Sunday, February 06, 2011

RUMAH PERLINDUNGAN HIV DARUL UKHUWAH

SECARA tidak langsung, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu-ibu tunggal akan terus terpapar di kotak fikiran setiap kali kita berdiskusi atau membuka topik tentang golongan istimewa atau yang kurang bernasib baik.
Kesinambungan kepada apa yang bermain di minda itu tentulah pusat-pusat penjagaan dan rumah perlindungan yang ditubuhkan khas di sana-sini bagi membela nasib golongan tersebut.
Tertubuhnya pusat perlindungan anak-anak yatim, pusat penjagaan OKU dan rumah-rumah kebajikan orang tua membuktikan betapa masyarakat hari ini prihatin dan tidak pernah melupakan golongan tersebut.
Namun, berapa ramai di antara kita pernah terfikir tentang nasib pesakit Aids/HIV yang hilang tempat berlindung gara-gara disisihkan keluarga dan sanak-saudara?
‘Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’, golongan yang kebanyakannya pernah terjebak ke kancah hitam ini akhirnya hidup melarat dan terpaksa merempat di kaki-kaki lima kerana tiada tempat berteduh.
Malah, sedikit masa dulu terdapat pesakit Aids/HIV beragama Islam yang tiada pilihan lalu berlindung di gereja kerana itulah satu-satunya tempat yang sudi menerima penyakit, kuman dan penderitaan yang ada bersama diri mereka.
Kini, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2009 sudi menerima golongan ini sekali gus membuktikan masih ada yang sayang dan peduli terhadap mereka.

Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah menjadi tempat pesakit-pesakit HIV terbiar berteduh dan meneruskan hidup.

Tidak perlu merempat lagi
YANG berlalu biarkanlah berlalu! Tiada gunanya menuding jari kepada mana-mana pihak apabila sedikit masa dulu ramai pesakit-pesakit HIV/AIDS di negara kita hidup merempat, berselerakan tidur beralaskan kotak dan berbumbungkan langit cuma.
Lupakan juga kisah pesakit beragama Islam yang pernah menumpang ehsan di gereja tidak lama dulu kerana tiada tempat untuk berlindung. Kini Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah sentiasa membuka pintunya, sudi menerima kehadiran pesakit HIV/AIDS tersisih terutama yang insaf dan ingin berubah.
Siapa sangka, dalam diam rumah yang ‘memayungi’ ramai pesakit HIV/AIDS terbiar dan dibuang keluarga ini telah berjaya menyelamat dan memulihkan kira-kira 50 pesakit yang datang dari seluruh negara.
Bermula dengan tempat tinggal kurang selesa di kawasan Subang Jaya pada Ogos 2009, sebulan selepas itu Darul Ukhuwah berpindah ke sebuah banglo lebih selesa yang terletak di Seksyen 4, Petaling Jaya.
Menurut Pengurus Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Khairul Azmy Abdul Rahman, setiap penghuni di situ mempunyai sejarah dan latar belakangnya yang tersendiri.

Khairul Azmy

Sejarah hitam, latar belakang jenayah dan tindakan penghuni melanggar peraturan dan tegahan agama akhirnya dibalas dengan penyakit yang perlu ditanggung sepanjang hayat iaitu HIV/AIDS.
Ditambah sikap masyarakat yang membayangkan HIV/AIDS sebagai penyakit paling digeruni dan mengaibkan, Darul Ukhuwah menjadi destinasi terakhir kelompok ini untuk berteduh dan meneruskan sisa hidup.
Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus penghuni Darul Ukhuwah terdiri daripada mereka yang terbabit dengan dadah. Majoriti penghuni datangnya dari negeri Pahang.
“Setiap mereka ada kisah hitam dan sejarah masing-masing. Kebanyakan mereka bekas penagih, pernah masuk pusat pemulihan dan pernah masuk penjara.
“Apa yang saya tahu, mereka yang pernah dipenjarakan atau masuk pusat pemulihan ini tak pernah serik, insaf pun sekejap saja. Tak lama lepas itu diulangnya lagi perbuatan sama.
“Sehinggalah mereka disahkan ada HIV dan menderita sakit, barulah mereka betul-betul insaf. Bila mereka insaf keluarga pula buang mereka sebab malu atau tak sanggup nak jaga,” katanya kepada Mingguan mStar.

