Sunday, January 23, 2011

MENERIMA KEPUTUSAN HIV POSITIF (1)



21 Disember 2010 kami sekeluarga tidur di rumah mertua aku di Selangor. Kebetulan pada sebelah malamnya aku minum kopi kerana terlalu kepingin sehingga aku terlupa alahanku pada kopi.

Akibatnya sesaat pun aku tak dapat tidur pada malam tersebut sedangkan 22 Disember aku perlu berjumpa doctor dan memandu ke Pulau Pinang atas urusan tertentu.

Di hospital Ampang, seperti biasa aku perlu menjalani ujian darah sebelum berjumpa doctor. Setelah lama menunggu akhirnya saat yang mendebarkan pun tiba. Aku dipanggil ke bilik doctor untuk mengetahui masalah sebenar penyakit aku melalui ujian darah sebulan yang lalu.

Seorang doctor lelaki berbangsa cina yang kelihatan sangat tegang menyambut kedatanganku. Riak wajah terlalu serius, seperti tergesa-gesa dan jauh sekali untuk senyum sepanjang pertemuan kami. Nadanya dalam pelat cina cukup tegas sehinggakan aku terasa seperti seorang penjenayah yang sedang berdepan dengan hakim yang akan menjatuhkan hukuman.

“Serius sangatkah masalah aku ni?” bisik hatiku. Isteriku yang pertama menemaniku ketika itu. Isteriku yang kedua sedang menunggu bersama anak kami di surau hospital.

“Selamat pagi doctor,” aku cuba beramah tamah sambil mengharapkan sedikit riak positif di wajah doctor tersebut. Langsung tak dilayannya.

“Abu bin Bakar?” (bukan nama sebenar) tanyanya tegas.

"Ya, saya." jawabku.

“Ini siapa?” dia bertanya sambil memandang isteriku.

“Isteri saya...” aku cuba bersikap positif walaupun jengkel dengan caranya.

“Awak boleh keluar dulu, nanti kalau perlu awak punya suami akan panggil,” nadanya memerintah. Isteriku kelihatan terpinga-pinga dan aku mula betul-betul berdebar. “Tak apalah, xxx keluar dulu, nanti abang panggil,” aku cuba menenangkan isteriku walaupun aku sendiri tidak tenang.

“Abu bin Bakar, nombor ic xxxx xx xxxx, betul?” dia bertanya tegas.

“Awak pernah menjalani pembedahan dan pemindahan darah?”

“Tak pernah kecuali semasa bone marrow biopsy baru-baru ini...”

Belum habis aku menjawab doctor tersebut terus mencelah.

“Itu saya tak ambil kira,” aku terpempan mendengar jawapannya.

“Pernah ambil dadah?”
                                                                                          
Aku keliru antara mahu berterus terang atau tidak. Rasa seperti ditelanjangkan semasa soal siasat polis tetapi kerana memikirkan perlu bercakap benar, aku terpaksa mengakuinya.

“Pernah mencuba ganja dan ubat batuk sekali dua zaman sekolah dulu,” nadaku rendah.

“Berapa tahun?”

Dalam hatiku berkata, “biar betul doctor ni, faham ke tidak apa yang aku cakap?”

“Cuma beberapa kali...” aku cuba menjelaskan.

“Ya lah, berapa lama, satu tahun, dua tahun?” dia seperti tak puas hati dan mencadangkan jawapan. Kelihatan betul-betul sama seperti perbicaraan mahkamah.

“Ya lah, satu tahun lah..” aku mula tak puas hati.

“Pernah buat seks bebas?” tanyanya lagi.

“Tak pernah,” jawabku ringkas kerana sakit hati dengan caranya yang tegang dan kasar.

“Abu bin Bakar, no ic xxxx xx xxxx, betul?” dia mengulangi soalan.

Aku hanya mengangguk lesu.

“Awak didapati HIV positif dan mempunyai hepatitis C. Tiada tanda-tanda awak mempunyai masalah kanser.” Suaranya ketika itu bagaikan panahan petir yang menyambar tubuhku.

(Kemudiannya aku disahkan pula tidak mempunyai masalah hepatitis C setelah menjalani ujian di private medical centre. Pelik juga, sekejap ada, sekejap tak ada!)  

Serentak dengan suaranya itu juga, berjuta-juta soalan menderu di kepalaku walaupun aku masih cuba bertenang.

“Tapi... ujian bone marrow saya dulu macam mana doctor?” aku cuba dapatkan kepastian.

“Itu tidak perlu, awak tak ada apa-apa masalah kanser setakat ni. Saya tak tak tau kalau lagi 10 tahun dan sebagainya.” Mudah benar jawapan beliau.

Bersambung...


APH: La hawla wala quwwata illa billah...