Friday, February 04, 2011

TIGA JEJAKA KONGSI PENGALAMAN


SEDAR atau tidak, dalam meniti hari, kita mungkin berselisih bahu, berjabat tangan atau berkongsi kemudahan yang sama dengan insan penghidap virus HIV/Aids. Bagi kebanyakan kita, tidak ada apa yang dirisaukan kerana kita tidak tahu, jauh sekali mengecam individu penghidap dan pembawa virus HIV/Aids.

Namun, bayangkan, andai kita tahu atau kenal identiti si pembawa virus maut ini? Apakah masyarakat bersedia berdepan dengan mereka dan berkongsi kehidupan harian seperti biasa?

Biarpun Malaysia mencapai kemerdekaan lebih separuh abad dengan kemajuan teknologi dan pembangunan yang pesat, tidak dapat dinafikan masyarakat kita masih cetek pengetahuannya mengenai HIV/Aids.

Reaksi lazim yang diterima daripada masyarakat andai topik HIV/Aids pastilah tidak lain dan tidak bukan - masing-masing takut andai dijangkiti virus berkenaan.

Lebih mengecewakan lagi, antara kita masih keliru dengan fakta sebenar kaedah jangkitan virus HIV/Aids termasuk mengandaikan bahawa HIV/Aids boleh merebak melalui sentuhan dan berjabat tangan.

Kebimbangan yang lahir daripada pengetahuan yang cetek dan jauh menyimpang daripada realiti sebenar ini sepatutnya dihakis andai masyarakat membuka minda serta berganding bahu mencari formula terbaik mengekang penularan virus berbahaya ini.

Berkongsi maklumat mengenai virus HIV/Aids, XY – Ikon Lelaki minggu ini menemui tiga individu yang cukup aktif menjayakan pelbagai agenda Majlis Aids Malaysia (MAC).

Temubual eksklusif di ibu pejabat MAC baru-baru ini, menemukan tiga sukarelawan yang aktif bergerak dalam MAC, termasuk dua ahli yang disahkan sebagai pembawa virus HIV positif. Mereka tampil positif, ceria dan mempamerkan tahap komitmen tinggi dalam menyebarkan maklumat berguna mengenai HIV/Aids kepada kumpulan sasar.

Bercerita mengenai tugas sukarelawan, Eshwar Krishnasamy, 29, berkata, masyarakat masih kurang maklumat mengenai HIV/Aids hingga timbul pelbagai andaian negatif terhadap virus itu.

Beliau berkata, jurang maklumat mengenai virus itu antara masyarakat bandar dan luar bandar cukup membuktikan masih ramai tidak tahu ancaman sebenar HIV/Aids dalam kehidupan harian.

“Statistik jangkitan virus HIV/Aids makin meningkat setiap hari. Ini trend yang kita perhatikan di mana kawasan luar bandar memperlihatkan peningkatan yang agak besar dalam aspek jumlah individu yang dijangkiti.

“Mengikut maklumat yang diperoleh, ada responden memberi jawapan mengejutkan termasuk mereka sendiri tidak mahu maklumat membabitkan virus HIV/Aids kerana bimbang dan menimbulkan rasa kurang selesa,” kata Eshwar kepada XY – Ikon Lelaki.

Ditanya bagaimana timbul minat menyertai MAC, Eshwar berkata, beliau sebelum ini berhasrat menjadi sukarelawan sebelum mendapat maklumat mengenai MAC yang kebetulan menawarkan jawatan kosong.

Beliau yang dilantik Eksekutif Komunikasi dan Media MAC berkata, sejak bertugas mulai Jun tahun lalu, beliau berpeluang menyampaikan lebih banyak maklumat mengenai HIV/Aids kepada serta berkongsi masalah dengan individu pembawa virus terbabit.

“Mereka (pembawa virus HIV positif) tidak seharusnya dipinggirkan. Sebaliknya, kita perlu membantu mereka dari segi motivasi dan dorongan berdepan dengan realiti kehidupan,” katanya.