Bukan sekadar tempat berteduh
Setiap hari, banglo dengan lima bilik itu akan menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan penghuni Darul Ukhuwah. Aktiviti yang disusun memberi fokus kepada pemulihan jiwa dan rohani yang memberi kesedaran, seterusnya mampu memulihkan kesihatan serta fizikal penghuni.
Tanpa alasan, mereka perlu solat berjemaah, menghadiri kuliah subuh, mengaji al-Quran, mengikuti tazkirah dan senaman; aktiviti yang tidak pernah atau jarang-jarang dilakukan mereka sebelum ini.

SELESA...Suasana di bilik tidur penghuni Darul Ukhuwah

Menurut Khairul Azmy, selain membantu pesakit HIV/AIDS dengan menyediakan tempat tinggal, matlamat utama Darul Ukhuwah ialah memberikan pemulihan penuh kepada penghuninya.
“Kita cuba didik mereka walau ada yang ke sini pada mulanya sekadar nak berteduh dan makan-minum ‘free’. Bila mereka pulih, kita harap mereka dapat kembali kepada masyarakat dan berdikari.
“Tapi, boleh dikatakan 70 peratus yang datang ke sini memang berazam mahu berubah,” jelasnya.
Tambahnya, adalah menjadi harapan dan tangunggjawab pihaknya juga untuk memastikan pesakit yang telah meninggal dunia diuruskan mengikut amalan Islam.
“Kalau boleh kita mahu mereka ini pulih. Tapi kalau sampai ajalnya, kita harap dapat uruskan jenazah dengan cara sepatutnya dan disemadikan di tempat yang betul, “ ujarnya.
Lebih setahun menguruskan Darul Ukhuwah, beliau mengaku terselit juga beberapa penghuni nakal dan penagih tegar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan aktiviti yang diatur untuk mereka.
“Kita tak bagi pilihan untuk mereka. Jika mereka nak tinggal di sini dan nak berubah mereka kena berdisiplin.
“Di sini tak boleh hisap rokok dan keluar ikut suka hati. Kalau buat macam tu, kita keluarkan mereka. Kalau buat salah kecil, kita denda cuci rumah atau sebagainya,” tegasnya.
Mempunyai hubungan baik dengan Hospital Sg.Buloh, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Darul Ukhuwah sama sekali tidak pernah mengabaikan rawatan untuk penghuni-penghuninya.
“Kita bagi rawatan terperinci. Cukup masa mereka kena makan ubat. Setiap pesakit kita bawa ke hospital seminggu sekali dan waktu rawatan agak lama. Itulah yang ramai ahli keluarga tak sanggup nak tanggung,” katanya.
Pada masa kini, rumah perlindungan ini mempunyai 15 penghuni. Penghuni paling muda berumur 27 tahun dan paling tua berumur 56 tahun.
Difahamkan, sehingga kini terdapat lapan pesakit di hospital sedang menunggu untuk masuk ke rumah ini.
Sepanjang rumah perlindungan ini dibuka, seramai lima penghuni telah meninggal dunia dan jenazah mereka diuruskan sendiri pihak Darul Ukhuwah.
Peruntukan MAIS
Kewangan yang kukuh merupakan salah satu elemen penting bagi melancarkan operasi Darul Ukhuwah. Dari segi rawatan dan ubat-ubatan, ianya dibekalkan secara percuma oleh tiga hospital yang bekerjasama dengan rumah perlindungan ini.
“Kita sangat berterima kasih kepada hospital, doktor-doktor dan jururawat yang banyak membantu tak kira masa dan tenaga,” katanya.
Selain itu, Darul Ukhuwah juga menerima peruntukan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM30,000 setiap bulan.
Begitu juga sumbangan yang diterima daripada Majlis AIDS Malaysia. Peruntukan tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah, membayar pekerja dan sukarelawan, belanja makan dan minum penghuni serta kos-kos lain seperti petrol dan sebagainya.
“MAIS juga turut menyumbangkan dua buah van dan katil hospital untuk penghuni di sini dan kita amat berterima kasih,” katanya sambil memberitahu jumlah yang diperuntukkan itu sebagai mencukupi.
Darul Ukhuwah dikendalikan oleh seorang pengurus, dua tukang masak, dua orang penyelaras program, dan pekerja am.