Friday, February 11, 2011

UJIAN - UJIAN BAGI MENGESAN HIV/ AIDS


Bagi memastikan kewujudan kuman HIV dalam tubuh seseorang, satu ujian darah boleh dijalankan (Ujian Antibodi HIV contohnya HIV ELISA, EIA, Aglutinasi Partikel). Ujian-ujian ini boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan atau swasta. 

Apabila virus telah memasuki tubuh, satu sebatian yang dikenali sebagai antibodi akan terhasil. Antibodi  inilah yang dikesan di dalam ujian-ujian darah yang dijalankan.

Keputusan Ujian HIV

Ujian HIV dapat mengenalpasti kewujudan antibodi di dalam darah, seawal 2 minggu selepas jangkitan, tetapi tubuh mungkin mengambil masa selama 6 bulan untuk mengeluarkan antibodi secukupnya. Purata masa yang diambil ialah 25 hari.

Keputusan seropositif bagi ujian HIV ini membawa maksud antibodi HIV wujud di dalam saluran darah seseorang dan dia adalah HIV positif.

Untuk mendapat penyakit AIDS ia mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih. Rawatan menggunakan dadah untuk melambatkan perkembangan AIDS boleh didapati, tetapi tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Keputusan seronegatif biasanya menandakan bahawa anda tidak diijangkiti oleh HIV. Walau bagaimanapun, anda perlu diuji semula dalam masa 6 bulan jika anda berisiko tinggi untuk mendapat AIDS, kerana ia mengambil masa begitu panjang untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi.

Sesiapa yang menerima keputusan HIV perlulah mendapatkan kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami keputusan ujian, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, bincangkan pilihan rawatan yang ada. 

Bilakah seseorang itu disahkan sebagai pesakit AIDS?

Seseorang itu disahkan sebagai pesakit AIDS apabila mereka memiliki ciri-ciri di bawah:
  • Ujian darah mereka disahkan mengandungi antibodi AIDS
  • Mereka telah mempamerkan tanda-tanda dan gejala-gejala AIDS (sila lihat Gejala/Simptom)
  • Mereka telah mendapat komplikasi dari AIDS (sila lihat Komplikasi)
Bilakah seseorang itu dianggap sebagai pembawa AIDS?

Seseorang itu dianggap sebagai pembawa AIDS apabila ujian darah mereka didapati positif terhadap antibodi AIDS walaupun mereka belum menunjukkan sebarang gejala AIDS.


Sumber: sini