... kemudian doctor tersebut memberikan pilihan sama ada mahu memaklumkan keputusan HIV positif aku itu kepada isteriku atau tidak.
“Tak ada apa-apa yang perlu saya rahsiakan doctor, dia isteri dan pasangan seks saya. Dia ibu kepada anak-anak saya, saya mesti bagitahu.”
Aku menjemput isteriku masuk. Aku minta isteriku bertenang dan aku memaklumkan sendiri keputusan ujian HIV dan hepatitis tersebut. Antara perkara perkara pertama yang aku lakukan ialah menghulur tangan memohon kemaafan atas masalah yang terpaksa kami tanggung. Aku benar-benar keliru, rasa hina dan bersalah.
Sebenarnya isteriku sedia tahu tentang beberapa kesilapan lampauku kerana kami tidak pernah berahsia sejak kami berkahwin 21 tahun yang lalu. Bagi kami, kepura-puraan adalah antara pengkhianatan terbesar terhadap ikatan perkahwinan.
Selepas itu aku tak berminat lagi meneruskan perbincangan dan hanya ingin menamatkan sesi secepat mungkin. Tak guna berbincang jika setiap pertanyaan dilayan seperti acuh tak acuh.
Aku diberi pilihan sama ada mahu meneruskan rawatan di hospital Sungai Buloh atau hospital Negeri dan aku memilih hospital Negeri atas masalah kos pengangkutan. Selepas itu aku diberikan surat rujukan untuk meneruskan ujian darah serta rawatan lanjut.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan yang aku maklumkan sebelum ini. Memandulah aku walaupun semalaman tidak tidur dan dengan fikiran yang berserabut. Kalau difikir-fikir semula, Allah telah memelihara kami sepanjang perjalanan kerana fikiranku gagal focus 100% terhadap pemanduan.
Sepanjang perjalanan, aku tersiksa kerana terpaksa menahan diri daripada bercakap secara langsung tentang penyakitku kerana aku belum bersedia memberitahu anak-anakku. Bila sampai di R&R Tapah, barulah aku berkesempatan mencuri peluang untuk memberitahu keputusan terbaru ujian darah tersebut kepada isteri keduaku semasa kami berhenti rehat.
Alhamdulillah, mereka berdua sangat positif menerima keputusan tersebut, menyokong dan kelihatan sangat tabah. Inilah antara kehebatan kaum perempuan yang aku mengaku kalah. Demi cinta mereka rela berkorban apa saja. Kalau aku, usahkan soal lain, jika lelaki yang mesti mengandung dan melahirkan anak, jangan harap aku sanggup melakukannya.
Sepanjang perjalanan juga jutaan tanda soal yang besar-besar kekal berlegar di fikiranku. Semuanya menderu dan menyerbu menuntut jawapan segera. Nanti aku akan ceritakan selepas ini sebagai renungan hidup kepada semua.
Kepada pembaca dan kawan-kawan yang terlibat di bidang perubatan dan mahukan aku menyertakan beberapa maklumat lebih detail tentang keputusan ujian darah dan diabetes, aku mohon sedikit masa kerana perlu melakukannya mengikut kronologi dan mengikut keupayaan diri menulis entry. Yang pasti aku telah pun selesai menjalani western blot dan sedang menunggu appointment untuk viral load pada pertengahan Mac nanti. Sah aku adalah seorang HIV positif!
Bersambung...
AHP: Aku berani katakan bahawa antara punca utama kekusutan fikiranku ketika mula-mula menerima keputusan tersebut bukanlah tentang ujian Allah yang di luar jangka itu tetapi cara doctor tersebut menyampaikan berita. Dari aspek psikologi dan kaunseling, beliau gagal membina kepercayaan client/ pesakit terhadap beliau dan kasar dalam menyampaikan berita buruk kepada pesakit sehingga menimbulkan trauma. Beliau kelihatan hanya ingin menyelesaikan tugas, bukannya merawat atau membantu.