Monday, February 14, 2011

STIGMA TERHADAP POLIGAMI VS HIV


Sesiapa yang belum tahu aku seorang HIV positif yang mempunyai 2 orang isteri, sila klik sini.
Sebenarnya aku tidak selesa berkongsi maklumat ini dengan orang lain tetapi aku perlu bersikap jujur dalam memberikan fakta. Beristeri dua mungkin menyebabkan tekanan aku sekeluarga menghadapi ujian ini pun menjadi 2 kali ganda berbanding orang lain.
Selain kami sekeluarga, sudah tentu aku ada adik beradik dan saudara mara sendiri. Bermakna, aku juga mempunyai adik beradik, ipar duai sebelah isteri pertama dan sebelah isteri kedua.
Jangan ditanya kenapa aku berpoligami kerana ini bukan medannya. Lagipun aku tidak berminat menjawabnya. Bukan perkara untuk aku bermegah-megah dan bukan juga perkara yang memalukan aku. Prinsip aku mudah sahaja, apa yang dihalalkan Allah, sudah tentu memiliki lebih banyak kebaikan berbanding keburukan. Terpulang kepada persepsi masing-masing dan yang penting aku mesti bersikap jujur.
Persepsi negatif terhadap hidup berpoligami juga adalah satu bentuk stigma dan judgemental yang telah lama kami tempuh. Manusia, apabila berlaku sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan, kehendak dan akal sendiri, mereka akan menentangnya sekalipun perkara tersebut adalah halal dan harus. Bila hati dah tak setuju dan terlalu banyak menggunakan logic akal, Hukum Allah pun sanggup dipertikaikan.
Betul, kami sekeluarga hidup serumah. Itu pilihan dan hasil keputusan bersama sejak mula aku mengamalkan poligami kira-kita 10 tahun lalu. Bukan kerana tiada rumah lain, ada… tapi itu memang pilihan kami, pilihan anak-anak, khususnya kedua-dua isteriku. Alaa.. kau orang ni, macamlah rumah aku tak ada bilik!
Bermula daripada urusan merisik, bertunang dan berkahwin dengan isteri kedua, isteri pertama dan anak-anakku ada bersama. Begitu juga semasa hari raya, menziarahi sanak saudara dan kenduri kendara. Kami sekeluarga tetap bersama sama ada ke sebelah keluargaku, keluarga isteri pertama dan keluarga isteri kedua (kecuali jika ada komitmen lain yang betul-betul tidak dapat dielakkan). Bagi kami, ini caranya kami berdakwah melalui tunjuk contoh.  
Maaf, kisah tipu sana, tipu sini, mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang seperti poligami tipikal yang biasa ditonton dalam filem Madu Tiga atau yang difahami umum tidak berkenaan sama sekali. Di sini bukan ruangnya untuk perbahasan emosi tanpa kesudahan umpama ruangan Di Celah-Celah Kehidupan sebuah akhbar mingguan.  Silap channel tu ya. Bercakap mengikut emosi sampai ke sudah masalah takkan selesai.
Ya, sudah tentu isteri-isteriku sangat baik dan hebat. Sudah tentu aku seorang suami yang sangat beruntung. Sudah tentu kami sebuah keluarga unik yang sangat bahagia. Tidak pernah aku lihat isteri-isteriku bermasam muka. Saling melengkapi, menghormati hak dan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Kemampuan manusia tidak sama, jadi bertolak ansurlah dengan kelemahan dan kekuatan masing-masing.
Jadi, kenapa marah sangat kepada mereka yang mengamalkan poligami jika keluarga monogami sendiri pun bersepah yang kucar kacir dan bercerai berai. Peliknya pergaulan bebas dan zina tak berapa nak kisah pulak ya?
Bagi aku, poligami yang huru hara biasanya kerana mereka berpoligami mengikut resmi melayu dan terburu-buru. Bukan mengikut landasan Islam.
Orang nak berpoligami, dia pun nak berpoligami. Orang memandang poligami sebagai satu pertambahan amanah dan tanggungjawab, dia memandang poligami sebagai lambang kejantanan dan peluang melayan nafsu. Memang menempah masalah, memalukan agama dan menganiaya isteri serta anak-anak.
Berjaya, pahala jadi double. Gagal, dosa jadi double trouble!   
Ilmu? Soalan dah lari daripada isu ni… mestilah kena ada ilmu. Ilmu agama, ilmu sebagai suami dan ilmu berumahtangga. Tanpa ilmu, nak goreng telor pun tak pandai. Maaf, jampi serapah, petua itu ini tak berkenaan di sini.
Eh, dah melalut. Point aku itu ialah, dalam keadaan tertentu tekanan aku sebagai seorang lelaki yang mengamalkan poligami yang dijangkiti HIV mungkin lebih berat berbanding orang lain. Itu tidak termasuk tekanan di bidang kerjaya kerana karierku dianggap mulia dan melibatkan sangat ramai client. Kelebihan kami  pula ialah kami sudah lali hidup dalam stigma dan sikap judgemental.
Selepas entry ini, sampailah masanya aku akan publishkan pula luahan perasaan (tanpa editing) isteri-isteriku semenjak aku disahkan HIV positif. Kepada isteri-isteri dan wanita yang merasakan diri mereka teraniaya dan sukar menerima hakikat suami mereka dijangkiti HIV, mari berkongsi pengalaman ini. Moga ada sesuatu yang boleh kita renungkan.

AHP:    Alhamdulillah isteri-isteriku setakat ini bebas HIV. Bermakna jangkitan virus masih baru terjadi kepadaku. Logic akal mengatakan adalah mustahil isteri pertamaku masih bebas HIV kerana kami telah berkahwin selama hampir 21 tahun.  
TOLONG DOAKAN ISTERI-ISTERIKU DAN ANAK-ANAKKU BEBAS DARIPADA VIRUS INI SELAMA-LAMANYA.