Ustaz Amin dan para penghuni Al-Ukhuwah
Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa bagi aku kerana dapat menyambut Ma’al Hijrah dengan lebih bermakna.
Sebelum ini Ma’al Hijrah aku lebih kepada tidur, tengok TV dan tidur lagi.
Seperti yang pernah aku tulis sebelum ini, aku bersama-sama warga Yayasan Al-Ijabah pimpinan Ustaz Amin serta sebuah syarikat korporat, T-Nest telah menganjurkan aktiviti ramah mesra antara ‘orang kuat’ Majlis Aids Malaysia, Datuk Zaman Khan dengan para pesakit HIV/Aids Melayu yang kami keluarkan dari sebuah gereja tempoh hari.
Fazli (Sinar Harian), aku, Ustaz Mahadi (Masjid Negara), Datuk Zaman dan Nazri (T-Nest)
Alhamdulilah, rakan-rakan lama dari agensi media seperti Shamsul Illani (TV3), Fazli (Sinar Harian), Rohani (Utusan Malaysia) serta adik-adik dari RTM dan Astro Awani juga hadir memberi sokongan dengan membuat liputan dan ini benar-benar membuatkan hati aku tersentuh dan gembira.
Sahabat-sahabat media yang supportive abissss!!!
Pada mulanya aku dan kawan-kawan risau juga jika program ini tidak mendapat sambutan, maklumlah, buat program untuk pesakit HIV/AIDS ni orang dengar pun ‘seram’.
Tetapi Alhamdulilah, memang benar kata orang, jika niat kita ikhlas, Allah memudahkan segala urusan kita.
Daripada zero, majlis ini akhirnya mendapat sponsor/tajaan daripada banyak pihak.
SJ Caterer menaja nasi Arab yang cukup menyelerakan, T-Nest dari segi kewangan dan syarikat rakan aku, Syarul yang memberi sumbangan zakat.
Anak-anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah juga turut hadir… merekalah yang ‘memeriahkan’ banglo yang selama ini sepi itu dengan bacaan zikir dan selawat.
Anak-anak yatim Al-Ijabah
Aku dapat lihat wajah terharu penghuni rumah ini kerana masih ada masyarakat yang mengambil berat tentang masalah dan derita yang mereka tanggung.
Selama ini mereka sudah puas dihina dan dikeji, merempat di sana-sini hingga kepada peringkat menjadi ‘bangkai bernyawa’.
Pesakit HIV dijaga baik oleh paderi… depan pintu gambar Jesus… salah siapa?
Tetapi para paderi Kristian mengambil dan menjaga mereka… mereka diberi ubat hingga ke peringkat dimandikan setiap hari.
Sebenarnya kita patut malu kerana saudara seagama kita ini dicuci kudis dan najis mereka oleh mereka yang bukan daripada agama kita.
Sedangkan kita bukan main lagi beretorik kononnya kita bersaudara, kitalah ummah terbaik dan sebagainya.
Nasib baiklah ada insan seperti Ustaz Amin yang sanggup bersusah payah membawa saudara-saudara kita ini keluar dari gereja itu dan menempatkan kesemuanya di banglo usang ini.
Dan untuk pengetahuan semua, hampir kesemua kos di rumah itu yang jumlahnya mencapai ribuan ringgit sebulan terpaksa ditanggung sendiri oleh Ustaz Amin dan rakan-rakannya.
Sebab itulah aku dan para sahabat mahu Datuk Zaman datang sendiri ke sini agar beliau dan pihak yang berkenaan boleh sama-sama membantu mengurangkan beban Ustaz Amin baik dari segi kewangan atau apa saja yang difikirkan sesuai.
Akhir kata, aku teringat kata-kata salah seorang penghuni di sini… “Memang kami merana kerana AIDS, tetapi kami lebih derita kerana stigma!”
Sumber: sini