Tuesday, February 01, 2011

TERUK SANGATKAH APABILA DISAHKAN HIV POSITIF?


Lain orang, lain persepsinya. Berdasarkan pengalaman peribadiku, tidaklah teruk sangat menjadi HIV positif!

Sebaik sahaja menerima berita bahawa aku HIV positif memanglah segala-galanya buntu dan keliru tetapi dalam sujudku,  aku tetap bersyukur dan redha. Apa jua pemberian dan ujian Allah, tentu kerana Allah sayangkan aku dan kerana itu aku diuji-Nya.

Aku dididik supaya sentiasa mempercayai bahawa Allah hanya memberikan yang terbaik dan setiap ujian mengikut kemampuan mahkluk-Nya. Allah Maha Adil dan tak pernah zalim. Mesti ada hikmah di sebalik semua ujian tersebut.

Menangislah jika mahu mahu menangis dan selepas puas bersimpati pada diri sendiri, bangkitlah perlahan-lahan. Perkara lepas biarlah berlalu. Ini masanya untuk mengambil pengajaran atas segala kesilapan.

Inilah masanya untuk berubah. Fokus saja terhadap rawatan dan nikmati masa-masa emas yang berbaki. Nikmati peluang tersebut dengan cara yang positif dan diredhai Allah.

Cuba buat perbandingan antara nikmat-Nya yang masih kita miliki berbanding sedikit nikmat kesihatan yang telah diambil semula. Teruk sangatkah? Aku yakin tidak kerana masih terlalu banyak  nikmat Allah yang ada. Kita masih punya masa bertaubat, memperbaiki diri, menikmati kehidupan, berusaha, berdoa dan bertawakal.

Usia aku dah mencecah 44 tahun. Hidup dengan segala macam nikmat Allah selama 44 tahun. Aku malu jika hanya kerana ujian yang sehari dua ini aku bersungut dan memberontak.

Cuba bayangkan ketika kita bergelak ketawa, berterusan dalam maksiat atau melakukan dosa dan tiba-tiba Allah cabut nyawa. Tentu lebih malang dan aib, kan?

Apa nak dihairan tentang kematian? Tua, muda, sihat, sakit, berdarjat, merempat, baik, jahat, kanak-kanak atau dewasa semuanya akan mati. Kematian adalah proses kelangsungan hidup. Hidup di dunia sekadar pinjaman sebelum meneruskan perjalanan yang kekal abadi di sana.

Cara kematian Allah yang tentukan. Jangan cuba ambil alih hak Allah! Sekurang-kurang aku mati setelah Allah berikan peringatan.

Biarkan sahaja mereka yang memandang hina. Hina mulia, Allah yang tentukan. Lebih baik fikirkan dosa pahala dan mencari keredhaan Allah. Banduan yang dihukum gantung sekali pun, jika bertaubat nasuha, insya-Allah diampunkan segala dosa dan dijanjikan syurga. Siapa kita untuk menilai hina, mulia, syurga dan neraka sesama makhluk?

Cuba fikirkan nikmat-nikmat hidup yang dipinjamkan selama ini.  Ujian Allah dalam bentuk susah dan senang. Susah untuk kita belajar bersabar dan senang untuk kita belajar bersyukur. Ujian meningkatkan keimanan. Apa lagi yang lebih hebat selain nikmat keimanan terhadap-Nya?  

Beryukurlah kerana bangun, duduk, tidur, jaga dan apa juga yang kita lakukan, ingatan kita  sentiasa bergantung dan berserah kepada Allah. Semasa sihat, kita selalu alpa kerana kita  seolah-olah menganggap kematian masih jauh dengan kita.

Cuba bandingkan mereka yang jauh lebih menderita. Pesakit kronik tumor otak, pesakit buah pinggang yang bergantung kepada mesin haemodialysis, pesakit stroke terbiar yang terpaksa diuruskan segala-galanya oleh orang lain, kanser stage terakhir yang hanya punya jangka hayat yang pendek dan banyak lagi. Bersyukurlah...    

Banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain yang tidak sempat  dirawat atau punya jangka hayat yang singkat. HIV positif masih boleh dirawat dan ramai yang mempunyai jangka hayat yang panjang. Jadi, Alhamdulillah lah tu... nak apa lagi?

Sekurang-kurang aku masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa dengan penuh kesedaran bahawa aku perlu bersyukur dengan segala peluang memuhasah dan memperbaiki  diri.

Betul ke HIV dan AIDS ni tiada penawar dan ubatnya? Bagi aku, aku berpegang kepada firman Allah yang bermaksud:

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”        (Surah al-Syu'ara: 80)  

Takkan aku nak abaikan ayat-ayat Allah. Rosak imanku kalau menolak kebenaran al-Qur’an. Cuma bagaimana bentuk penawarnya,  itu sahaja yang manusia belum tahu. Sama sahaja seperti penyakit TB, kusta dan sebagainya yang suatu ketika dulu pun tiada ubatnya.

Kemajuan perubatan mencari rawatan sebenar HIV/ AIDS menunjukkan hasil kajian yang sungguh positif. Umur yang panjang dan sihat walaupun HIV positif pun dikira sembuh. Takkan nak hidup menongkat langit! Fir’aun pun mati bro...

Jadi, apa masalahnya menjadi HIV positif? Taklah teruk sangat, kan...  aku mesti positif sebab aku HIV positif! Macam best je bunyi ayat tu.

Jujurnya itulah yang aku rasa tetapi bukanlah bermakna aku bercakap besar. Atau terasa hebat seperti superhero.

Ada masanya aku down juga. Ada ketikanya mahu menangis juga. Ada kalanya memberontak juga. Terutama jika aku terasa sakit. Sakit apa sekalipun aku jadi sangat sensitive kerana bimbang menjadi petanda ketahanan tubuhku semakin layu. Gatal telinga pun boleh buat aku menggelabah.

Aku takut ke hospital. Aku takut macam-macam tapi sampai bila aku nak melayan simpati dan belas terhadap diri sendiri begitu?

Doa dan pertolongan  Allah menyedarkan aku. Al-Qur’an adalah terapi yang sungguh berkesan. Kata-kata semangat daripada keluarga  menguatkan aku. Insan-insan berhati mulia yang sudi berkongsi rasa di blog ini amat membantu.

Tanpa keluarga, tanpa blog ini aku sebenarnya keseorangan berjuang menentang virus ini. Allah berikan aku pertolongan melalui doctor-doctor yang memahami, keluarga yang sentiasa di sisi dan insan-insan yang mengerti.

Bukan belas dan simpati yang aku pinta sekadar marilah hentikan stigma melulu dan hentikan judgemental terhadap nasib malang insan lain. Kasihanlah kepada anak-anak, isteri dan pasangan HIV positif yang menjadi mangsa. Usah ditambah derita mereka.

Sekalipun jika mereka pernah berdosa, hulurkan tangan, bantulah mereka mencari keampunan-Nya. Prejudis dan hina caci takkan membantu. Esok lusa mungkin giliran kita pula diuji Allah.


AHP: Apapun yang berlaku, sendiri atau ditemani, aku akan terus berjuang menentang virus ini dan segala stigma yang menghancurkan mengikut kudrat dan keupayaanku.