‘Doctor and patient rapport’ atau hubungan doktor dan pesakit ada tatacara dan etikanya tersendiri. Sepatutnya tidak kira sesiapa sama ada suami, isteri, saudara, kawan atau musuh sekalipun bila berjumpa dengan doktor, doktor harus menganggap seseorang itu adalah pesakitnya dan tidak lebih dari itu dan dia mesti ikut garis panduan dengan apa yang dia telah pelajari. Tidak boleh terlalu mesra sehingga terbawa-bawa kepada arah yang salah atau tidak terlalu ‘strict’ sehingga hubungan antara doktor dan pesakit langsung tiada.
Mesti diingat iaitu doktor-doktor juga manusia biasa. Dia juga ada perasaan seperti suka, duka, sedih, marah, bengang, sakit hati, jatuh hati dan lain-lain. Jadi bila berjumpa dengan doktor pesakit harus menganggap dirinya adalah pesakit dan tidak lebih dari itu supaya doktor dapat menjalankan tugasnya mengikut etika yang betul.
Oleh kerana doktor dan juga pesakit adalah manusia biasa maka kadang-kadang masalah peribadi terbawa-bawa semasa perjumpaan tersebut yang mungkin menimbulkan perasaan yang tidak senang hati sama ada doktor atau pesakit.
Di sini tip-tip ini mungkin berguna semasa berjumpa dengan doktor supaya doktor dapat mendiagnosekan penyakit pesakit dengan betul dan dapat beri ubat dengan sewajarnya.
1. Bersabar semasa dan selepas mendaftar di kaunter.
Kalau pesakit belum biasa dengan sistem pendaftaran terutama di klinik swasta, tanyalah dengan pembantu klinik. Beritahu siapa yang nak jumpa dengan doktor agar nama pesakit itu akan berada di depan doktor. Daftar nama ibu atau bapa tetapi anak yang berjumpa boleh melambatkan proses kerana rekod mesti disimpan atas nama pesakit.
Setengah klinik kad disimpan mengikut keluarga. Bila diberi nama seorang ahli keluarga kad-kad ahli keluarga yang lain pun ada. Tetapi kebanyakkannya sekarang ia mengikut masing-masing terutamanya penggunaan komputer di klinik sangat meluas sekarang ini. Jadi bersabarlah semasa pendaftaran.
Sekiranya penyakit anda tergolong sebagai kecemasan jangan segan silu beritahu pembantu klinik agar anda dapat terus masuk tanpa menunggu, supaya doktor boleh merawat dengan seberapa segera. Penyakit yang tergolong dalam ketogeri ini seperti demam panas, sawan, lelah atau asma, luka-luka yang besar atau darah mengalir dengan banyak, sakit yang amat sangat, pengsan atau disyaki sakit jantung.
Sekiranya penyakit anda tidak tergolong sebagai ‘emergency’ janganlah meminta dengan pembantu klinik untuk masuk dulu. Bertimbang rasalah kepada pesakit yang telah lama menunggu sebelum anda.
2. Berbudi bahasa.
Tidak bercakap kasar dengan pembantu klinik boleh melancarkan proses pendaftaran. Walaupun ada di kalangan pembantu klinik yang tidak menjalankan tugas dengan betul kita tidak perlulah bertengkar dengan mereka. Kebanyakkan doktor boleh menerima aduan tentang pekerjanya secara senang hati tetapi bagitahulah secara ikhlas selepas ‘consultation’ telah selesai.
Sekiranya tidak pasti doktor itu akan terima aduan secara baik, tinggalkanlah nota yang ditulis secara sopan.
3. Waktu ‘consultation’
a. Tujuan utama seseorang itu berjumpa dengan doktor ialah kerana sakit. Jadi pertama sekali doktor mahu dengar ialah tentang penyakit yang membuatkan pesakit itu datang berjumpa dia. Jangan sesekali meminta MC (Medical Certificate) pada permulaannya walaupun doktor tahu niat sebenar berjumpa dengan dia.
MC (Medical Certificate) ialah surat yang mengesahkan seseorang itu sakit dan tidak mampu menjalankan tugasnya. Maka untuk doktor memberikan MC, seseorang itu mestilah mengadu kepadanya tentang sakit bukan lain dari itu. MC bukan untuk balik kampung atau bercuti. Malah sekiranya anak yang sakit, ibu atau bapa tiada hak untuk meminta MC dari doktor kerana yang sakit itu ialah anak bukan ibu atau bapa. Ibu atau bapa sepatutnya memohon Cuti Kecemasan (Emergency Leaves) dari majikan untuk menjaga anak sakit dan bukannya MC dari doktor.
Setelah doktor selesai menjalankan pemeriksaan ke atas pesakit, kemudian terpulanglah kepada kebijaksanaan dan budibicara doktor untuk pesakit itu diberi MC.
Janganlah pertikai keputusan doktor tentang pemberian MC terutama sekali dihadapannya. Ini boleh memburukkan hubungan antara doktor dengan pesakit.
b. Sebaiknya bila mengadu kepada doktor tentang penyakit, bagitahulah tanda-tanda penyakit bukannya diagnosis. Contohnya, sakit perut di bahagian tengah, muntah, sakit bertambah bila perut kosong atau termakan pedas. Janganlah terus bagitahu doktor yang dia mengidap gastrik (Gastritis). Biarkan doktor yang buat diagnosis. Dengan cara ini sedikit sebanyak boleh mengelak tersilap diagnose oleh doktor.
c. Kalau boleh elakkan semua ahli keluarga atau semua sahabat handai masuk ke bilik doktor kerana ini akan menjadi suasana hingar bingar dan tumpuan doktor terhadap pesakit akan hilang.
Kanak-kanak yang tidak berkaitan dengan rawatan tidak digalakkan masuk ke bilik doktor kerana pada biasanya kanak-kanak akan bermain-main serta menggangu barang peralatan di meja doktor.
Sebaiknya jangan bawa kanak-kanak yang tidak sakit ke klinik untuk mengelakkan dari dijangkiti kuman.
d. Elakkan bersembang dengan doktor terlalu lama kerana kemungkinan ada lagi pesakit yang memerlukan perhatian doktor secepat mungkin. Maka kita kenalah bertimbang rasa dengan pesakit-pesakit yang menunggu giliran.
4. Preskripsi ubat oleh doktor.
Elakkan meminta doktor preskripkan ubat mengikut kemahuan sendiri. Kalau perlu bertanyalah kepada doktor dengan baik. Contohnya, adakah saya perlu antibiotik? atau ubat lelah atau ubat-ubat yang lain. Kebanyakannya doktor akan perjelaskan alasan kenapa ubat itu diberi atau tidak perlu diberi.
Sekiranya pesakit tidak berpuas hati dengan rawatan mana-mana doktor sebaiknya elaklah membuat aduan terus kepada Majlis Perubatan Malaysia. Dengan tidak mengulangi ke klinik berkenaan pun sudah memadai sebagai hukuman kepada doktor tersebut. Dengan ini juga boleh memberi peluang untuk doktor tersebut memperbetulkan apa yang perlu.
Hubungan yang baik antara doktor dan pesakit harus dijaga dengan baik agar hasil dari pertemuan itu mendatangkan manfaat bagi kedua-dua belah pihak.
Sumber: sini
AHP: Tips di atas adalah untuk sesi rawatan biasa di klinik swasta. Bagi sesi kaunseling atau review diagnosis sesuatu penyakit, keadaannya adalah berbeza.