HIV berkaitan dengan penurunan daya tahan melawan penyakit
Sel-sel limfosit merupakan sel-sel penting di dalam sistem ini. B-limfosit menghasilkan antibodi (sejenis protein bagi memusnahkan agen jangkitan) T-limfosit melawan serangan kuman (bakteria, virus dan fungi) dan mengawal barah.
Neutrofil & makrofaj monosit sel darah putih yang terlibat di dalam pemusnahan (menelan) kuman yang menyerang tubuh badan. T-limfosit adalah penggerak utama di dalam sistem pertahanan tubuh melawan penyakit.
Apabila kuman memasuki tubuh badan manusia, sel-sel T-limfosit (helper) akan dirangsang untuk bertindak balas dengan membelah dirinya (cell division) serta mengeluarkan sejenis bahan kimia “limfokin”.
Limfokin ini berfungsi mengawal pertumbuhan dan tahap kematangan sel-sel limfosit yang lain terutamanya sel-sel T-limfosit (suppressor/sitotoksik) serta B-limfosit dan juga makrofaj/monosit.
Sel-sel T-limfosit (helper) membantu merangsang sel-sel B-limfosit mengeluarkan antibodi (memusnahkan kuman) sementara sel-sel T-limfosit (suppressor) membantutkan pengeluaran antibodi setelah jangkitan tamat.
Mikrofaj dan monosit berfungsi dengan menelan, menghadam dan menyediakan “kuman” sebagai sasaran (target cell) untuk dimusnahkan oleh antibodi yang dihasilkan oleh B-limfosit atau terus dimusnahkan oleh T-limfosit (citotoksik, killer).
HIV membinasakan sistem yang sepatutnya memusnahkannya dan mempertahankan tubuh badan dari serangan virus tersebut. Apabila memasuki badan ia mencari sel-sel mikrofaj dan T-limfosit (helper), melekat (pada receptor) dan seterusnya menembusinya. Sel-sel ini akhirnya menjadi mangsa dan tidak berupaya menjadi pelindung.
Setelah virus terlekat pada dinding sel, virus tersebut menanggalkan lapisan luar dan memasukkan inti (core) yang mengandungi bahan baka ke dalam sel (T-limfosit). Ketika berada di dalam sel, virus menggunakan enzim dipanggil ‘reverse transcriptase’ untuk menukar bahan bakanya (RNA) kepada DNA dan seterusnya bergabung dengan bahan baka sel (T-limfosit).
Peringkat ini pesakit berada di peringkat pengeraman (telah dijangkiti tetapi tiada tanda-tanda dan gejala-gejala).
Virus ini menetap tersembunyi di dalam nukleus sel sehingga sel dirangsang untuk membiak. Virus baru akan keluar daripada sel sambil menggunakan dinding sel sebagai selaput luar virus (bertunas). Melalui cara ini T-limfosit akan musnah.
Virus-virus baru ini akan mencari sel lain dan proses yang sama berulang, untuk seterusnya memusnahkan sistem daya ketahanan badan.
Dengan kemusnahan sistem daya tahan tubuh semula jadi, pesakit tidak berupaya melawan kuman-kuman tertentu dan akhirnya mereka akan menjadi mangsa kepada lain-lain jangkitan opurtunis yang pada kebiasaannya mudah dihadapi oleh sistem pertahanan semula jadi tubuh badan.
Jangkitan-jangkitan tersebut meliputi jangkitan yang disebabkan oleh protozoa (haiwan satu sel) tertentu seperti pneumocystis carinii, Toxoplasma, Cryptosporidium, virus-virus lain seperti Cytomegalovirus (CMV), Herpes Simplex dan Varisella Zoster, kulat-kulat seperti Candida dan Criptococcus dan bakteria seperti dengan penyakit Tuberculosis dan Typhoid.
Kebanyakan pesakit AIDS mati kerana penyakit-penyakit ini bukan kerana jangkitan HIV secara langsung. Kegagalan sistem daya tahan badan juga menyebabkan terjadinya beberapa jenis barah seperti Kaposi Sarcoma dan barah pangkal rahim.
Sumber: sini
AHP: Sesekali ngeri betul bila aku membacanya. Peliknya cantik pula bentuk virus tu pada pandangan mata aku. :)