Kadang-kadang aku rasa terlalu ingin berkongsi. Mahu saja aku katakan kepada mereka yang bertanya, “Aku hiv positif…!” Aku penat apabila sentiasa terpaksa memberi jawapan berbelit-belit. Apa agaknya reaksi mereka kalau aku cakap begitu ya?
Aku tak kisah berterus-terang tetapi bila memikirkan ratusan ‘client’ yang saban hari berurusan denganku di tempat kerja, aku jadi kelu. Tak pasal-pasal ‘bom’ meletup di daerahku ini nanti. Maklumlah mentality masyarakat kita. Stigma dan judgemental.
Aku bimbang keluarga dan ipar duaiku tak mampu menahan tekanan. Kasihan anak-anakku. Akibatnya nanti, aku juga yang dipersalahkan.
Bossku pun selalu tanya, “Sahabat sakit apa sebenarnya? Nanti tolong minta doctor sediakan laporan perubatan ya. Pejabat XXX daerah nakkan laporan… (Aku fahamlah tu, maklumlah hampir 3 bulan aku MC semasa di hospital tempohari. Sekarang pun asyik cuti bila ada appoinment doctor) Bukan apa, senang saya nak ‘cover’ sahabat…” klise dan boleh dijangka alasannya.
Tak mahu memeningkan kepala, aku terima sahaja hakikat bahawa aku makin diketepikan. Perkhidmatan cemerlang selama hampir 20 tahun sebelum ini mereput begitu sahaja.
“Ye lah, appointment doctor 15 Mac nanti, saya minta mereka sediakan.” Agaknya semua majikan fikir doctor akan tulis, “DISAHKAN HIV POSITIF.” Begitu?
Aku juga penat bila kawan-kawan dan saudara mara bertanya, “Sakit apa sebenarnya?” Aku kata, “Jangkitan kuman…” Mereka tanya lagi, “Jangkitan apa, apa nama penyakitnya?’ Aduh.. banyak betul tanya dan soalnya. Aku pun “Bla, bla, bla, yada, yada, yada….” Ada pula yang sampai mendesak-desak dan merajuk, kononnya aku ni nak berahsia dengan kawan sendiri. Heh, cakap senanglah…
Kalau boleh aku nak rakam jawapanku dalam handphone supaya mereka dengar. Taklah aku penat sangat nak menjawab dan menipu. Kesudahannya di surau dan masjid pun aku terpaksa berbohong kerana macam-macam pertanyaan… Allahu Akbar!
Tak mengapalah, mereka tu ambil berat sebenarnya, kan? Masalahnya selepas itu, mereka mencadangkan pula aku ambil ubat itu, ubat ini, berubat di sana dan berubat di sini. Ringan sahaja mulutku nak cakap kuat-kuat, “AKU SEBENARNYA HIV POSITIF…!” Hehehe…Tension juga kan? Pening aku dibuatnya.
Selama mana aku mampu berahsia? Di penghujung garisan, akhirnya orang akan tahu juga. Cuba bayangkan bila aku terlantar sakit di hospital dan ketika jasadku mahu disemadikan.