Tuesday, February 08, 2011

BAHAYA DIABETES KEPADA PESAKIT HIV


Aku percaya ramai pesakit diabetes TIDAK MENYEDARI bahawa immunity badan mereka lemah untuk melawan penyakit. Mari baca artikel ini, lebih-lebih lagi jika anda seorang pesakit HIV. Kawalan gula sangat penting membantu anda menentang virus HIV …

Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strok

Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.

Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.

Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.

“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.

Mengetahui kadar gula dalam darah membantu mengurus diabetes.

Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu.

Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.

Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.

Gengran antara komplikasi akibat diabetes.

“Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.

Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.

“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.

Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.

“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India, diikuti Melayu dan Cina.

“Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.

Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.

Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.

Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.

“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.

Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.


Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebabkan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.

Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.

Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).

Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.

INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua

1.       Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan Kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.

2.       Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.

3.       Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.

4.       Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.

Sumber: sini