lemak ini akan menyempitkan arteri-arteri dan mengakibatkan jantung anda kurang menerima darah. pengaliran darah yang semakin berkurangan ini boleh mengakibatkan sakit dada (angina), sesak nafas atau gejala-gejala lain.

Penyumbatan saluran darah ke jantung mungkin akan menyebabkan anda terkena serangan jantung. Jika saluran darah ke otak anda tersumbat, maka anda mungkin akan terkena serangan strok.

Penyakit arteri periferi (pad)
Pad adalah lebih kurang sama dengan penyakit jantung koronari tetapi ia berlaku apabila plak terbentuk dalam arteri-arteri yang membekalkan darah ke kaki. Enapan lemak akan terkumpul pada bahagian lapisan dalam dinding arteri kaki, menyempitkan arteri-arteri serta mengurangkan pengaliran darah ke kaki anda.

Ini akan mengakibatkan sakit kaki terutama sekali semasa berjalan. anda juga akan lebih mudah mendapat jangkitan dan juga ulser pada kaki. Jika tidak dirawat, pad boleh menghentikan terus bekalan darah hingga menyebabkan tisu-tisu pada jari-jari kaki dan kaki mati serta mengakibatkan gangren kaki. Dalam kes-kes yang lebih teruk, kaki anda mungkin terpaksa dipotong.

Oleh itu, jika anda ada mengalami sakit kaki semasa berjalan; rasa kebas di kaki; ulser pada jari-jari kaki atau kaki yang sukar sembuh; maka anda dinasihatkan agar segera berjumpa doktor kerana kesemua ini mungkin merupakan gejala-gejala pad.

Langkah-langkah untuk mencegah komplikasi makrovaskular.
Walaupun menghidap diabetes, ini tidak pula bermakna yang anda terpaksa menderita akibat komplikasi makrovaskular sepanjang hayat anda. Anda berupaya mengambil langkah-langkah mencegah atau melambatkan daripada berlakunya komplikasi dengan menguruskan dengan sempurna diabetes anda. Berikut adalah beberapa cara-caranya:

Mengetahui paras-paras anda:
Anda perlu menguruskan ketiga-tiga faktor risiko komplikasi makrovaskular: Paras glukosa darah, tekanan darah serta lipid (lemak) darah anda.

Berjumpalah doktor untuk mengetahui paras-paras terkini anda. Kemudian, bekerjasamalah dengan doktor anda untuk menghasilkan satu pelan bagi memastikan ketiga-tiga faktor risiko ini sentiasa berada dalam lingkungan paras yang sihat:

Kekalkan paras glukosa darah anda.
Bacaan yang disyorkan iaitu 4 – 6mmol/l semasa berpuasa dan di bawah 8 mmol/l selepas makan. Satu cara yang baik untuk memeriksa sama ada pengawalan glukosa darah anda adalah baik ataupun sebaliknya dalam masa 2 atau 3 bulan yang lepas, ialah dengan mendapatkan doktor anda memeriksa paras hba1c (Kompleks hemoglobin berglukosa) anda. Paras hba1c yang sihat adalah di bawah 6.5 peratus.

Kekalkan tekanan darah anda pada 130/80 mmhg atau rendah.
Untuk lipid darah pula – kolesterol dan trigliserida – matlamat anda adalah untuk mengekalkan lipoprotein berketumpatan rendah (ldl) atau kolesterol jahat kurang daripada 2.6 mmol/l, lipoprotein berketumpatan tinggi (hdl) atau kolesterol baik lebih daripada 1.02 mmol/l (lelaki) atau lebih daripada 1.3 mmol/l (wanita) serta trigliserida anda pula (satu lagi bentuk lemak jahat) di bawah 1.7 mmol/l.

Mengambil diet yang sihat
Diet yang sihat serta tabiat makan yang baik adalah sangat penting untuk menguruskan diabetes anda. Makanlah diet yang seimbang serta pelbagai yang mengandungi serat tinggi dan rendah lemak serta kurang minyak.

Elakkan memakan makanan mengandungi lemak tepu, lemak trans serta makanan yang berkolesterol tinggi.

Ada baiknya juga jika anda langsung tidak minum minuman beralkohol tetapi jika dirasakan perlu, minumlah dalam kuantiti yang sederhana.

Dapatkan pakar diet untuk menyediakan suatu pelan diet yang praktikal yang dapat membantu anda untuk mengekalkan paras glukosa darah, tekanan darah serta paras lipid darah pada paras yang sihat.

Gerakkan badan anda
Aktiviti fizikal yang sederhana cergas seperti berjalan pantas atau berjoging selama sekurang-kurangnya 30 minit untuk tiga kali seminggu akan membantu menurunkan paras glukosa darah serta lipid yang tidak baik dalam darah dan juga akan membantu meningkatkan jumlah kolesterol hdl yang baik.

