Wednesday, February 02, 2011

ANJAKAN RAWAT DAN CEGAH

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

MULA dikesan di Malaysia pada 1986, sebanyak 86,127 kes jangkitan HIV telah dicatatkan Kementerian Kesihatan sehingga 30 Jun 2009. Dari jumlah itu, 14,955 pesakit telah menghidap AIDS dan 11,549 kematian berkaitan AIDS direkodkan.

Namun, catatan kes AIDS mengikut tahun telah menunjukkan penurunan mendadak bilangan pesakit baru, mahupun kematian akibat AIDS berikutan penemuan ubat-ubat baru.

Mula diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) pada penghujung 1980-an, aplikasi ubat antiretroviral telah menyebabkan penurunan mendadak kematian global akibat AIDS sejak pertengahan 1990-an.

Terapi percuma.

Sehingga kini, hampir 10,000 individu yang dijangkiti HIV di Malaysia telah menyertai program rawatan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy), termasuklah golongan penagih dadah.

Aplikasi HAART bukan sahaja bertujuan mengawal penularan dan perkembangan virus HIV pada individu, malahan kepada masyarakat umum.

Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (PPHIVM), Dr. Christopher Lee Kwok Choong memaklumkan ubat antiretroviral mengawal penambahan partikel virus di dalam badan dengan menghalang pembentukan virus-virus baru.

"Dengan menghalang proses virus HIV menceroboh, membunuh dan membiak dari sel sistem imun badan, sistem imuniti dapat terus berfungsi secara normal - dalam melindungi diri dari penyakit dan jangkitan."

"Ini bukan sahaja dapat mengelak atau melengahkan perkembangan kepada AIDS, malahan dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain (hasil pengurangan partikel virus dalam badan pesakit)," katanya.

Walaupun risiko jangkitan dikurangkan hasil penggunaan ubat antiretroviral, beliau menegaskan individu yang dijangkiti HIV masih boleh menyebarkannya kepada individu lain melalui aktiviti-aktiviti berisiko (melalui darah, seks rambang, perkongsian jarum).

Dengan adanya bermacam pilihan ubat kini, individu yang dijangkiti HIV telah diberikan peluang kedua untuk hidup secara normal, selagi mereka kekal mematuhi aturan pengambilan ubat.

Dr. Lee menjelaskan aplikasi HAART bersama metadon juga membolehkan golongan penagih mendapat rawatan dan mengelakkan penularan virus HIV di dalam badan mereka.

"Pengambilan metadon membolehkan penagih dadah menjalani hidup lebih teratur. Ini penting kerana mereka perlu terus mengambil ubat untuk HIV setiap hari jika memulakan program HAART."

"Ini bukan sekadar untuk memastikan jumlah virus HIV dalam badan penagih terkawal, lebih penting lagi bagi memastikan virus tersebut tidak membentuk rintangan terhadap ubat akibat mengambil ubat secara lewa," tegasnya.

Buat masa ini, individu dengan HIV di Malaysia boleh mendapatkan ubat antiretroviral 'baris pertama' secara percuma dari hospital kerajaan.

Namun, jika virus tersebut membentuk rintangan akibat kegagalan mematuhi arahan pengambilan ubat, pesakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli ubat 'baris kedua' atau 'baris ketiga' yang jauh lebih mahal dan hanya diberikan sebahagian subsidi oleh kerjaan.

"Lebih membimbangkan, virus yang membentuk rintangan terhadap ubat antiretroviral baris pertama boleh disebarkan kepada individu lain melalui aktiviti berisiko."

"Individu yang dijangkiti dengan virus yang lebih kuat ini juga tidak dapat dirawat menggunakan ubat baris pertama dan perlu membeli sendiri ubat yang lebih mahal untuk rawatan mereka," ujar Dr. Lee.

Kelas ubat.

Bagi mengelakkan pertambahan virus HIV yang membentuk rintangan terhadap ubat antiretroviral baris pertama, pesakit perlu mematuhi jadual dan arahan pengambilan ubat dari doktor.

"Manfaat dari segi pengawalan jumlah virus dalam badan melalui HAART bukan sahaja untuk perlindungan diri sendiri, malahan untuk ahli keluarga dan juga masyarakat umum."

"Mereka yang mendapat rawatan percuma ini perlu menggunakannya sebaik mungkin supaya ubat baris pertama HAART dapat digunakan selama mungkin," kata Dr. Lee.

Beliau menyatakan rawatan HIV juga semakin maju dengan penemuan kelas terbaru ubat dikenali sebagai 'integrase inhibitor'.

