Siapa “aku”?
Inilah soalan yang paling payah aku nak jawab. Maklumlah melibatkan banyak perkara. Bimbang mendatangkan fitnah terhadap keluarga dan profesion murni yang aku pikul. Tak cerita pula, seolah-olah masyarakat umum akan menganggap HIV ni hanya penyakit untuk orang-orang jahat. Susah, kan?
SEKARANG
Beginilah, aku cerita sekadar patut sajalah ya. Aku berumur pertengahan 40an. Bidang aku ialah akademik. Kira ala-ala ‘ustaz’ jugalah. Kalau terdesak tu, ada jugalah sesekali jadi imam di surau atau masjid.
Punyai 2 isteri. Kedua-duanya di bidang profesional. Social engineering. Mempunyai 2 cahaya mata lelaki. Yang sulung sedang belajar di IPT dan yang kedua akan menghadapi PMR pada tahun ini (2011).
Alhamdulillah keluarga kami adalah keluarga yang sangat bahagia. Kami semua tinggal serumah kecuali anak sulung yang belajar di IPT. Makan dan solat berjemaah sangat kami titik beratkan. Apa-apa aktiviti terasa pincang jika tiada salah seorang ahli keluarga.
Anak-anak pula sangat rapat dengan kami dan menunjukkan kesungguhan dan kecemerlangan dalam pelajaran. Aku tidak merokok (pernah merokok), menjauhi minuman keras, tidak terlibat dalam penyalahangunaan dadah dan jauh sekali daripada melakukan hubungan seks secara rambang.
Selain itu, aku juga adalah pelajar luar kampus bagi satu program khas di salah sebuah IPTS.
ZAMAN KANAK-KANAK
Aku adalah anak kampung yang miskin, terpencil dan di pedalaman Pantai Timur pada era 1960an. Terlalu kurang kemudahan asas ketika itu . Kedua ibu bapa adalah petani dan penoreh getah.
Walaupun biasa hidup susah, ibu dan bapaku sangat menitikberatkan soal pendidikan. Aku adalah Ketua Murid ketika sekolah rendah.
ZAMAN REMAJA
Sejak berumur 12 tahun, aku terpaksa berpisah dengan keluarga. Kampungku tiada Sekolah Menengah. Sejak itu, aku merantau belajar di sekolah agama dan cuma pulang bila cuti panjang. Itu pun kena buat macam-macam kerja kampung.
Zaman dulu-dulu kemudahan asrama sangat terhad. Aku pernah tinggal di asrama tetapi dibuang asrama kerana aku lewat seminggu memulakan persekolahan pada awal tahun semasa Tingkatan 2. Puncanya kerana masih mahu mencari duit lebih, menoreh getah. Zaman dulu-dulu faham-faham sahajalah tindakan guru-gurunya. Bimbingan dan kaunseling jauh sekali.
Ala... minggu-minggu awal persekolahan ketika itu bukan belajar apa pun, jadi aku ambil kesempatan menoreh getah kerana mahu membeli seluar jeans yang aku impi-impikan. Rupa-rupanya kena buang asrama! Ada ke patut? hehe...
Sejak itu aku hidup melara. Dengan bekal RM50 sebulan aku terpaksa survive untuk membayar rumah sewa (sebenarnya sebelah atas reban ayam orang yang dijadikan rumah sewa), membeli beras, lauk-pauk dan sebagainya. Jenuh merempat dan berpindah-randah. Belajar dalam cahaya pelita ketika malam, mandi dan minum air paya ketika dahaga.
Mudah cerita, zaman remajaku penuh liku. Jiwaku sentiasa memberontak dan rendah diri. Inferiority complex. Semuanya terpaksa sendiri. Hubungan dengan Tuhan agak longgar dan jiwa terasa kosong. Sebagai escapism dan sikap naif ketika itu, aku bercampur dengan macam-macam golongan remaja yang senasib.
Iron Maiden, Metallica, Led Zeppelin, ACDC, Ratt dan macam-macam kumpulan metal Barat lambang pemberontakan jiwa (kononnya). Kadang-kadang aku bersikap anti-social akibat perjalanan hidup aku.
Hidup susah, berjauhan dengan keluarga dan tanpa kawalan bukannya mudah bagi seorang remaja. Pada peringkat ini prestasi pelajaranku masih cemerlang. Barangkali kerana doa-doa dan sikap tawakkal ayah dan ibu yang pasrah inginkan aku berjaya dalam pelajaran.
Menjelang SPM, prestasi pelajaranku mula merudum. Aku tak mampu melawan terlalu banyak tekanan termasuk tekanan untuk cemerlang dalam peperiksaan. SPM aku hancur walaupun aku layak ke Tingkatan 6 Rendah.
Untuk bersikap jujur, sejak Tingkatan 6 Rendah aku akui pernah (beberapa kali) mencuba ganja dan ubat batuk akibat adrenalin remaja dan pengaruh kawan-kawan, tetapi jauh sekali mengambil dadah secara suntikan (IDU).
Alhamdulillah keputusan STPM aku boleh tahan. Walaupun mendapat beberapa tawaran IPTA, aku lebih berminat memasuki pusat pengajian yang menjanjikan peluang pekerjaan kerana bosan dengan masalah kewangan. Bagi aku, kerja dulu baru sambung belajar.
Ketika belajar, beberapa kali aku hampir-hampir berhenti kerana masalah kewangan. Selepas bekerja, aku mula larut dengan tanggungjawab terhadap profesion dan keluarga sehingga dalam 2, 3 tahun lepas, hatiku terbuka semula untuk menyambung kembali pelajaranku.
Persoalannya, di manakah puncanya aku mendapat virus HIV?
AKU PUN TAK TAHU!
Adakah hanya kerana pernah beberapa kali mencuba ganja dan ubat batuk di zaman jahiliah, aku akan dijangkiti HIV?
Betul, perbuatan tersebut salah tetapi apa relevannya dengan punca jangkitan virus?
Adakah anda faham betapa seksanya jiwa bila dijangkiti virus maut sedangkan kita sendiri tidak tahu di mana puncanya?
Adilkah stigma dan judgemental yang dilemparkan terhadap pembawa HIV sehingga mereka dianggap terlalu hina dan berdosa sehingga patut mendapat HIV?
Mudah cerita, redha dan terima sahajalah ketentuan Ilahi. Kalau tidak, mahu gila aku dibuatnya.
APH:
Firman Allah yang bermaksud,
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Al-An’am: 17)