Ia juga akan menguatkan jantung, membantu dalam penurunan berat badan serta mengekalkan berat badan yang sihat dan menggalakkan pengedaran darah.

Lakukan kerja-kerja rumah dengan lebih bertenaga, basuh kereta anda sendiri, lakukan kerja di halaman rumah anda dan lebih banyak berjalan (walaupun di pejabat).
Anda boleh mula menjalankan senaman aerobik secara kerap seperti berbasikal, berenang atau bersukan, jika dibenarkan oleh doktor.

Tolong jangan merokok
Merokok akan mempercepatkan pembentukan plak dan boleh menyempitkan saluran darah anda serta merta. Ini akan menyukarkan pengaliran darah ke organ-organ penting seperti jantung dan otak anda.

Merokok bukan sahaja mempunyai kesan yang buruk pada diri anda tetapi juga terhadap orang tersayang anda.

Belajar untuk relaks
Berusaha untuk relaks atau bertenang (bagi fikiran serta juga tubuh anda) menerusi meditasi atau sembahyang kerana ia dapat membantu pengawalan tekanan darah anda serta mungkin juga akan memperbaiki kawalan paras glukosa dan kolesterol darah anda.

Mengambil ubat-ubatan
Jika anda sedang mengambil ubat-ubatan, maka pastikan anda mengambil ubatan seperti mana yang dinasihatkan oleh doktor anda.

Jangan menukar ubat- ubatan atau dosej dengan sendiri atau terus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan melainkan telah disuruh oleh doktor.


Dapatkan pemeriksaan doktor
Kerap mendapatkan pemeriksaan doktor. Doktor dan penjaga kesihatan anda yang lain (seperti pendidik diabetes atau pakar diet) akan membantu memastikan anda menguruskan diabetes (serta tekanan darah dan kolesterol darah) dengan baik.

Jika mereka mendapati paras anda tidak berada dalam lingkungan yang sihat dan anda berisiko tinggi akan terkena komplikasi makrovaskular, maka mereka akan segera membantu untuk menyelaraskan pelan penjagaan diabetes anda untuk lebih sempurna.

Pemeriksaan doktor yang kerap akan menjadi lebih penting jika anda sudah pun mengalami komplikasi makrovaskular.

Jika demikian, kumpulan penjaga kesihatan anda akan membantu anda menguruskan komplikasi anda untuk mencegahnya dari menjadi lebih teruk lagi.

Kebaikan serat larut
Paras glukosa darah yang tidak dikawal dengan baik digandingkan pula dengan paras kolesterol darah serta tekanan darah yang tinggi boleh merosakkan saluran-saluran darah dan akhirnya akan mengakibatkan komplikasi- komplikasi mikro dan juga makrovaskular.
Satu cara bagaimana anda boleh menguruskan paras glukosa darah anda ialah dengan meningkatkan pengambilan serat.

Serat larut, yang banyak terdapat dalam oat, barli, legum serta sesetengah roti yang dirumus khas, boleh membantu menstabilkan paras glukosa darah anda dengan memperlahankan proses pencernaan serta penyerapan.

Justeru, glukosa dalam makanan yang dimakan akan mengambil masa yang lebih lama untuk memasuki aliran darah. Ini akan mencegah paras glukosa darah daripada menaik secara mendadak.

Serat larut (terutama sekali beta-glukan) telah terbukti secara klinikal mampu menurunkan paras kolesterol darah dengan memerangkap asid-asid hempedu (yang mengandungi kolesterol) di dalam saluran pencernaan.

Selepas itu, asid-asid ini akan dibuang bersama bahan-bahan buangan tubuh anda mengakibatkan hanya sedikit sahaja kolesterol yang akan diserap balik ke dalam aliran darah anda. Ini memberikan kesan penurunan secara keseluruhan terhadap paras kolesterol darah anda.

Mahukan tip untuk mencegah diabetes dan penyakit jantung?

Penyakit jantung merupakan satu daripada komplikasi makrovaskular yang utama akibat pengawalan diabetes yang tidak baik.

Jika anda tidak menghidap diabetes, maka anda patut mula mengambil langkah-langkah secara proaktif untuk mencegah diabetes agar tidak terkena penyakit jantung atau komplikasi-komplikasi diabetes yang lain yang boleh membawa maut.

Bagi mendapatkan tip-tip untuk mencegah diabetes, satu penyebab utama penyakit jantung, sila hubungi sekretariat menangani wabak diabetes (fad) di talian 03-78761676/1677 untuk mendapatkan naskhah percuma buku kecil sayangi jantung anda, cegah diabetes.


Artikel ini adalah sumbangan program menangani wabak diabetes fasa 2 (penjagaan jantung) yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI) dengan usahasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia. Program ini disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada roti Gardenia Breakthru. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi NADI di talian: (03) 7876 1676.