Tuesday, February 22, 2011

TIBI DAN HIV


EPIDEMIK AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) telah memberi impak yang mendalam kepada penyakit tibi (tuberkulosis).

Kurang daya tahan yang disebabkan oleh jangkitan HIV telah mengakibatkan penyakit tibi bertambah secara mendadak di negara-negara yang sedang membangun.

Negara-negara maju juga tidak terlepas dari kesan ini. Jangkitan virus HIV telah menukar perjalanan klinikal penyakit tibi, seterusnya menyukarkan dan merumitkan lagi diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

Di negara-negara sedang membangun, kes tibi-HIV dikaitkan dengan masalah nutrisi (malnutrisi) , ketiadaan pekerjaan, penagihan dadah, ketagihan alkohol, kemiskinan dan tiada tempat berlindung.

Di Asia Tenggara sahaja, 40 peratus daripada kira-kira enam juta kes pesakit HIV membawa jangkitan tibi.

Impak HIV kepada tibi dan masyarakat

Risiko untuk mendapat penyakit tibi adalah 60 peratus bagi seseorang yang telah dijangkiti HIV. Untuk seseorang yang sihat, risikonya hanya 10 peratus untuk sepanjang hayat.

Seawal 30 April 1991, sebanyak 179,661 kes AIDS telah dilaporkan di Amerika Syarikat, dan jumlah kes bertambah dengan pesat dari masa ke semasa.

Terdapat 54,000 kes dilaporkan dalam masa 54 bulan pertama epidemik AIDS. Pada 1991, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan 1 juta penduduk dijangkiti HIV di Amerika Syarikat dan sekurang-kurangnya 10 juta kes jangkitan HIV di seluruh dunia.

Potensi impak global HIV ke atas tibi adalah amat mengejutkan. Sebelum epidemik AIDS, terdapat lebih daripada tujuh juta kes tibi dengan lebih 2.5 juta kematian akibatnya setiap tahun.

Kelompok jangkitan epidemik AIDS dan kadar jangkitan tibi di negara-negara miskin yang sedang membangun memberi implikasi dan impak sosial dan perubatan yang sangat buruk.

Dalam tahun 1992, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan empat juta penduduk dijangkiti oleh kedua-dua tibi dan HIV, di mana 95 peratus adalah di kalangan penduduk negara yang sedang membangun.

Virus HIV melemahkan sistem daya tahan dan boleh mengaktifkan semula jangkitan tibi laten (terpendam).

Kurang daya tahan yang disebabkan oleh virus HIV berpunca daripada tindakan virus itu menyerang sel darah putih atau lebih tepat lagi sel-sel CD4 yang amat penting dalam pertahanan badan bagi melawan penyakit berjangkit seperti tibi.

Bagi seseorang yang sihat, jumlah sel CD4 di dalam badannya melebihi 1,000 sel. Dengan jangkitan virus HIV, jumlah sel CD4 akan menurun, dan apabila ini berlaku, seseorang itu lebih mudah terdedah kepada jangkitan oportunistik.

Jangkitan oportunistik adalah jangkitan yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan mekanisme pertahanan badan.

Apabila jumlah sel CD4 menurun kepada antara 250 hingga 350, pesakit akan mendapat tibi jika terdedah kepada kuman tibi.

Gejala tibi-HIV

Berikut merupakan beberapa gejala klinikal yang menunjukkan seseorang pesakit tibi mungkin mempunyai virus HIV.

Jika seseorang pernah mengalami salah satu daripada penyakit di bawah:
- Jangkitan yang tersebar secara seksual (Sexually Transmitted Infection)
- Kayap
- Radang paru-paru yang kerap dan berulang kali
- Jangkitan bakteria yang sangat teruk
- Penyakit tibi yang baru di rawat

Jika seseorang mengalami simptom berikut:
- Penurunan berat badan (lebih dari 10 kg atau lebih daripada 20 peratus)
- Cirit-birit (lebih dari sebulan)
- Sakit semasa menelan terutama di bahagian dada
- Kaki berasa hangat pijau

