Monday, February 28, 2011

“SELAGI NAFAS DIHELA, BIARKAN MENTARI BERCAHAYA”

Puan Halina yang sempat bergambar bersama dengan suaminya yang turut hadir memberikan sokongan.

“Saya mendapat HIV dari bekas arwah suami saya dahulu. Ketika diberitahu positif, jiwa saya bergoncang dan terasa sangat sukar menerima hakikat tersebut. Namun kini saya bersyukur pada Allah atas segala yang terjadi dan saya yakin ada hikmahnya di sebalik suratan ini. Malah saya sekarang sangat bahagia dengan suami saya sekarang yang banyak membantu dan menghargai saya meskipun saya seorang HIV positif”.

Begitulah antara luahan ikhlas Puan Halina (bukan nama sebenar) ketika sesi perkongsian pengalaman di hadapan para peserta. Dia yang kelihatan bersikap optimis, sangat berkeyakinan ketika dijemput ke hadapan, sehinggakan ramai peserta tidak menyangka bahawa dia seorang yang positif HIV. Tidak lekang dari bibirnya kata pujian pada Allah serta menasihati agar para pesakit yang lain, bersungguh-sungguh mengikuti rawatan seperti yang diarahkan oleh pihak hospital, meskipun kesan sementara pengambilan ubat tersebut sangat kuat dan perit.

“Para hadirin sekalian, saya dahulu seorang penagih tegar yang akhirnya Allah telah sedarkan saya dengan penyakit ini. Saya redha dengan ujian ini dan akan terus cuba memandang kehidupan yang mendatang dengan lebih positif. Bagi saya rawatan yang saya ikuti telah membuatkan saya rasa lebih sihat dan bersemangat untuk teruskan kehidupan ini. Anda perlu hargai kehidupan ini” ujar Encik Halim (bukan nama sebenar) dengan ceria bersemangat. Dia adalah antara seorang yang positif HIV dan kini masih tinggal di rumah perlindungan HIV/AIDS Dignity.

Puan Harlina dan Encik Halim antara peserta yang mengikuti seminar HIV/AIDS Muslim yang diadakan pada 14 April lalu di Felda Pasak Kota Tinggi. Seminar yang diadakan itu adalah sempena program Pelan Tindakan Manual Islam HIV/AIDS Muslim yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim di bawah tema “Semanis Harapan Iman, Segugus Kasih Prihatin”. Seminar ini juga dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia dan agensi-agensi tempatan termasuk jawatankuasa Felda Pasak Kota Tinggi.

Seramai 160 orang peserta telah mengikuti seminar yang diadakan pada 14 April yang bertempat di dewan serbaguna dan masjid Felda Pasak Kota Tinggi. Peserta adalah dari kalangan Orang Kena Pengawasan dari AADK, pesakit yang mengikuti rawatan methadone dari Klinik Kesihatan Kota Tinggi, penghuni rumah perlindungan Dignity dan wakil kakitangan klinik-klinik kerajaan daerah Kota Tinggi.

Tujuan seminar ini adalah sebagai satu usaha untuk menanamkan rasa kesedaran mengenai HIV/AIDS, terutama kepada mereka yang sangat berisiko untuk terdedah dengan penularan virus tersebut. Di samping itu juga diharap seminar ini dapat mendekatkan mereka dengan masyarakat yang boleh membantu mereka.

Sumber: sini