'USAH PINGGIRKAN ANAK HIV'
Oleh Fadzlena Jafar
KURANG pengetahuan mengenai HIV/Aids menyebabkan masih ramai di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa terus memandang serong terhadap mereka yang hidup dengan virus berkenaan. Bayangkan apabila ada ibu bapa menghalang kanak-kanak pembawa virus itu daripada menghadiri sekolah hanya kerana bimbang anak mereka terkena jangkitan HIV/Aids.
Tetapi, itulah nasib yang dialami kanak-kanak HIV dari Rumah Solehah. Sudahlah dirundung malang kerana terpaksa bergelut dengan virus yang menjadi punca kepada serangan pelbagai penyakit itu, hidup pula terus dijadikan mainan masyarakat seolah-olah mereka tidak perlu meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak sebaya lain.
Penyelia Rumah Soleha, Wan Hava Wan Husain, berkata sikap ibu bapa yang lebih mementingkan diri sendiri tanpa cuba memahami nasib malang kanak-kanak berkenaan cukup mengecewakan pihaknya.
"Baru-baru ini ketika menghadiri perjumpaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah yang turut dihadiri beberapa kanak-kanak dari rumah ini, ada ibu bapa yang membantah kehadiran si kecil di sekolah berkenaan. Mereka tidak mahu kanak-kanak ini satu kelas dengan anak mereka kerana takut dijangkiti HIV. Saya cukup terkilan kerana masih ada masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai penyakit ini dan tidak memikirkan perasaan orang lain.
"Apa yang saya tidak boleh lupa ialah apabila mereka mengeluarkan ayat 'nyawa anak saya tidak boleh ditukar ganti'. Sedih saya mendengarnya. Bagaimana perasaan mereka jika anak mereka berada di tempat kanak-kanak ini? Kehadiran mereka umpama sesuatu yang cukup menakutkan," katanya sedih ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, Wan Hava bersyukur kerana pihak sekolah khususnya guru besar dan guru kelas berpihak kepadanya dan memahami keadaan kanak-kanak dari rumah berkenaan. Malah, sedikitpun mereka tidak menganggap kehadiran si kecil sebagai bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa.
Ketara sekali kebimbangan yang diluahkan tidak berasas kerana hakikatnya jangkitan virus HIV/Aids hanya boleh berlaku jika ada luka pada pembawa dan darah tercemar itu memasuki rongga seperti luka di tubuh orang lain. Kajian menunjukkan kebarangkalian jangkitan amat tipis, malah mustahil berlaku jika tiada persentuhan antara pembawa dengan individu lain.
"Kanak-kanak ini mempunyai tingkah laku yang baik. Sejak kecil mereka tahu keadaan yang dialami dan faham keunikan diri mereka. Malah mereka juga dilatih supaya memastikan kebersihan diri. Jadi, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kadar jangkitan sebenarnya sangat tipis.
"Pernah juga saya terfikir untuk mengupah pengasuh bagi memantau keadaan mereka di sekolah. Tetapi, dengan sumber kewangan yang terhad mana mungkin saya menyediakan kemudahan itu melainkan jika ada yang ingin menaja untuk membayar upah pengasuh," katanya.
Beliau berkata, apa yang menyedihkan tidak semua kanak-kanak di rumah berkenaan hidup dengan HIV atau menjadi pembawa virus berkenaan kerana hanya ibu saja yang dijangkiti. Malangnya, mereka tetap dipinggirkan masyarakat termasuk ahli keluarga sendiri meskipun keadaan mereka sudah dimaklumkan.
HIV/Aids tidak banyak berbeza dengan penyakit lain seperti talasemia, leukemia mahupun barah yang mungkin menyebabkan penghidapnya tidak hidup lama. Tetapi dengan pelbagai program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan, kini ada ubat anti viral yang dapat membantu melewatkan perkembangan virus HIV.
Ini bermakna, ada kemungkinan pembawa virus berkenaan hidup lebih lama berbanding tempoh 10 tahun sebelum ini yang lazimnya dianggap tempoh matang HIV. Malah, kebanyakan pakar perubatan menjangkakan pengambilan ubat secara teratur dan tepat pada masanya membolehkan pembawa HIV hidup sehingga usia 25 tahun.
Dalam hubungan ini, Wan Hava berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak berkenaan dapat menikmati kehidupan bermutu termasuk mempunyai hak dari segi pendidikan, keperluan bekerja dan mungkin berkahwin jika ada umur panjang.
"Bayangkan kalau kanak-kanak ini dapat hidup lebih lama daripada jangkaan. Tiada yang mustahil kerana setiap sesuatu itu adalah kehendak Tuhan. Tanpa hak untuk bersekolah apa akan jadi kepada mereka, ini akan menimbulkan isu terhadap gaya hidup yang lebih membebankan negara.
"Malah, kita perlu fikirkan masa depan mereka sekiranya ada umur panjang. Lumrah manusia tentu mereka ada keinginan untuk berkahwin dan paling penting mereka juga ingin mempunyai pekerjaan bagi menyara hidup. Jadi, pihak tertentu perlu memikirkan keperluan ini dari sekarang," katanya.
Mungkin ada benarnya persoalan yang diketengahkan Wan Hava. Dengan peningkatan jumlah pembawa virus HIV di kalangan kanak-kanak dan kebarangkalian mempunyai kehidupan yang panjang, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan stigma yang dihadapi pembawa HIV ketika ini ditangani segera.
Ironinya, reaksi orang ramai yang ditemui cukup positif. Rata-rata mengaku tidak kisah sekiranya anak mereka menghadiri kelas sama dengan kanak-kanak yang hidup dengan HIV/Aids. Hakikatnya, masih ramai yang mempunyai perasaan bimbang apabila berhadapan dengan situasi sebenar seperti yang dihadapi Wan Hava.
Sekiranya masyarakat terus meminggirkan pembawa virus HIV termasuk menafikan hak untuk mendapat pendidikan yang cukup penting pada zaman teknologi ini, negara akan menghadapi satu lagi beban kelak apabila generasi berkenaan membesar dan kemungkinan terbabit dalam gejala tidak sihat selain terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan untuk selama-lamanya.

Sumber: sini