Wednesday, February 02, 2011

LENYAPKAN STIGMA MASYARAKAT TERHADAP PESAKIT HIV

Oleh IZRA ABD RAHMAN
“SAYA tak malu dengan awak, jadi awak tak perlu rasa malu atau rendah diri.” Ayat keramat itu sering diulang Muhamad Abdullah, 34, kepada penghuni Darul Ukhuwah setiap kali dia membawa mereka ke majlis kemasyarakatan dengan harapan ia mampu membina kembali keyakinan mereka.
Sebagai tonggak utama penubuhan Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Muhamad bersama Yayasan Al-Ijabah mempunyai misi yang cukup ringkas namun mampu memberi 1001 makna terhadap pesakit Aids/HIV terutama yang disisih keluarga.
“Saya mahu mereka diterima dan masyarakat sedar mengapa golongan ini perlu diterima,” ucapnya ketika ditemui Mingguan mStar.
Muhamad atau lebih popular dengan sapaan Ustaz Amin terlibat dengan kerja kebajikan sejak 2003. Dia pernah ke Pakistan dan Indonesia bagi membantu mangsa bencana di sana.

Muhamad Abdullah

Pada 2005 pula, Rumah Anak Yatim Dan Tahfiz Al-Ijabah ditubuhkan dengan jumlah penghuni seramai 80 orang.
Berbicara tentang Darul Ukhuwah yang mula beroperasi pada Ogos 2009, idea menubuhkannya timbul selepas Muhamad memberi ceramah kepada 14 pesakit HIV Muslim yang berlindung di sebuah penempatan pesakit HIV di Batu Arang, Selangor yang dikendalikan oleh pekerja kebajikan beragama Kristian.
“Sesi ceramah akhirnya jadi sesi suai kenal sahaja. Nak bagi ceramah apa? Islam dan kasih sayang?
“Kalau topik itu, kenapa bukan kita yang jaga mereka?,” katanya yang mengaku tergamam pada masa itu.
Melihat senario itu, tiada rasa marah di hati Muhamad, baik kepada keluarga pesakit, mahu pun kepada masyarakat yang menganggap pesakit HIV sebagai golongan yang tidak wajar dibantu.
Mempunyai sarjana dalam bidang Undang-Undang Syariah dari sebuah universiti di Mesir, dia sedar dengan kemarahan dan menyalahkan antara satu sama lain, nasib pesakit Aids/HIV tidak akan terbela.
Justeru, dia bertindak segera menubuhkan sebuah penempatan berkonsep sama, tetapi menggunakan pendekatan lebih Islamik.
“Saya tak nafikan dulu kita pernah terlepas pandang terhadap mereka. Tapi kita tak perlu marah dengan sesiapa. Saya pun tak marah dengan masyarakat.
“Sebab itu misi kita mahu bantu masyarakat supaya lebih faham kenapa pesakit HIV tak patut dipinggirkan,” jelasnya.
Muhamad mengaku dia juga pernah berasa takut-takut ketika berdepan dengan pesakit Aids/HIV yang ramai di awal penubuhan Darul Ukhuwah dulu.
“Tak banyak pengetahuan tentang penyakit ini yang saya ada. Saya macam orang lain juga, tetap ada stigma. Mahu salam pun rasa takut, rasa macam nak basuh tangan.
“Bila tengok mereka menderita dan fikir tentang nasib mereka kalau tak dibantu, rasa takut lenyap sedikit demi sedikit,” katanya.
Kini, Muhamad yang juga Timbalan Pengerusi 2 Yayasan Al-Ijabah lebih memberi tumpuan kepada kebajikan anak-anak yatim dan pesakit HIV di bawah yayasan tersebut berbanding menghulurkan sumbangan di luar negara seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Ketika menghulurkan bantuan di Pakistan.


