Wednesday, February 09, 2011

BERTEMU BAHAGIA SELEPAS DERITA


“JANGAN tanya bagaimana kami mendapat HIV positif. Perkara yang perlu orang lain tahu, bagaimana kami dapat meneruskan kehidupan. Ia bukan kematian tetapi ia ibarat kehidupan baru buat kami."
Demikian luah seorang penghidap HIV (Human Immunodeficiency Virus ) positif yang dikenali sebagai Jamaliah.
Jamaliah tidak mahu ceritanya disensasikan media. Sekadar memberi pengajaran kepada pembaca, Jamaliah dan suami, Marh sudi berkongsi kisah mereka.
Dulu Jamaliah memiliki keluarga yang bahagia. Taat dan akur. Itulah pendiriannya. Katanya, dirinya terlalu naif. Apa sahaja kata suami, dia turut. Hidup dengan suami, sudah cukup baginya. Tanpa mengetahui punca kematian, akhirnya suami meninggal dunia. Ketika itu, dia berasa sangat sedih.
"Saya selalu berdoa dia dihidupkan kembali. Namun, harapan saya musnah apabila saya tahu saya disahkan menghidap HIV kerana dia. Pada awalnya, macam-macam saya fikir," ujarnya ketika ditemui di Persidangan HIV anjuran Majlis AIDS Malysia (MAC) dan Universiti Monash, Kampus Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
Seperti diberikan kehidupan baru, Jamaliah bertemu dengan seorang lelaki yang senasib dengannya.
"Saya tidak bersedih mengenangkan nasib saya ini dan saya bersyukur kerana diberikan suami saya semula. Sikap Marh mengingatkan saya pada arwah. Saya seperti ditemukan suami saya yang hilang dan diberikan kehidupan semula," katanya.
Ternyata, HIV bukan penghalang untuk Jamaliah dan Marh bersatu.
Bagi Marh, dia bahagia mempunyai isteri seperti Jamaliah. Isteri dan empat orang anak yang dimilikinya menjadi motivasi diri. Sebagai penghidap HIV, Marh bersyukur kerana masih diberi peluang.
"Dulu saya gangster dan suka memukul orang. Orang tidak mahu mengambil saya bekerja. Kini, saya dapat bekerja. Ada rumah dan keluarga. Maksudnya, saya masih bertuah," jelasnya.
Selain keluarga, Jamaliah menjadikan pengalaman lalu sebagai motivasi. Dia sentiasa memanfaatkan kenangan itu yang memberikan dia semangat baru.
"Pengalaman menyedarkan saya bahawa kehidupan belum berakhir. Dulu saya kurang peka. Saya terlepas pandang sikap suami. Saya tidak pernah membantah. Saya setia dengan suami. Sekarang perlu peka dengan apa yang dia buat," katanya sambil tersenyum memandang Marh.
Tambah Marh, perkara utama yang perlu dilakukan ialah keterbukaan diri sendiri.
Penghidap HIV yang menerima keadaan diri akan lebih selesa.
"Setiap pesakit, perlu bersikap tenang (relax) dan muhasabah diri. Sebelum berharap orang lain menerima keadaan diri kita, penerimaan diri sendiri amat penting," ujarnya.
Marh menasihatkan mereka yang disahkan HIV positif segera mencari ilmu yang tepat.
Baginya rawatan perubatan penting untuk meneruskan hidup sebagai penghidap HIV.
Sementara itu, Jamaliah berpendapat, penerimaan diri berbeza kerana situasi setiap pesakit tidak sama.
Perkara utama yang perlu ialah mendapat bantuan daripada orang lain termasuk rakan-rakan, yayasan atau persatuan.
Rawatan
"Tanya diri, apa yang boleh kita buat. Dengan bertanya, kita boleh memahami HIV dan rawatan yang betul. Kalau dapat tahu positif, dapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan," katanya yang kini banyak berkongsi kemahiran dengan penghidap HIV yang lain.
Bercerita tentang pengalaman detik awal dia disahkan positif HIV, Jamaliah dipertemukan dengan seorang penghidap HIV yang lebih senior daripadanya.
Mulanya, dia agak sukar menerima kerana individu yang dikenali sebagai Atuk, seorang mak nyah.
Akhirnya, pendekatan Atuk berjaya memotivasikan diri Jamaliah.
"Atuk kata, jangan pandang dia sebagai mak nyah kerana kami sama. Pendekatan lembut berjaya mengubah persepsi saya. Saya mula menerima kekurangan diri dan bertekad meneruskan kehidupan baru," katanya.
Nasib mereka sentiasa terbela melalui persatuan dan yayasan. Pesakit-pesakit ini sentiasa saling menyokong, berkongsi cerita dan membantu antara satu sama lain.
Tambah, Marh, setiap penghidap HIV perlu mendidik diri supaya memahami keadaan dan makna HIV.
"Dulu saya suka berkhayal. Saya mengguna dadah untuk berkhayal. Kini saya ubah dan saya suka menghayal dalam lagu-lagu atau cerita yang saya tulis. Namun, sebagai insan, kita jangan berhenti berdoa untuk memohon kesejahteraan daripada-Nya," ujarnya.
Cuma satu harapan Marh iaitu supaya masyarakat tidak takut dengan penghidap HIV.
Baginya, masyarakat perlu melakukan pendekatan mesra dan cuba memahami.
"Terimalah kami seadanya kerana kami juga manusia biasa yang ingin menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Jangan sisihkan kami kerana kami juga ingin meneruskan. Tengok saja kami, sihat dan tidak berkudis pun," katanya sambil mengukir senyuman.

Sumber: sini