Friday, February 11, 2011

PANDUAN JENIS-JENIS RAWATAN UNTUK PESAKIT HIV/ AIDS


Rawatan Farmakologi
Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit. Dadah-dadah berikut digunakan:
Dadah antiretrovirus
Dadah antiretrovirus menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV. Dalam beberapa tahun ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan bagi AIDS/HIV ini. Sejak akhir tahun 1980'an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan dadah antiretroviral ke dalam regimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.
Kombinasi tiga atau lebih dadah antiretroviral, yang biasanya dipanggil 'dadah koktel', didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti, dengan cara memperlahankan perebakan HIV.
Perencat Protease
HIV akan melalui proses replikasi dan menjangkiti sel-sel yang sihat di dalam tubuh pembawa HIV. Keseluruhan proses ini akan membawa kepada pembentukan AIDS. HIV memerlukan sejenis enzim yang dikenali sebagai protease untuk proses replikasi. Perencat protease menghalang enzim ini dengan berkesan dan seterusnya menyekat replikasi daripada berlaku.
Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI)
Untuk HIV direplikakan (digandakan), enzimnya mestilah memasuki nukleus dalam sel seseorang pesakit. Satu enzim yang dikenali sebagai HIV reverse transcriptase membantu menggandakan bahan genetik HIV dalam nukleus sel pesakit tersebut. NRTI adalah penghalang enzim reverse transkriptase ini. Oleh itu, NRTI dapat melengahkan tindakan enzim HIV ini.
Gabungan dadah
Perencat protease, nukleosida dan bukan nukleosida menghalang fungsi-fungsi HIV yang berbeza. Dadah antiretrovirus jika diberi secara bersendirian, gagal untuk menghasilkan kesan yang berpanjangan. Oleh itu, dadah-dadah ini akan diberikan secara gabungan.
Rawatan Bukan Farmakologi
Tujuan pengurusan adalah untuk memberikan khidmat perubatan yang terbaik kepada individu yang telah dijangkiti AIDS, bagi mengurangkan kadar kesengsaraan dan mengelakkan diskriminasi.
1.    Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia terhadap individu yang dijangkiti HIV adalah disepadukan ke dalam perkhidmatan rawatan perubatan. Rawatan ini boleh didapati di semua hospital. Program ini dikelolakan oleh Bahagian Perubatan dan Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam (Public Health Department), Kementerian Kesihatan Malaysia .

2.    Rawatan, termasuklah kaunseling yang diberi kepada pesakit yang dijangkiti HIV dan pesakit AIDS untuk kedua-dua pesakit luar dan pesakit dalam wad. Kaunseling perlu diberikan sebelum dan selepas pesakit diuji untuk HIV

3.    Kesemua pesakit yang dijangkiti HIV akan dirawat oleh pakar di hospital yang terdekat. Disebabkan implikasi jangkitan HIV/AIDS ini adalah serius, rujukan kepada doktor pakar yang berpengalaman adalah perlu sebelum sebarang diagnosis dipastikan. Tiada wad ataupun hospital yang khas untuk pesakit AIDS ataupun mereka yang disyaki HIV positif. Pemencilan pesakit AIDS hanya dilakukan atas sebab-sebab perubatan, contohnya sewaktu pesakit telah tenat.

4.    Pesakit diberi jagaan perubatan sepenuhnya (termasuklah penggunaan Azidothymidine AZT) setelah disarankan oleh pakar yang menjalankan rawatan. Satu garis panduan mengenai penggunaan AZT telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia .

5.    Kesemua individu yang dijangkit HIV perlu menghadiri rawatan lanjutan setiap 3 hingga 6 bulan

6.    Kesemua pesakit HIV akan diberikan kaunseling perubatan yang intensif oleh doktor.

7.    Kesemua pesakit akan diberitahu mengenai diagnosis serta dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai
Di samping terapi dadah, terdapat satu faktor lagi yang boleh menyumbang kearah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS, iaitu pemakanan yang sihat. Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV.
Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan. Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.

Sumber: sini


AHP: Pembaca bukan di bidang perubatan boleh faham tak istilah dan ayat-ayat entry ni? Saya sendiri pun sebenarnya tak berapa nak faham, cuma buat-buat faham dan cuba nak faham...