Wednesday, January 26, 2011

MENERIMA KEPUTUSAN HIV POSITIF (3)




Bila ditimpa sesuatu musibah atau melakukan kesilapan, lumrah manusia mudah simpati, memaafkan dan memanjakan diri sendiri. Begitu juga aku.

Pada peringkat awal aku menerima berita sebagai HIV positif ialah cuba mencari punca aku dijangkiti virus itu sendiri.

Jika aku mendakwa tidak menyalahgunakan dadah secara suntikan dan tidak melakukan hubungan seks bebas, bagaimana mungkin aku dijangkiti? Jenuh aku memikirkannya tetapi semakin difikir semakin aku tidak tahu.

Aku memikirkan segala kemungkinan termasuk sekecil-kecil kemungkinan. Adakah semasa prosedur bone marrow biopsy hampir 3 bulan sebelum ini? Maklumlah berkampit-kampit darah dimasukkan ke tubuhku.

Betul segala peralatan telah disteril tetapi adakah darah daripada penderma betul-betul bersih ketika saringan?  Adakah jangkitannya boleh secepat itu?

Adakah ketika aku bercukur dan menggunting rambut di kedai-kedai gunting kerana kadang kala memang tukang gunting memandang remeh dan tidak menukar pisau cukuran setiap pelanggan (kerana ada ketikanya mata pisaunya masih tajam) kecuali ditegur. Biasanya kedai gunting begitu tidak akan aku masuki lagi sampai bila-bila.

Adakah kerana rawatan bekam moden dan tradisional yang pernah aku cuba? Walaupun moden sekali pun, aku lihat pekerja yang melakukannya bukanlah terdiri daripada jururawat terlatih.

Atau adakah kerana rawatan terapi ikan ini yang juga aku pernah cuba? Rasanya tidak kerana tiada penjelasan lanjut secara klinikal.

Adakah kerana semasa membuat rawatan gigi kerana aku rasa sesetengah klinik gigi swasta agak cuai menjaga kebersihan peralatan?

Adakah ketika aku membuat pemeriksaan gula di farmasi-farmasi tertentu ketika baru-baru mengetahui aku mengidap diabetes suatu ketika dulu? Ketika itu aku masih belum membeli alat untuk memeriksa kandungan gula untuk kegunaan peribadi. Biasanya di farmasi-farmasi persendirian ini mereka menggunakan jarum yang dikongsi (ala-ala sejenis pen) untuk mengambil darah.

Kenapa 2 kali ujian HIV dan Hepatitis aku sebelum ini negative? Window periodkah aku?

Aku terasa seperti orang gila kerana sentiasa memikirkannya dan membuat carian di internet sehingga tidak cukup tidur selama berhari-hari. Entahlah, akhirnya aku terima saja ketentuan-Nya. Dia yang Maha Berkuasa atas segalanya. “Kun Fayakun...”

Kemudian aku memikirkan pula nasib anak-anak dan isteri-isteriku yang tidak berdosa. Adakah mereka juga dijangkiti? Bagaimana anak-anak aku akan menempuh masa depan jika positive? Akukah puncanya? Tensionnya aku tidak terkira.

Aku merasakan diriku seorang suami dan bapa yang gagal dan tidak berguna. Aku sentiasa terasa mahu menangis bila memandang anak-anakku yang masih tidak sedar tentang segala kemungkinan buruk menimpa mereka.

Seterusnya aku memikirkan pula emak, adik beradik ipar duai, mertua dan saudara mara rapatku. Selama ini aku adalah antara anchor kepada keluarga. Tidak pernah ada saudara mara rapatku mendapat penyakit ‘sehina’ ini dan tiba-tiba aku akan mati kerana AIDS? Aku memalukan keturunanku.

Mahu berterus terang? Oh, tidak!

Aku bukan takut untuk berterus-terang tetapi aku tidak mahu menimbulkan suasana panic dan menambahkan tekanan kepada keluarga akibat stigma melulu terhadap pesakit HIV dan AIDS selama ini.

Aku juga memikirkan tentang profession, majikan, rakan-rakan dan masyarakat. Aku tidak sanggup ‘memalukan’ dan mendedahkan professionku terhadap fitnah.

Selama mana aku mampu rahsiakan penyakit ini? Aku perlu ke hospital, aku perlu mendapat rawatan, badanku akan kurus kering, berkudis, kurus dan cengkung seperti lain-lain pesakit AIDS yang pernah aku lihat dan baca.

