Tuesday, February 15, 2011

LUAHAN ISTERIKU YANG TERCINTA (1)


Apa yang saya rasa bila mengetahui penyakit sebenar suami saya?
Setelah lama melihat dan menemani suami sakit dan masuk  hospital iaitu lebih kurang 21 hari dan melalui berbagai rawatan di situ, hati saya memanglah susah dan tertanya-tanya. Apakah penyakit sebenarnya sedangkan sebelum ini beliau  adalah seorang yang dikategorikan sihat dan setahu saya tidak pernah masuk hospital walaupun beliau ada penyakit kencing manis.
Saya berasa sungguh sedih bila mendengar beliau menjerit kesakitan semasa menunggu beliau untuk prosedur bone marrow bagi menentukan apakah penyakit sebenarnya. Juga kecewa apabila selepas semua itu doctor mengatakan sampel tidak cukup dan fail tersebut dikatakan ‘hilang’ sedangkan beliau terpaksa menahan kesakitan semasa proses tersebut dan beberapa bulan selepasnya. Masih teringat banyak tompokan darah suami saya di lantai sedangkan prosedur bone marrow yang kami tengok di youtube tidak begitu.
Bermula dengan suspect demam denggi dan pelbagai penyakit kronik lain sehingga ada yang mengatakan beliau boleh hidup beberapa tahun sahaja lagi dan kemudian beliau dirujuk pula ke hospital lain .
Sebelum mengetahui penyakit tersebut saya dah bersedia dan redha dengan apa saja yang berlaku tapi saya risau bagaimana beliau menerima keadaan tersebut. Sebagai manusia biasa semestinya perasaan saya bercampur baur dan keliru.
Setelah lama tertanya2 akhirnya kami telah mengetahui  apakah sebenar penyakitnya. Tapi sesungguhnya saya rasa terkejut dan terkedu bila mengetahui  penyakitnya. Permulaannya saya tidak percaya dengan result yang diberikan. Betul ke doctor ni??? Kami mesti test semula. Tak confirm lagi. Ntah2 result pesakit lain. Takkanlah. Selepas menjalani ujian sekali lagi, saya terpaksa terima walaupun hati saya berkata tidak.
Tak pernah terfikir bahawa beliau akan diuji dengan penyakit ini. Maklumlah saya dah hidup bersama dengannya  lebih 20 tahun dan setakat pengetahuan saya tiada yang menyebabkan dia berisiko mendapat penyakit tersebut. Sayalah pula yang paling berisiko mendapat penyakit yang sama memandangkan tempoh yang lama saya hidup dengannya. Saya juga dinasihatkan oleh doctor untuk mengambil ujian darah dan Alhamdulillah setakat ini saya negative.
Nak menyalahkan sesiapa pun sudah tak berguna. Perkara telah terjadi dan hakikat tak boleh diubah. Tekanan suami lagilah teruk sebab perlu berhadapan dengan virus tersebut. Nak menyalahkan suami, beliau sendiripun tertanya-tanya dan tercari-cari apakah punca virus tersebut boleh berada dalam badannya.
Berbagai-bagai perkara menjelma di fikiran. Maklumlah sedikitpun tak terlintas tentang penyakit ini dan saya tidak pernah mengambil tahu tentangnya secara serius. Saya juga amat risau andainya anak2 juga berhadapan dengan masalah yang sama. Itulah soalan pertama yang saya tanya pada doctor, tentang kemungkinan anak2 mendapat virus ini.
Tertanya2, bagaimana kami akan meneruskan kehidupan dengan penyakit yang mendapat  pandangan buruk dari masyarakat. Bagi mereka virus ini berpunca dari perlakuan yang buruk. Meskipun belum tentu punca yang sebenarnya. Bagaimana mahu berdepan dengan keluarga dan masyarakat. Tentu sahaja seluruh keluarga kami akan disisih oleh masyarakat.
Di mana kami boleh mendapatkan nasihat dan pandangan? Bolehkah kami percaya kepada doctor dan kaunselor? Adakah ubat untuk penyakit ini? Berkesankah? Bagaimanakah keadaan kesihatan suami nanti? Adakah saya mampu untuk berhadapan dengan segalanya? Bagaimana dengan karier suami?
Kepada Allah saya serahkan segalanya. Pada permulaan, agak sukar untuk suami menerima penyakit tersebut. Makin dicari maklumat makin resah dan keliru jadinya. Berkurung dalam bilik, resah gelisah, sensitif dan menangis sendirian.
Bagaimanalah boleh saya tolong. Saya cuba memberi kata semangat, tapi apa sangatlah yang boleh saya tolong. Semuanya terletak dibahunya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sukar untuk beliau menerima dan membina kekuatan hati, Risau dan susah hati saya melihatnya.
Setelah bersedia, kami mengambil keputusan bahawa anak-anak patut diberitahu. Biar mereka mengetahui perkara sebenarnya dari asyik berteka teki apakah sebenarnya penyakit abah mereka. Syukur , anak-anak dapat menerimanya dengan tenang dan tabah.
Tuhan Maha Kaya, Saya bersyukur dan lega kerana setelah melepasi waktu tertentu beliau akhirnya dapat menerima penyakit itu dengan positif dan berusaha untuk meneruskan hidup seperti biasa di samping meneruskan rawatan di hospital.
Kami terpaksa ke hospital di daerah lain kerana bimbang untuk menerima rawatan di daerah kami kerana takut ada yang mengetahui. Biarlah terpaksa mengeluarkan lebih belanja daripada  terpaksa berdepan dengan stigma masyarakat setempat.
Saya amat berterima kasih kepada doktor yang memberi bimbingan dan bersabar dengan segala pertanyaan kami serta melayan kami dengan baik sekali. Semoga Allah membalas jasa baik saudara-saudara.
Harapan saya agar suami tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa ada bersama memberi sokongan. Menjalani hidup seperti biasa dan berbahagia. Kepada masyarakat janganlah berperasangka buruk kepada HIV positif. Sama-samalah kita bantu mereka meneruskan kehidupan.