Jika seseorang dikesan mempunyai tanda-tanda berikut:
- Parut kayap
- Kulit gatal dan mempunyai ruam
- Sarkoma Kaposi
- Kelenjar-kelenjar yang membengkak di seluruh badan
- Kandidiasis oral
- Angulai chelitis
- Oral hairy leukoplakia
- Radang gusi necrotising
- Pecah di mulut yang besar (Giant aphthous ulceration)
- Ulser di kemaluan yang berpanjangan dan sakit

Jangkitan bersama tibi-HIV boleh menunjukkan perkara-perkara seperti berikut:

Tibi Pulmonari pada seseorang pesakit HIV di peringkat awal.
Oleh kerana pesakit berada di tahap yang awal, kuman HIV belum menyerang banyak sel CD4. Oleh itu, daya tahan pesakit boleh dikatakan masih baik.

Pada peringkat ini, perubahan imbasan sinar-X dada tidak banyak beza jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai system daya tahan yang baik iaitu:
- Kesan kerosakan di bahagian atas paru-paru dan paru-paru berlubang di bahagian atas
- Kahak dengan kuman tibi (selalunya positif)
- Ujian kulit tuberculin (mantoux) positif
- Tibi ekstrapulmonari jarang berlaku

Tibi Pulmonari pada seseorang pesakit HIV di peringkat lewat.
Sel-sel CD4 makin berkurangan dan ada yang mencecah satu angka sahaja seperti 4 hingga 9 sel (normal lebih dari 1000).

Maka, seseorang pesakit HIV pada tahap ini tidak boleh melawan jangkitan kuman, walaupun jangkitan biasa, menyebabkan jangkitan yang teruk berlaku seperti:
- Tibi di bahagian kelenjar
- Selaput paru-paru berair, tibi miliari atau kerosakan di seluruh paru-paru
- Kahak dengan kuman tibi (jarang positif)
- Ujian kulit tuberculin (mantoux) negatif
- Tibi ekstrapulmonari biasa berlaku

Rawatan

Rawatan tibi bagi pesakit HIV tiada perbezaannya jika dibandingkan dengan individu sihat yang lain.

Perbezaannya cuma suntikan antibiotik streptomycin tidak digunakan untuk melindungi staf daripada bahaya tertusuk jarum.

Selain itu, jangka masa rawatan lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya enam bulan kultur kahak telah negatif kuman tibi, atau satu tahun yang mana lebih lama.

Penekanan harus diberi kepada kaedah rawatan DOT (directly observed therapy) kerana kajian mendapati pesakit yang diberi rawatan DOT hidup lebih lama jika dibandingkan dengan mereka yang tidak diselia pengambilan ubatnya.

Adalah amat penting untuk tidak berputus asa ketika merawat seseorang pesakit HIV yang dijangkiti kerana penyakit tibi itu boleh sembuh jika dirawat dengan betul, walaupun di peringkat HIV yang teruk.

Kematian pesakit selalunya disebabkan oleh jangkitan oportunistik yang lain atau AIDS (acquired immunodeficiency syndrome).

Semua pesakit tibi dan HIV seharusnya menerima rawatan untuk HIV dengan ubat-ubat anti-virus HIV atau HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) sebagai penggalak daya tahan, memperlahankan perkembangan jangkitan HIV kepada AIDS, seterusnya meningkatkan peluang hidup dan jangka hayat pesakit.

Tibi adalah jangkitan oportunistik yang paling biasa di kalangan pesakit yang dijangkiti virus HIV. Pembawa virus HIV juga lebih mudah dijangkiti Tibi berbanding individu lain yang sihat.

Virus HIV melemahkan sistem daya tahan seseorang dan mendedahkannya kepada segala jenis jangkitan kuman.

Penyakit tibi di kalangan pembawa HIV bagaimanapun boleh dan perlu dirawat pada mana-mana peringkat jangkitan tibi.

Kesan dan kebarangkalian rawatan berjaya juga lebih tinggi jika pesakit diselia pengambilan ubatannya melalui kaedah DOT.

Artikel ini disediakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber : sini