Monday, February 28, 2011

KESIHATAN TIDAK BOLEH DIBELI


MESKIPUN ia mula dikesan di Malaysia pada tahun 1986 dan hanya melibatkan empat kes, namun mengikut data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Disember 2009, jumlah pesakit HIV/AIDS yang didaftarkan adalah 87,710 orang.
Malah daripada perangkaan ini, majoriti yang mengidap penyakit ini ialah orang Melayu yang mewakili 71.2 peratus atau atau 62,975 daripada kes itu. Pada tahun 2009 sahaja, sejumlah 3,080 kes HIV/AIDS dikesan, di mana sembilan kes baru dikesan setiap hari, enam daripadanya melibatkan individu Melayu, manakala purata tiga kematian setiap hari.
Apabila menyentuh pula dari aspek jangkitan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr. Faisal Ibrahim mendedahkan, daripada 63 penagih dadah yang dikesan setiap hari, 44 daripadanya Melayu. Sementara 821 kes atau 26.7 peratus dijangkiti melalui perhubungan seks.
Sedihkan, bagaimana orang Melayu yang pastinya beragama Islam boleh menjuarai perkara-perkara yang membawa binasa bukan sahaja kepada diri, tetapi keluarga dan negara. Ia sekali gus menconteng arang pada kesucian Islam. Kalau hendak dikaji puncanya kepada kerosakan orang Melayu, jawapannya tepuk dada, tanya iman.
Pun begitu, dalam Islam kita tidak digalakkan untuk saling tuduh- menuduh. Malah memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapan perasmian seminar Menyambung Kasih Ilahi, HIV/AIDS Bersama Ditangani, Islam tidak melihat perkara ini sebagai satu bala atau balasan tuhan. Ia hasil daripada tangan-tangan manusia itu sendiri.
"Ada juga para pesakit HIV/AIDS terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Di mana, wanita mengandung menjangkiti daripada suami melalui hubungan kelamin atau pasangan mereka yang menagih dadah.
"Tambah memudaratkan, bayi yang di dalam kandungan juga berkemungkinan besar dijangkiti HIV positif," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 peserta yang mengikuti seminar sehari tersebut.
Ini terbukti menerusi data, lebih 60 peratus ibu hamil dijangkiti melalui suami dan majoriti mereka adalah Melayu. Dianggarkan 6,000 kanak-kanak yang berusia kurang daripada 13 tahun akan bergelar yatim piatu.
Yang pasti, ketiadaan ibu bapa akan membawa kesan sosial yang besar kepada kanak-kanak itu. Ia secara tidak langsung turut merugikan negara.
Hakikatnya, gejala HIV/AIDS, bukan lagi menjadi isu sosial tetapi melibatkan isu ekonomi, psikologi, agama dan sejagat.
Dr. Faisal dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Pengetahuan dan Kesedaran Masyarakat Menangani HIV/AIDS turut menegaskan bahawa orang ramai perlu meningkatkan kesedaran mengenai penularan penyakit HIV/AIDS kerana ia boleh mengancam kemajuan negara.
"Pencegahan merupakan satu-satunya jalan kepada masalah ini kerana belum ada ubat dan vaksin yang dapat membunuh virus HIV.
"Yang ada hanyalah ubat untuk menyekat pembiakannya. Itu pun memerlukan belanja yang mencecah ribuan ringgit setahun," ujarnya.
Namun sebagai Muslim yang meyakini setiap sesuatu itu ada penawar dan berpegang dengan kepercayaan bahawa setiap apa yang berlaku adalah satu ujian dan peringatan daripada Allah SWT untuk kita bermuhasabah diri dan menginsafi diri.
Sementara itu, Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga selaku panel Kajian Akidah Jakim, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kertas kerjanya Tanggungjawab Umat Islam Di Dalam Menangani HIV/AIDS sempat berseloroh dengan para peserta dengan mengatakan bahawa kita boleh beli ubat tetapi tidak boleh beli kesihatan.
Kita boleh beli jam yang mahal tetapi tidak boleh beli masa. Malah boleh beli tilam yang empuk tapi tidak boleh membeli tidur.
Jelasnya, isu kesihatan merupakan perkara asas dalam kebahagiaan sesebuah kehidupan. Dengan sebab itu, pepatah Arab ada menyebutkan kesihatan adalah mahkota bagi orang-orang yang sihat.
Malangnya, ramai memandang enteng isu perubatan hinggalah ia sampai ke peringkat kritikal barulah berusaha mencari penawarnya.
"Hakikatnya ramai hukama dan cendekiawan Islam menyebut tentang soal kesihatan antaranya iman, kesihatan, kekayaan, kebebasan, keamanan, semangat muda dan ilmu adalah inti daripada semua yang diinginkan oleh orang-orang yang berfikir. Mamun, hanya sedikit sahaja yang mampu mendapatkannya sekali gus.
"Manakala, Hatim al-Zahid berkata Nilai kesihatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit dan nilai bagi sebuah kehidupan tidak diketahui melainkan setelah menghadapi kematian. Itulah hebatnya kesihatan," kata Dr. Zulkifli.
Beliau tegaskan menerusi sebuah hadis yang bermaksud: "Ada lima perkara (yang selalu beriringan) dengan lima perkara. Tidaklah sesuatu kaum melanggar janji, kecuali mereka akan dikuasai oleh musuh mereka, tidak mereka menentukan hukum dengan selain yang diturunkan Allah, kecuali mereka ditimpa kefakiran yang kekal, tidaklah kelihatan perbuatan maksiat di tengah-tengah mereka, kecuali akan ditimpa kebinasaan berpanjangan, tidaklah mereka berbuat tipu helah dalam timbangan, kecuali mereka tidak mendapat hasil tuaian dan ditimpa bencana yang berterusan, dan tidaklah mereka enggan membayar zakat, kecuali mereka tidak akan mendapat hujan yang mencurah-curah (riwayat al-Tabarani)."
Dr. Zulkifli turut membariskan beberapa kaedah bagi menyelesaikan permasalahan dan penyakit ini antaranya mencegah dan menghindari sebelum merawat dan ini adalah cara yang terbaik dalam mengekang penularannya.
Kedua, menjauhi perzinaan. Ini bertepatan dengan nas al-Quran yang bermaksud: Janganlah kamu menghampiri zina! Sesungguhnya ia adalah keji dan buruk kesudahannya.
Ketiga, Jangan mengambil dadah dan pelbagai yang memabukkan kerana ia membawa kepada pelbagai risiko penyakit.
Keempat, Menjaga persekitaran yang baik dengan menghindarkan segala punca yang membawa kepada penyakit tersebut, sama ada melalui pergaulan atau sebagainya.

Sumber: sini