Antara misi dan ‘gila glamor’
Misi Muhamad, walau ringkas diucap namun tidak mudah dilaksanakan. Muhamad perlu ‘menahan telinga’ mendengar ungkapan sinis apabila dia membawa penghuni keluar dari rumah perlindungan untuk berdamping dengan komuniti.
“Ada yang marah saya sebab bawa pesakit HIV datang majlis mereka. Saya tak kisah. Alah bisa tegal biasa,” ujarnya.
Lebih teruk lagi apabila Muhamad memberitahu dia pernah difitnah oleh penghuni yang pernah berlindung di Darul Ukhuwah sendiri, juga pernah berdepan dengan konflik dalaman yang agak ‘hebat’.
Muhamad juga tidak terlepas dicop sebagai ‘gila glamor’ oleh beberapa rakan kerana kesanggupan melakukan kerja kebajikan.
Bagi Muhamad yang tidak menjangka Darul Ukhuwah akan berkembang seperti hari ini, sebaik rumah itu ditubuhkan dia hanya memikirkan tanggungjawab membantu pesakit HIV yang difatwakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai golongan Reqab.
Menganggap dirinya bersendirian pada mulanya, dia juga tidak menyangka ramai pihak menyokong dan sudi membantu termasuklah pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Aids Malaysia (MAC) dan hospital.
“Kalau betul saya nak glamor, lebih baik saya tumpu kepada kebajikan di Rumah Anak Yatim Al-Ijabah sahaja. Bantu anak yatim lebih mudah.
“Kita boleh tengok perkembangan mereka dan mereka membesar depan mata. Ada anak-anak kita yang sudah berjaya melanjutkan pelajaran di Mesir, Turki dan universiti tempatan. Itu akan lebih membuatkan saya lebih gembira dan dapat tumpang glamor,” jelasnya sambil berseloroh.

Mereka ada perasaan, bukan robot
Menurut Muhamad penerimaan keluarga paling mendorong pesakit untuk pulih sepenuhnya.
Pun begitu dia bersyukur kerana kebanyakan penghuni gembira kerana berasa mereka disayangi dan dihargai apabila tinggal di Darul Ukhuwah walau keluarga sendiri tidak dapat menerima mereka.
Jika melihat pesakit yang pernah hidup merempat tetapi kemudiannya sihat dan pulih adalah kegembiraannya, kepiluan Muhamad tidak dapat disembunyi apabila melihat penghuninya dibuang keluarga.
Misalnya, baru-baru ini seorang penghuni meninggal dunia tetapi keluarganya langsung tidak datang menjenguk sehingga pengurusan jenazah dilakukan sepenuhnya oleh pihak Darul Ukhuwah.
“Tapi tak apalah sekurang-kurangnya kita tahu di mana kubur arwah dan jenazah diuruskan ikut cara kita.
“Tahun lepas pula seorang penghuni telah beli tiket bas untuk balik beraya dengan keluarga. Bila dia telefon ke rumah, mak-ayah tak benarkan dia balik. Sebab terlalu kecewa, dia telan segenggam pil.
“Apa yang berlaku menunjukkan mereka masih ada perasaan macam kita. Mereka bukan robot. Malah saya pernah tengok mereka menangis kerana insaf, tetapi keluarga pula tak dapat menerima mereka,” katanya.

2011 dan harapan
Dengan 400,000 virus yang terkandung dalam badan setiap pesakit HIV, Muhamad sering berdoa agar mereka sentiasa sihat dan dapat menjalani hidup seperti insan biasa.
Selain itu, dia bersama Pengurus Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah yang juga sahabat baiknya, Khairul Azmy sentiasa mencari jalan supaya nasib pesakit HIV di negara ini terbela.
“Kita mengharapkan yang terbaik pada masa akan datang. Insyaallah, penghujung tahun ini kita akan buka rumah perlindungan khusus untuk wanita HIV sahaja yang terletak berhampiran dengan Darul Ukhuwah sedia ada.
“Keputusan untuk buka rumah perlindungan untuk wanita dibuat sebab ramai wanita tak tahu ke mana mahu pergi selepas disahkan ada HIV. Kita tengok kebanyakan mereka yang ada penyakit ini sebab teraniaya kecuali pekerja seks.
“Sebuah lagi rumah perlindungan yang terletak di Puchong juga sedang dalam proses pembinaan. Kita harap ia dapat disiapkan segera kerana rumah itu mampu memuatkan lebih ramai penghuni,” ucapnya penuh syukur.

Sumber: sini