Wednesday, February 23, 2011

PESAKIT HIV MEMANG HINA DAN PENGECUT!


Amboi… dahsyatnya tajuk! Mesti ramai yang marah, kan? Silap-silap,  ada yang cakap aku mulut longkang.

Sabarlah, baca dulu sampai habis. Aku pun pesakit HIV, mustahil aku sanggup melemparkan tuduhan sebegitu. Cuma kadang kala ada individu yang perlu diprovok… Bila rasa tercabar, barulah nak bangkit. Kalau tak dicabar, sentiasa meratap dan merintih. Seolah-seolah beliau sahajalah yang paling malang dalam dunia ini.

Kalau masih berupaya, masih mampu berdikari, mempunyai pekerjaan dan mendapat sokongan keluarga, sudah-sudahlah bersedih. Meratap dan bersedih bukan boleh ubah apa-apa pun… (aku tak maksudkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan seperti mereka yang berada di pusat-pusat perlindungan)

Tentu kita masih ingat, di awal kemunculannya epidemic HIV dan AIDS dianggap seperti wabak syaitan. Mereka yang terbabit seolah-olah confirmed bakal isi neraka sama ada penagih dadah, pengamal seks bebas dan golongan homoseksual. Tiada ampun dan maaf, wabak mesti dijauhkan.

Bahkan ada yang sangat sinis sehingga AIDS dianggap akronim kepada Angkara Iblis Dan Syaitan. Mereka kata itu hukum karma dan penghinaan Allah sejak di dunia lagi.

Kempen-kempen supaya menghindari dan menentang penyakit HIV/ AIDS dijalankan cukup agresif dan digambarkan dengan cara yang mengaibkan. Ini penyakit orang berdosa. No way out! Tiada ubat, tiada penawar. Mati dalam keadaan hina sajalah yang layak untuk para pesakit. Semua pihak teruja menghukum bukannya membantu. Seolah-olah mereka penentu dosa dan pahala orang lain.

Maka ramailah yang sengsara dan menderita. Mereka umpama sampah yang tidak diperlukan. Jijik. Tiada siapa yang pedulikan resah gelisah, kebajikan dan taubat mereka. Rawatan yang ada sekadar sementara menunggu ajal. Siapa yang tak takut? Aku pun takut…

Masyarakat tidak mendapat maklumat yang tepat tentang HIV/ AIDS sebaliknya kempen kesedaran dijalankan secara songsang. Memang kempen tersebut sangat ‘berkesan’ tetapi kontranya pula apabila epidemic yang sepatutnya dapat dihindari menjadi musibah yang semakin meningkat dan tidak terkawal. Memang orang ramai takut tetapi takut dalam kedunguan. Akibatnya mereka lari melanggar segala tembok dan pokok atau terjun gaung.

Bukan itu saja, seluruh anggota keluarga mangsa turut menderita kerana stigma, diskriminasi dan judgemental yang sengaja dicipta atau digembar gembur secara ekstrem. Akhirnya satu dunia mewarisi kesan sikap panic dan tidak matang ini.

Inilah antara bukti kesilapan di kalangan professional yang telah merosakkan dunia dan ternyata media sangat berperanan dalam dalam isu tersebut.

Kemudian, perlahan-lahan dunia mula sedar bahawa mereka terlupa satu lagi dimensi, iaitu para pesakit yang teraniaya. Mereka adalah kanak-kanak dan isteri-isteri yang dijangkiti HIV melalui ibu bapa atau pasangan masing-masing termasuk mereka yang dijangkiti akibat pemindahan darah atau pun organ.

Pesakit yang baru didiagnosis sebagai HIV positif menghabiskan terlalu banyak masa untuk menyaring maklumat dan mencari kekuatan diri menentang stigma ini. Lebih malang, ada yang tidak mahu menerima rawatan akibat rasa malu, bersalah dan rendah diri.

Adakah anda mahu membiarkan perkara karut ini yang menjadi ‘tuan’ dalam hidup kita? Hina sangatkan kita sebagai pembawa virus? Jika anda mengatakan TIDAK dan tidak mahu keluarga turut menderita akibat kelemahan sendiri, bangkitlah.

Usah biarkan mereka yang keliru mengelirukan kita. Aku tak mahu menjadi dua kali ganda bodoh daripada mereka. Jangan jadi pengecut!. (Maaf ya!)

Dapatkan rawatan dan jalani kehidupan seperti biasa. Kasihanilah anak-anak, isteri-isteri, suami dan keluarga anda. Mereka menjadi mangsa stigma yang kita cipta sendiri.

Apakah bezanya kita dengan pesakit-pesakit kronik lain? Setiap penyakit tersebut mempunyai komplikasinya sendiri. Tidak kurang ngeri dan dahsyatnya. Bahkan adakalanya penderitaan dan jangka hayat mereka jauh lebih pendek. Jadi benarlah bahawa, ketakutan kita hanya kerana kita percaya apa yang orang kata.

Hina sangatkan kita dengan kesilapan-kesilapan lampau? Adakah hanya kerana kesilapan tersebut bermakna kita sahajalah sehina-hina makhluk?

Aku berikan situasi:

1.             Seorang tokoh ‘terhormat’ mati akibat serangan jantung semasa mabuk di sebuah pusat perjudian sambil ditemani wanita simpanan.
2.             Seorang pesakit AIDS, bekas gay yang mati akibat penyakit TB dalam keadaan bertaubat dan mencari keredhaan Ilahi.

Kematian cara mana yang menjadi pilihan?

Tidak kira siapa pun kita, apa saja jenis kesilapan lampau, sejarah tidak mungkin dapat diubah. Insaf dan memperbaiki segala kesilapan adalah sebaik-baik pengakhiran. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. [az-Zumar: 53-54]

Usahlah terlalu difikir tentang bagaimana berakhirnya perjalanan kita. Fokus terhadap baki kehidupan yang masih ada. Hina dan mulianya kematian kita adalah pada pandangan Allah, bukannya manusia. Berdoa dan bertawakkallah kepada Allah kerana hanya Dia lah yang Maha Membantu. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hanya pada Allahlah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar beriman." [al Maaidah: 23]

Bersyukurlah kerana Allah masih sudi memberikan kita peringatan walaupun pernah melakukan berbagai kesalahan atau pun dosa. Firman Allah yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” [al-Ankabut ayat 2-3]

Bangkitlah wahai teman, hulurkan tanganmu kerana aku sedia menyambutnya. Aku pun sebenarnya takut tapi kita perlu menentang bukannya menyerah.


AHP: Tatacara pengurusan apa jenis kematian yang disebabkan epidemic memang memerlukan prosedur khusus. Setakat ini, tatacara pengurusan jenazah pesakit H1N1 lebih teliti daripada pesakit AIDS kerana kumannya lebih tegar dan cepat merebak.

Adakah kematian pesakit H1N1 ini dianggap hina? TIDAK! Walaupun mungkin individu terbabit sehingga ke hujung nyawanya sentiasa bergelumang dengan dosa dan noda terhadap agama serta negara.

Apa sangatlah jahatnya seorang penagih dadah? Paling tinggi pun meragut dan mencuri untuk mendapatkan bekalan dadah… tak pernah pula aku dengar penagih dadah ditangkap kerana makan rasuah berjuta-juta!