Diskriminasi sosial menjadi punca utama keengganan pesakit mendapatkan rawatan
KAJIAN rawatan antarabangsa Aids (ALTIS) mendapati 58 peratus penghidap HIV/Aids ‘sangat bimbang’ masyarakat mengetahui mereka adalah penghidap penyakit itu. Daripada jumlah itu, 85 peratus enggan mendapatkan rawatan kerana ‘diskriminasi sosial dan keaiban’ yang akan mereka hadapi.
Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MaSHM), Dr Christopher Lee, berkata jika di negara lain soal harga ubat antiretrovirus (ubat yang diambil bagi membantu penghidap HIV jatuh sakit untuk masa yang lama) diperdebatkan, di Malaysia masalah stigma dan diskriminasi masih membelenggu sekali gus menjadi punca pesakit enggan mendapatkan rawatan.
Keadaan ini katanya menjadi lebih sukar apabila jumlah kakitangan perubatan bagi merawat HIV/Aids masih lagi kurang. Selain itu stigma dan diskriminasi di kalangan kakitangan perubatan terhadap pesakit HIV/Aids masih wujud.
“Sebenarnya, pesakit yang menerima rawatan dapat menjalani kehidupan lebih baik berbanding mereka yang tidak menerima rawatan,” katanya.
Ini dibuktikan dengan hampir 77 peratus respoden ALTIS mengakui pengambilan ubat tidak memberi kesan negatif terhadap mutu hidup mereka.
Manakala 83 peratus responden merasakan faedah rawatan bagi HIV atau Aids mengatasi kesan sampingan yang boleh merangkumi perubahan pada muka, tubuh, rambut, kulit atau kuku, masalah hati, kardiovaskular dan sakit otot atau sengal antara yang lainnya.
“Rawatan yang ada sekarang bagi HIV dan Aids boleh menjauhkan jangkitan yang mengancam nyawa dan membolehkan pesakit menjalani kehidupan normal dan produktif. Dengan rawatan baru dan bertambah baik, pesakit tiada alasan untuk tidak menerima rawatan,” katanya.
Bagaimanapun sesuatu yang perlu diakui dan masih menjadi cabaran terbesar dalam pengurusan HIV/Aids global adalah, dalam dua orang yang menerima rawatan, lima jangkitan baru dikesan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, pengurusan HIV/Aids yang berkesan memerlukan terapi antiretrovirus sebagai pilihan.
Tanpa terapi antiretrovirus, jangka hayat pesakit yang berhadapan dengan HIV/Aids pendek. Keadaan ini bertentangan dengan matlamat utama dalam menguruskan HIV/Aids, melenyapkan stigma dan diskriminasi berpanjangan berikutan persepsi jangkitan HIV adalah hukuman bunuh.
Bagaimanapun, perlu diketahui juga rawatan antiretrovirus tidak menyembuhkan. Ia hanya membantu mengelak pesakit daripada jatuh sakit untuk beberapa tahun. Rawatannya merangkumi pengambilan ubat setiap hari sepanjang hidupnya.
Terapi antiretrovirus berfungsi dengan merendahkan jumlah HIV dalam tubuh. Sekali gus, ia membantu menghentikan sebarang kelemahan pada sistem imun dan membenarkannya pulih dari bahaya yang mungkin disebabkan HIV.
Dalam konteks pengambilannya, ada pesakit yang memerlukan dua atau lebih ubat antiretrovirus yang disebut sebagai terapi kombinasi. Kadang kala ia dirujuk sebagai terapi antiretrovirus sangat aktif (HAART).
Ini kerana jika hanya satu ubat diambil, HIV berkemungkinan menjadi kebal (resistant) dan ubat tidak lagi berkesan. Mengambil dua atau lebih antiretrovirus dalam satu masa mengurangkan kadar kekebalan itu terjadi, memungkinkan rawatan lebih berkesan untuk jangka masa panjang.
Sejak ia dimulakan, persoalan yang timbul adalah dengan harganya yang mahal mampukah pesakit di negara miskin memperolehnya? Namun ia terjawab berikutan keperluan kepada rawatan antiretrovirus yang tinggi. Ia menyebabkan rundingan harga kerap dilakukan ditambah dengan persaingan antara syarikat farmaseutikal dan penghasilan ubat generik.
Hasilnya, pada tahun 2007, hampir tiga juta orang menerima terapi antiretrovirus di negara berpendapatan rendah dan sederhana menurut satu laporan bersama WHO, UNAIDS dan UNICEF.
Pada hujung tahun 2007 juga laporan itu menyebut hampir 500,000 wanita memperoleh antiretrovirus bagi mencegah jangkitan kepada janin. Dalam tempoh yang sama juga 200,000 kanak-kanak menerima ART berbanding 127,000 pada penghujung 2006.
Sumber: sini
AHP: Apa-apa pun aku berpendapat, pesakit sendiri mesti kuat dan bangkit menentang diskriminasi tersebut.