Kelas terbaru ubat antiretroviral ini merupakan yang keempat selepas reverse transcriptase inhibitor, fusion/entry inhibitor dan protease inhibitor.

"Dari empat kelas ubat ini, kita akan menggabungkan sekurang-kurangnya dua jenis untuk mengawal penularan HIV dalam badan pesakit."

"Tetapi, kebiasaannya kita akan gunakan kombinasi tiga kelas ubat bagi memastikan rawatan paling berkesan diberikan dari mula lagi."

Walaupun ubat-ubat baru yang ditemui lebih berkesan, Dr. Lee memaklumkan ia tidak dapat menggantikan ubat sedia ada, atas faktor kos.

Bagi memastikan seramai mungkin individu yang dijangkiti HIV dapat dirawat, ubat baris pertama yang sama masih digunakan.

"Sememangnya ubat yang paling mujarab, berkesan dan kurang kesan sampingan menjadi pilihan. Namun, keutamaan kini adalah jumlah pesakit yang dapat dirawat.
"Oleh itu, ubat yang lebih murah tetapi cukup berkesan dalam mengawal virus HIV terus digunakan," jelasnya.

Dengan kerjasama dari syarikat pengeluar, Dr. Lee berharap ia dapat membantu mengurangkan harganya ubat-ubat baru kelak.

Sementara harga ubat tersebut turun, beliau menegaskan pesakit sekurang-kurangnya mempunyai alternatif jika ubat baris pertama sudah gagal berfungsi untuk mereka.

"Integrase inhibitor buat masa ini digunakan sebagai ubat baris kedua dan ketiga. Jika harganya dapat dikurangkan, tidak mustahil ubat kelas baru ini dapat digunakan sebagai rawatan baris pertama."

"Ubat baris pertama sedia ada juga dahulunya jauh lebih mahal. Kini, ia sudah cukup murah untuk diberikan kepada pesakit secara percuma," katanya.

Dr. Lee juga ingin menekankan supaya umum memahami jangkitan HIV kini ada ubat dan rawatannya.

"Pencegahan adalah langkah terbaik menentang penyakit ini tetapi jika dijangkiti, pengesanan awal amat penting untuk mengawalnya. Jika anda syak atau ragu-ragu dijangkiti virus tersebut, lakukan ujian saringan."

"Rawatan awal dapat mengelakkan pesakit menyebarkannya atau diserang penyakit lain pula. Jika sakit teruk dan ditahan wad, bukan sahaja sukar dirawat malahan untuk bekerja atau hidup juga susah," katanya.

Persepsi umum.

Dr. Lee menyatakan pandangan umum terhadap HIV/AIDS dan mereka yang menghidapinya juga semakin baik berbanding dahulu.

Namun, beliau menegaskan penerimaan dan pemahaman terhadap penyakit ini perlu terus dipupuk bagi mengelak dan mengurangkan stigma dan diskriminasi ahli masyarakat.

"Seperti dadah dan seks, HIV/AIDS merupakan sesuatu yang tabu dan jarang dibincang atau diceritakan secara terbuka."

"Oleh itu, situasi sebenar penerimaan dan persepsi terhadap penghidap HIV/AIDS masih samar berikutan ramai pesakit menyembunyikan atau tidak menceritakan kisah mereka," ujarnya.

Walaupun generasi muda dilihat lebih mudah menerima dan memahami situasi mangsa HIV/AIDS, Dr. Lee berharap stigma dan diskriminasi dapat terus ditangani, bermula dari kakitangan kesihatan sendiri.

Menurutnya, doktor dan jururawat menjadi antara baris hadapan yang berhubung terus bersama pesakit dan oleh itu perlu mengelakkan sebarang diskriminasi.

"Kita cuma mahu pesakit diberikan peluang! Peluang untuk hidup secara normal, bekerja dan menjalani hidup harian tanpa diskriminasi."

"Dengan bantuan ubat sedia ada dan penerimaan masyarakat umum, individu dengan HIV dapat terus hidup secara produktif, untuk diri sendiri dan juga untuk ekonomi negara!"

Jangkitan.

Tahun 2002 .mencatatkan kemuncak kes baru jangkitan HIV di negara ini. Bagaimanapun, 2002 juga menjadi detik permulaan penurunan bilangan kes baru selama tujuh tahun berturut-turut.

Secara keseluruhan, jumlah jangkitan HIV menunjukkan 78,926 (90.9 peratus) terdiri daripada golongan lelaki sementara 7,801 (9.1 peratus) lagi perempuan.
Bagaimanapun, pecahan mengikut tahun menunjukkan peratusan kes baru bagi lelaki semakin menurun. Ini secara mudahnya menunjukkan peratusan bagi kes baru meningkat di kalangan wanita.

