KEHIDUPAN Ma Hninn Si (bukan nama sebenar) sememangnya penuh dengan onak dan duri. Kira-kira dua tahun lalu dia dan dua orang adik perempuannya lari meninggalkan tanah air mereka.
Untuk sampai ke sempadan Myanmar-Thai sahaja, mereka terpaksa dua kali menaiki bot. Perjalanan seterusnya ke sempadan Thai-Malaysia menelan belanja yang agak besar sebelum akhirnya mereka menjejakkan kaki ke bandar raya Kuala Lumpur pada Oktober 2007.
Pahit getir hidup gadis berusia 25 tahun ini tidak berkesudahan. Dua bulan selepas tinggal di bandar raya metropolitan ini, dia diserang demam, batuk berterusan dan kehilangan berat badan.
Pada mulanya, dia menyangka dijangkiti penyakit malaria, memandangkan dia terpaksa meredah dan bersembunyi di hutan sebelum dibawa ke sempadan Thai-Malaysia. Dia juga berfikir mungkin dia dijangkiti batuk kering (tibi), sama sekali bukan. Apabila didiagnosis doktor sebuah klinik swasta, dia didapati menghidap Human Immunodeficiency Virus, ringkasnya, HIV.
Hninn Si (di dalam bahasa Myanmar bermakna bunga ros) berkata, dia bukan sahaja terperanjat dengan apa yang diberitahu oleh doktor malah putus harapan untuk hidup.
"Ketika itu saya merasakan hidup saya sudah berakhir. Tak ada lagi masa depan untuk saya. Saya juga amat risau dengan nasib adik-adik saya kerana mereka masih muda, lagipun, kerana sayalah mereka menjadi orang pelarian.
"Tanpa ibu bapa atau saudara mara yang rapat, macam manalah adik-adik saya dapat terus hidup di negara serba asing ini?," keluhnya ketika berkongsi kisah dukanya dengan peserta perbincangan meja bulat mengenai HIV dan AIDS yang dianjurkan United Nations Theme Group on HIV di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hninn Si mengesyaki memperoleh virus maut ini menerusi pemindahan darah apabila menjalani pembedahan ulser dalam ususnya pada 2001.
Rasa bimbang menjadi mangsa stigma dan diskriminasi, memaksa Hninn Si untuk merahsiakan penyakit yang sedang menyerang tubuhnya yang kecil.
Dia berkata kawan-kawannya menaruh syak yang dia menghidap HIV apabila melihat keadaan dirinya yang semakin teruk.
"Mereka melontarkan pelbagai soalan tetapi saya tetap membisu. Adik perempuan saya terpaksa berhenti pergi ke gereja kerana dia tidak mahu disoal bertalu-talu.
"Saya pula semakin lelah, fizikal dan mental. Saya menjadi terlalu takut untuk berjumpa dengan orang. Saya beritahu diri saya, saya ini manusia yang tidak berguna dan saya juga merasa orang lain juga beranggapan yang sama," keluhnya.
Hari-hari yang berlalu menyaksikan perasaan Hninn Si semakin tertekan tetapi dia amat bernasib baik kerana mempunyai dua adik perempuan untuk menjaga dirinya yang sering sakit.
"Saya merasa amat sedih melihatkan adik saya yang terpaksa keluar bekerja. Sepatutnya sebagai kakak, saya yang bekerja untuk menampung kehidupan kami, tetapi apakan daya saya.
"Saya juga perlu makanan yang lebih baik memandangkan kesihatan saya yang lemah tetapi saya tidak mampu membeli makanan itu. Saya hanya makan apa yang dimasak," tambahnya.
Hninn Si berkata adik perempuannya bekerja keras, menjadi pencuci di restoran dan rumah untuk menampung kehidupan mereka adik-beradik termasuk membeli makanan dan membayar sewa bilik. Ketiga-tiga adik-beradik ini mendiami sebuah bilik sebuah flet yang dikongsi dengan ramai penghuni lain.
Menurut Hninn Si, dia tidak pernah tahu ada rawatan untuk HIV. Sangkanya, orang yang dijangkiti virus maut itu akan hanya dapat hidup beberapa tahun sebelum dijemput maut.
Bagaimanapun nasibnya bertukar pada awal 2008 apabila dia menerima kunjungan seorang kaunselor daripada Malaysian Care.
Menurut Hninn Si, dia kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan menerima rawatan HAART (Highly Active Antiretroviral Theraphy).
"Saya menanggung kesan sampingan yang amat teruk selama enam bulan akibat rawatan yang diterima di mana kulit menjadi gelap di samping muka dan bibir menjadi bengkak.
"Tubuh saya dipenuhi parut dan ruam. Kawan-kawan dan orang keliling saya bukan sahaja takut untuk menghampiri saya, bersalam dengan saya pun mereka enggan.
"Pada masa itu saya mengajar Bahasa Inggeris untuk sekumpulan pelajar orang pelarian dan saya menjadi sedih apabila mereka tidak lagi mahu belajar dengan saya sebaik sahaja mereka tahu saya positif HIV. Keadaan itu juga menjadikan saya takut untuk keluar dari rumah untuk ke gereja," kata Hninn Si.
Hninn Si yang mempunyai ijazah dalam Bahasa Inggeris memberitahu dia mengajar Bahasa Inggeris peringkat rendah untuk kanak-kanak pelarian berusia antara 13 hingga 18 tahun.
"Akhirnya saya dapat bekerja dan meraih pendapatan. Peluang ini juga bukan sahaja menaikkan semangat saya tetapi juga memberikan saya keyakinan diri dan memulihkan semula maruah diri saya," tambahnya.
Hninn Si memberitahu bahawa, dia telah berhenti memberi kelas tuisyen sejak lima bulan lalu kerana mahu fokus kepada tugasnya sebagai kaunselor rakan sebaya di bawah projek yang diasaskan UNHCR (agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Malaysian Care.
Projek itu, katanya, dikenali sebagai Project Long Life dan diadakan di Hospital Sungai Buloh.
"Saya memberi kaunseling kepada kira-kira 50 pelarian pesakit HIV dan tugas ini amat mencabar kerana saya perlu membuat kunjungan ke kediaman pesakit.
"Sekarang jika ada orang bertanya apa yang saya buat, saya boleh menjawab dengan penuh rasa bangga yang saya ada pekerjaan meskipun saya positif HIV. Saya boleh berkongsi keyakinan diri ini dengan orang lain.
"Sebagai orang yang hidup dengan HIV, kami dahagakan kasih sayang, kawan dan bantuan. Senyuman anda kekuatan kami. Dorongan anda harapan kami.
"Sudilah kiranya menghulurkan tangan anda untuk memegang tangan kami. Kami juga manusia seperti anda,'' rayu Hninn Si. - BERNAMA
Sumber: sini