Bayangkan seorang ‘ustaz’, ‘imam’, motivator, kaunselor dan boleh dianggap pemimpin komuniti tiba-tiba sakit dan mati kerana AIDS!

Aku juga keliru untuk menjelaskan penyakitku kepada sanak saudara dan kawan-kawan yang bertanya kecuali dengan hanya mengatakan “terkena jangkitan kuman”

Adakah telah hampir ajalku? Bagaimana cara ajalku sampai? Bagaimana jika semua gejala-gejala AIDS mula menjelma? Bagaimana aku mahu memberitahu kaki tangan perubatan tentang penyakitku semasa dirawat? “Saya HIV positif, begitu?”

Aku tidak sanggup membayangkan air muka mereka yang penuh tanda soal terhadap punca penyakitku. Daerahku ini bukanlah besar sangat dan ramai yang mengenaliku. Cerita sebegini boleh menjadi big story yang sukar dibendung oleh sesiapa saja.

Bagaimana proses rawatan aku, pada siapa aku mahu mendapatkan kaunseling dan nasihat? (yang boleh aku percayai) Siapa yang boleh aku hubungi untuk berkongsi kerisauanku ini?

Siapa yang akan bersihkan najis dan kencingku bila sudah tidak berdaya? Adakah jenazahku nanti akan dimandikan dengan klorok, dimasukkan ke dalam bag plastic dan kuburku ditabur kapur seperti yang selalu aku dengar? Aku tak sanggup membayangkan mereka yang menguruskan jenazahku ketakutan dan memakai segala macam peralatan mencegah kuman.

Nampaknya makin glamour lah kami sekeluarga dengan  aib dan penghinaan. Puncanya ialah aku!

Sebenarnya masih terlalu banyak soalan sehingga aku lupa untuk berkongsi di sini. Tanpa sedar, perlahan-lahan aku mula memencilkan diri daripada masyarakat. Aku bingung untuk menjawab soalan-soalan mereka.

Aku mengalami major depression sehinggakan tergerak di hatiku untuk memilih hidup sendirian di pusat-pusat perlindungan khas pesakit HIV dan AIDS asalkan tidak menyusahkan anak dan isteriku. Biarlah, asalkan mereka tidak menanggung aib. Asalkan orang lain tidak tahu.

Bahkan beberapa kali iblis membisikkan supaya aku mengambil keputusan menamatkan saja nyawaku dengan jalan yang paling dibenci Allah.

Alhamdulillah akhirnya aku melepasi tahap tersebut dalam anggaran masa 3 minggu berkat pertolongan Allah, sokongan isteri-isteriku dan mendapat kaunseling daripada beberapa orang doctor yang sangat bagus terutamanya Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Tanpa disedari, rupa-rupanya iblis telah berjaya mengheretku supaya berburuk sangka terhadap kebesaran dan keadilan Allah. Hina dan mulia seseorang bukan terletak di tangan sesama makhluk tetapi atas kehendak dan izin Allah. Sekurang-kurangnya fikiranku sekarang ‘dirantai’ supaya sentiasa memikirkan kekuasaan-Nya.

Tak perlu dirisau tentang kematian kerana itulah fitrah kejadian makhluk. Sakit, sihat, tua, muda, miskin, kaya, orang tua dan kanak-kanak, semuanya akan mati bila sampai ajal masing-masing.

Lebih baik aku risaukan amal ibadah dan kewajiban yang masih lemah. Segala nikmat yang ada hanyalah pinjaman semata-mata. Syukur aku masih diberi kesempatan memuhasabah diri dan hanya Allah Maha Menjaga dan Maha Memelihara segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”           -Surah At-Taubah ayat 129



AHP:  Sebenarnya dalam tempoh menunggu (sebelum aku membuat ujian kali kedua di private medical centre), aku masih tidak mempercayai aku HIV positive. Seluruh emosi, fizikal dan biologi aku menolaknya sehinggakan jika terlena aku sentiasa bermimpi bahawa aku cuma berkhayal.  ‘Tidur’ ku juga sentiasa dibayangi masalah tersebut sehinggakan aku seperti tidak pernah tidur sebelum dapat menerima hakikat. Tanpa pengetahuan anak-anak aku sering menangis keseorangan seperti anak kecil yang ketakutan dan putus asa.