Siapa yang tidak mengenali Norlina Alawi yang merupakan pengasas kepada Rumah Perlindungan Pernim (Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV Malaysia).
Kerelaannya memelihara anak-anak HIV/AIDS seperti anak-anak sendiri patut diteladani oleh setiap insan.
Katanya, bagi wanita sama ada yang bergelar ibu tunggal atau isteri yang telah dijangkiti virus HIV/AIDS daripada suami, jangan sesekali menganggap dunia sudah kiamat bagi mereka.
"Sebenarnya tiada stigma atau pandangan serong daripada masyarakat terhadap mereka ini. Semuanya diakibatkan oleh rasa rendah diri dan menurunnya semangat juang mereka.
"Jangan berasa rendah diri sekiranya dijangkiti HIV/AIDS. Mereka sebenarnya mampu hidup lama dengan pelbagai kaedah rawatan dan teknologi sains perubatan yang makin berkembang.
"Namun apa yang pasti mereka perlu mempunyai jiwa kental dan mampu menahan pelbagai cubaan.
"Usah mudah putus asa. Jangan mengalah dengan keadaan diri sehingga merasakan bagai hendak membunuh diri kerana apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya,'' katanya.
Nasihatnya lagi, jangan sesekali mendiskriminasi diri sendiri kerana pemilik diri itu yang berhak membuat keputusan ke arah mana jalan yang bakal dilalui.
"Daripada kes-kes yang pernah saya jumpa dan kongsi bersama, ada di kalangan mereka yang pada mulanya berasa amat 'terhina' dengan kehadiran virus tersebut kini tidak lagi menjadikannya satu halangan untuk berjaya," tambahnya.
Lagi satu nasihat Norlina kepada mangsa-mangsa HIV/AIDS, agar jangan sewenang-wenangnya menceritakan keadaan diri mereka kepada orang lain.
"Orang tak akan tahu kalau kita tak cerita. Dari situ kita boleh menjalani kehidupan yang sama seperti orang lain.
"Ini memandangkan kita tidak tahu matlamat atau siapa orang itu. Mungkin dia hanya mahu memporak-perandakan kehidupan kita,'' katanya.
Ketika ditanya wajarkah seorang isteri itu menuntut keadilan setelah diketahui dirinya dijangkiti HIV daripada suami, Norlina berkata, sekiranya ia terjadi tanpa niat kerana tidak diketahui anggaplah ia satu kejadian yang menyedihkan.
"Bangkit dan bina kehidupan baru dengan insan yang tersayang.
"Mungkin ia satu kesilapan yang patut ditebus. Tetapi demi semangat kekeluargaan mungkin ia satu cabaran yang perlu suami dan isteri itu hadapi sedaya yang termampu.
"Tetapi sekiranya ia terjadi dengan niat suami ingin menganiaya, saya rasa wajar si isteri menuntut keadilan buat diri mereka,'' jelasnya.
Namun nasihatnya, apa yang perlu ialah mangsa HIV dapat 'membuka mata' orang lain terhadap pencapaian diri.
"Buktikan pada masyarakat bahawa mereka juga boleh berjaya dan bukan berterusan berasa rendah diri serta tidak bersemangat apabila tahu diri menjadi mangsa HIV.
"Jadikan ia satu cabaran dan bukannya satu kegagalan dalam menjalani hidup," tegasnya.
Sumber: sini