AIDS pula adalah masalah kesihatan yang dialami individu HIV apabila daya ketahanan badan mereka berada pada tahap yang sangat rendah.
Sehingga kini belum ada ubat yang boleh menghapuskan virus HIV dan oleh kerana AIDS disebabkan jangkitan virus itu, maka masih tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini. Namun kini ada ubat yang mampu mengawal jumlah virus dalam badan individu HIV.
Berapakah lama masa yang diambil virus HIV untuk menyebabkan seseorang mendapat AIDS? Tempohnya berbeza antara individu dan bergantung kepada banyak faktor. Kebanyakan orang tidak sedar mereka dijangkiti HIV kerana ia tidak menunjukkan gejala sehinggalah jangkitan sampai ke peringkat teruk (apabila daya ketahanan badan menjadi sangat lemah) dan virus ini boleh mengambil masa sehingga 10 tahun untuk menunjukkan ‘taringnya’.
( AHP: Ooo... risau pasal 10 tahun tu ya? Apa dirisau tentang angka? Inilah attitude yang perlu diperbetulkan oleh pesakit HIV sendiri. Jangan rosakkan minda dengan berfikiran negatif dan terlalu memanjakan diri. DOKTOR BUKAN TUHAN! Mutakhir ini pakar-pakar perubatan mempercayai pesakit HIV boleh bertahan sehingga lebih 25 tahun. Jadi, apa bezanya dengan pesakit kronik lain? Pesakit jantung pun belum tentu dapat bertahan selama itu. Jangan tamak sangat ya, dunia ni hanya sementara, di sana tempat yang kekal abadi )
Meskipun di negara kita sudah ada kemudahan untuk ujian HIV, tidak ramai golongan yang berisiko menjalani ujian ini kerana pelbagai alasan. Malu, yakin diri terlepas jangkitan, bimbangkan pandangan negatif masyarakat dan takut untuk menghadapi kenyataan sekiranya disahkan positif adalah antara sebab mereka tidak mahu menjalani ujian.
Malah di kalangan yang tahu dijangkiti HIV, masih ada yang enggan mendapatkan rawatan atau memaklumkan perkara itu kepada bekas pasangan seks mereka.
Memang bukan mudah untuk menerima hakikat dijangkiti HIV, malah kalau boleh, perkara ini mahu dirahsiakan hingga ke mati kerana ramai masih memandang serong terhadap golongan ini, malah ada yang berfikiran ‘itulah balasan terhadap tingkah-laku mereka’.
Jika anda juga berfikiran begini, pertimbangkan semula. Siapakah kita untuk menghukum mereka? Bukan semua orang yang dijangkiti HIV berkelakuan ‘buruk’ kerana ramai pesakit, terutama wanita (suri rumah) mendapat jangkitan daripada pasangan yang tidak setia dan kemudian mewariskan virus HIV kepada anak menerusi kehamilan.
Jangkitan HIV dan AIDS kini bukan lagi penyakit pembunuh, sebaliknya kini ia dikategorikan sebagai penyakit kronik sebagaimana kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung seperti yang dihidapi ratusan ribu orang di negara kita. Jadi, tiada sebab untuk kita terus memandang negatif pesakit AIDS. Tanggapan sebegitu membunuh pesakit akibat malu mendapatkan rawatan.
Namun, apa yang lebih penting ialah melawan stigma pada diri sendiri, terutama selepas disahkan dijangkiti virus HIV. ( AHP: Ha... fahamkan baik-baik ayat ni ya!)
Isu ini paling sukar kerana masih ramai beranggapan HIV/AIDS bererti mati. Tidak sedikit pesakit cuba membunuh diri kerana tidak dapat menerima hakikat yang membuatkan mereka berasa kecewa, tertekan dan hilang keinginan untuk hidup.
Malah ada yang beranggapan, jika sudah disahkan mereka akan mati dalam tempoh tertentu, mengapa harus tunggu lama? Bukankah lebih baik perkara itu (menamatkan riwayat) dilakukan secepat mungkin supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah.
Stigma (sama ada daripada masyarakat atau diri sendiri) dan diskriminasi menghalang pesakit tampil mendapatkan rawatan serta sokongan. Tanpa rawatan, pesakit akan terasing, takut, tidak berpengetahuan dan tidak mendapat galakan untuk menguruskan penyakit dengan baik.
Di negara kita, rawatan AIDS peringkat pertama diberikan secara percuma di semua hospital kerajaan. Ia terbukti berkesan untuk membantu pesakit melawan penyakit, memanjangkan jangka hayat dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Sumber: sini