Seorang lagi anggota sukarelawan, Alias Abdullah, 55, berkongsi rahsia dirinya sebagai pembawa virus HIV positif. Pengakuan Alias mampu mengubah persepsi masyarakat terutama dalam mencari maklumat berhubung penyebaran virus Aids/HIV serta mengikis kebimbangan berdepan dengan individu sepertinya.

“Saya mula menyedari dijangkiti HIV positif apabila ditahan dalam operasi penagihan dadah pada 1991 di Tampoi, Johor Bahru. Ketika ditempatkan di Pusat Serenti di Tampoi, barulah saya tahu apa sebenarnya HIV.

“Bayangkan, saya mula terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah sejak 1975 dan keluar masuk pusat serenti. Saya tidak langsung bimbang apatah lagi tahu risiko berkongsi jarum suntikan,” katanya yang turut merasakan ada hikmah di sebalik segala ketentuan itu.

Di sebalik kekecewaan dijangkiti virus itu, Alias bersyukur kerana beliau berjaya mengubah kehidupannya yang lalu hingga nekad menjadi sukarelawan bagi memperjuangkan insan senasib dirinya.

“Masyarakat dulu menganggap penghidap HIV positif hanya dapat bertahan selama dua atau tiga tahun saja. Sedangkan, ketika ini pil serta bantuan perubatan mampu bertindak sebagai pertahanan bagi individu yang dijangkiti HIV positif.

“Saya sendiri, alhamdulillah masih lagi sihat tetapi perlu mengambil ubat-ubatan setiap hari mengikut arahan doktor,” katanya yang berkhidmat di Intan Life Zone Johor Bahru, iaitu sebagai pusat perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang dijangkiti HIV positif.

Sementara itu, seorang jejaka yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffrey, 28, berkata, beliau dijangkiti virus HIV positif atas kesilapan dirinya sendiri. Semuanya gara-gara gaya hidup bebas yang hampir memusnahkan masa depannya.

Bertugas di negara jiran sebagai jurutera kerana mengidam gaji lumayan, anak muda yang berasal dari Ipoh, Perak ini pantas merasa selesa dengan kehidupan di kota kosmopolitan.

“Terus terang saya katakan, hari ini untuk mendapatkan seks cukup mudah dan murah tanpa rasa bimbang atau takut. Begitu juga saya, walaupun mempunyai teman istimewa, sesekali saya melakukan hubungan seks dengan orang lain.

“Seingat saya, cuma dua kali saya tidak menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seks hinggalah saya disahkan dijangkiti HIV positif. Ini disedari apabila saya ingin memohon kerja baru,” katanya yang tertekan apabila pertama kali diberitahu membawa virus berbahaya itu.

Disebabkan dijangkiti virus HIV/ Aids pada 2007, punahlah harapan Jeffrey terus bekerja di negara jiran lalu pulang ke Malaysia.

“Saya tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai persoalan, tekanan selain menghukum itu dan ini... Seolah-olah tidak dapat menerima hakikat saya kini pembawa virus HIV positif.

“Pada mulanya, saya rasa tiada lagi peluang untuk saya selepas dijangkiti virus ini. Selepas mengetahui ada MAC dan bertemu dengan ramai insan senasib, barulah saya bertambah yakin.

“Daripada situlah, saya mula mendapat lebih banyak maklumat mengenai HIV/Aids termasuk program yang dikendalikan. Ini membuka hati saya untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan,” kata Jeffrey yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai ubat-ubatan yang perlu diambil setiap hari, Jeffrey berkata, beliau kini mengambil dua jenis pil bagi memastikan beliau terus cergas sepanjang hari.

“Tidak banyak negara yang memberikan kos rawatan serta ubat-ubatan secara percuma di hospital kerajaan terpilih seperti di Malaysia,” katanya.

Sumber : sini