"Walaupun rawatan sedia ada semakin baik, langkah pencegahan tidak boleh diabaikan."

"Trend peningkatan peratusan kes baru wanita dijangkiti HIV bukan sahaja membahayakan nyawa wanita, malahan nyawa anak yang dikandung mereka," tegas Dr. Lee.

Mengikut catatan rekod kes HIV/ AIDS yang diterima Pusat Sumber Majlis AIDS Malaysia, dua kes pertama jangkitan HIV pada wanita dikesan pada 1988 sementara penghidap AIDS wanita pertama direkodkan pada 1991.

Rekod menunjukkan peratusan jangkitan HIV di kalangan wanita hanya 1.5 peratus pada 1989 dan terus meningkat sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007.

Sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada pada 18.57 peratus dan semakin meningkat menghampiri garisan 20 peratus pada pertengahan 2009.

"Sejajar dengan peningkatan peratusan kes baru di kalangan wanita, dapat dilihat juga peningkatan cara jangkitan HIV melalui hubungan seksual."

"Walaupun kes baru paling banyak melibatkan lelaki dan melalui perkongsian jarum, peningkatan penyebaran HIV melalui hubungan seksual kini telah mencecah 18.6 peratus."

Tegas Dr. Lee, hubungan seksual bukan sahaja melibatkan secara heteroseksual (lelaki-wanita), malahan MSM (homoseksual atau biseksual) dan juga lesbian (wanita-wanita).

Beliau mendedahkan, rekod kes baru menunjukkan ada lelaki normal yang sudah berkahwin tetapi masih mengadakan hubungan seks MSM dengan lelaki lain dari masa ke semasa. Ini bukan sahaja mendedahkan diri mereka kepada HIV, malahan isteri dan mungkin juga anak jika isteri mereka mengandung.

Rekod menunjukkan perkongsian jarum dadah menjadi punca utama penyebaran HIV (secara keseluruhan) di negara ini. Hubungan seks pula menjadi punca kedua utama.

Sebanyak 76.9 peratus kes jangkitan HIV juga berlaku di kalangan remaja dan golongan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun. Ini mungkin boleh dikaitkan dengan bermacam gejala sosial seperti pengambilan dadah, alkohol dan juga seks rambang yang semakin meningkat.

"Kita juga dapat melihat ada perubahan gaya pengambilan dadah dari jenis yang disuntik kepada jenis pil seperti syabu (juga dikenali sebagai methamphetamine, Crystal, Speed, Crank, Ice, Glass, Tick-Tick, whiz)."

"Walaupun mengelakkan risiko jangkitan HIV melalui jarum suntikan, penggunaan syabu menggalakkan penggunanya membentuk 'sikap ingin mengambil risiko'," jelas Dr. Lee.

Jelasnya, seperti orang yang mabuk, pengguna syabu akan hilang kewarasan akal dan lebih mudah terjebak dalam aktiviti berisiko seperti seks rambang - terutamanya tanpa perlindungan (kondom).

Mereka juga tidak akan tahu diri sendiri telah dijangkiti HIV selagi tidak menjalani pemeriksaan darah. Malangnya, kebanyakan daripada mereka hanya akan mendapatkan pemeriksaan selepas mula jatuh sakit.

Memandangkan jangkitan HIV mengambil masa untuk memberi kesan, individu yang dijangkiti itu mungkin telah menjangkiti lebih ramai orang melalui aktiviti seks rambang, seks bersama pasangan, cucukan jarum (sengaja atau tidak) dan juga pemindahan darah.

HIV, dadah dan seks merupakan sesuatu yang sukar dibincangkan dalam masyarakat Timur, dan kaitan antara hubungan seks dan peningkatan kes baru HIV di kalangan wanita masih belum jelas.

Namun, pendidikan berterusan, pemahaman moral, ajaran agama dan langkah pencegahan bersama diharap dapat melindungi seramai mungkin dari benca HIV/AIDS.

Perlu difahami, wanita yang dijangkiti HIV sebenarnya menjejaskan dua hidup - wanita itu sendiri dan anak yang mungkin dikandung. Walaupun bilangan wanita yang telah dijangkiti masih rendah, jangan pula dibiarkan statistik terus meningkat. Setiap satu dari statistik itu bukan menunjukkan harta atau objek, tetapi nyawa manusia yang terpaksa hidup dengan segala bebanan HIV/AIDS - derita, stigma dan diskriminasi.

Sumber: sini