Wednesday, February 02, 2011

REDA WALAUPUN SUAMI PUNCA HIV

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto HAFIZH KHOSMAT


Norlia menceritakan pengalamannya hidup dengan HIV ketika di temubual di pejabat MAC, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Kasih sayang terhadap suami tidak berubah walaupun menjadi punca dia didiagnosis HIV (Human Immunodeficiency Virus). Membuka bicara dengan suara yang agak perlahan, Norlia (bukan nama sebenar) menceritakan segalanya kepada penulis.




"Kita kena reda dan apa yang berlaku atas ketentuan-Nya. Saya maafkan dia dan masih sayangkan suami walaupun kami hidup dengan HIV kerana peristiwa lampaunya.''

Norlia tidak menyangka keadaan kesihatan suami yang teruk pada Oktober 2008 merungkai segala persoalan. Selepas ujian darah untuk HIV, suami tersayang disahkan positif.

Tidak mahu mengambil risiko kerana ketika itu dia masih menyusukan anaknya yang berumur setahun lebih, dia mengambil ujian yang sama yang turut disahkan positif HIV.

Pada masa yang sama, anak bongsunya turut menjalani ujian HIV. Penuh debaran menunggu keputusan, Norlia bersyukur kerana anaknya disahkan negatif. Akhirnya, dia mengambil keputusan agar sentiasa positifkan diri walaupun hidup dengan HIV.

Benarlah kata orang, setiap peristiwa pahit itu ada hikmahnya. Kehidupan mereka sekeluarga kini menjadi lebih baik.

"Kehidupan kami jauh berbeza. Banyak perubahan suami. Dulu, dia tidak rapat dengan anak-anak dan hanya sibuk bekerja. Pada awal saya diagnosis, saya rasa tertekan kerana macam-macam persoalan yang timbul. Terdetik di hati, inilah takdir saya. Bila fikir-fikirkan semula, kalau saya menangis pun tiada guna. Anak-anak menjadi kekuatan.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya masih setia di sisi suami?

''Kalau saya buang suami pun, tiada penyelesaian dan kesudahan. Lebih baik saya berfikiran positif. Suami membuktikan, dia sudah berubah dan saya ada teman hidup," ujarnya.

Reda

Pada awalnya, pengesahan itu amat susah untuk diterima. Norlia tidak mahu bergaduh dengan suami. Seperti yang dijanjikan pada awal perkahwinan, mereka perlu bersama memikul masalah tersebut.

"Menghadapi ujian di dunia, kita kena reda dan terima. Status positif HIV tidak bermakna mati, tidak bermakna berakhir kehidupan. Nasihat saya pada orang lain, kalau kita sayang dan cinta pasangan kita, tak perlu menyesali atau salahkan mereka.

''Kita perlu memahami dan reda apa yang terjadi. Kena fikir kehidupan akan datang dan membina kehidupan yang baru. Buktinya, saya lebih bahagia sekarang. Virus dah ada dalam badan, mesti ada perasaan positif," katanya.

Dalam pada itu, Norlia amat terkilan kerana ramai wanita yang cuba membunuh diri dan bercerai hanya kerana masalah itu. Baginya, sesiapa saja yang didiagnosis dan disahkan positif HIV perlu segera mendapatkan bantuan doktor untuk mendapatkan ubat. Pesakit juga perlu berjumpa kaunselor untuk meluahkan masalah.

"Dulu sebelum saya disahkan ada penyakit ini, saya pun tidak tahu. Cuma satu pesan saya, selepas kita tahu kita ada HIV, kita perlu berubah. Tinggalkan segala tabiat buruk. Itu baru namanya bertaubat dan insaf," tegas Norlia.

Diskriminasi

Tidak dinafikan masyarakat hari ini sering mendiskriminasikan mereka. Inilah dilema paling besar dihadapi mereka yang hidup dengan HIV. Bahkan, keluarga Norlia sendiri tidak tahu yang dirinya berperang dengan HIV.

"Saya belum ada kekuatan untuk berterus-terang. Melihat bagaimana layanan mereka terhadap saudara saya yang positif HIV, saya jadi takut disisih dan dicaci. Tapi jika ada yang bertanya, mungkin saya tidak menafikannya.

''Namun, saya bersyukur kerana ada rakan yang banyak menyokong. Majlis Aids Malaysia (MAC) sendiri banyak membantu saya. Sekarang saya merupakan salah seorang sukarelawan yang memberi ceramah berkongsi pengalaman dengan orang ramai," ungkapnya mengakhiri perbualan.

Sumber: sini