Thursday, February 03, 2011

AKTIVITI SEKS HIV POSITIF


Aku akui masih terlalu baru dan cetek pengalaman sebagai HIV positif. Ujian CD4/CD8 dan viral load pun belum aku lalui. Masih terlalu banyak cabaran yang belum aku tempuh.

Tetapi kelebihannya pula ialah aku berpeluang berkongsi segala pengalaman ini dari step awal sehingga ke tahap terakhir yang aku mampu. Jadi maafkan aku jika banyak fakta yang kabur.

Hari ini kita bercerita tentang aktiviti seks seorang pesakit HIV kerana salah satu punca utama penularan virus HIV adalah melalui hubungan seks.

Pihak yang terdedah kepada risiko jangkitan tentulah pasangan seks masing-masing termasuk bayi yang tidak berdosa.

Bila aku membuat carian maklumat di internet dan membaca banyak pandangan professional, aku melihat ada sedikit perbezaan pendapat dalam soal ini. Pendapat pertama membenarkannya dengan syarat menggunakan kondom dan pendapat kedua melarangnya (sila klik).

Aku yakin ramai yang bersetuju dengan pendapat yang pertama tetapi harus diingat bahawa pendapat kedua juga sangat penting dan mempunyai rasional tertentu. 

Pastinya kedua-dua pendapat berniat baik. Pendapat pertama dibuat atas dasar tuntutan naluri kemanusiaan dan kerana risikonya sangat rendah manakala pendapat kedua kerana mereka mengambil sikap lebih berhati-hati.

Perkara tersebut adalah lumrah di sudut akademik. 

Aku?
Sebagai seorang lelaki, suami dan individu yang mempunyai virus HIV, aku berada dalam dilemma yang tersendiri.

Sebagai seorang lelaki normal, sudah tentu aku juga memerlukan seks bagi memenuhi tuntutan naluri.

Sebagai suami ianya adalah suatu tanggungjawab dan sebahagian daripada luahan kasih sayang terhadap isteri.   

Sebagai HIV positif, sudah tentu aku takut menyebarkan virus tersebut dan rasa bersalah dengan segala kemungkinan.

Kepada pelacur (perbandingan) sekali pun aku takkan mampu bersikap kejam, inikan pula mahu menyebarkan virus terhadap isteri-isteriku yang tercinta. Ibu kepada anak-anakku.

Akibatnya aktiviti seks yang sepatutnya berkualiti dan dinikmati menjadi satu tekanan dan trauma psikologi. Apa pun, bila sudah HIV positif, perasaanku tidak penting lagi.

Persoalannya, apa pilihanku?
Aku cuba menjarakkan tempoh aktiviti seks, mengambil segala langkah menjaga keselamatan dan selebihnya aku berserah kepada Allah.

Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri dan aku juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab apabila mendapat signal tertentu untuk menunaikan tanggungjawab.


AHP: Sesungguhnya menjadi seorang HIV positif menuntut 1000% kesabaran dan ketabahan. Jangan main belasah je, bro...