Di antara kes yang pertama kali dikesan pada tahun 1986 dan bulan Disember 2006, 76,389* orang telah dijangkiti HIV manakala 9,155* orang telah meninggal dunia akibat AIDS. Statistik ini menunjukkan purata 17 orang yang diuji positif bagi virus ini setiap hari.
Wabak di Malaysia ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pengguna dadah suntikan yang merupakan kira-kira 73% daripada jumlah kes. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan tentang tularan heteroseksual yang sedang meningkat.
Perkadaran wanita yang dilaporkan mempunyai HIV telah bertambah dengan besar pada dekad yang lalu daripada 4% pada tahun 1995 kepada 15% kes baru menjelang akhir tahun 2006. Kajian menunjukkan bahawa pada tahun 2006, lebih banyak suri rumah diuji positif HIV berbanding dengan pekerja seks. Pada masa yang sama, peratus bayi yang dilahir dengan HIV juga meningkat dari 0.2% kes baru pada tahun 1991 kepada 1.4% kes bagi tahun 2006.
Sama seperti di kebanyakan bahagian dunia, bilangan golongan muda di Malaysia dengan jangkitan HIV meningkat setiap tahun. Statistik bulan Disember 2006 daripada Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa 36% jangkitan ini adalah dalam kalangan umur antara 13 hingga 29 tahun. Kemungkinan orang yang dijangkiti HIV sebelum usia 30 telah dijangkiti dalam lingkungan umur dua puluhan malah ada antaranya semasa usia remaja mereka.
Ketidaksaksamaan gender, stigma, diskriminasi, berdiam diri, penafian dan kejahilan menjadi bahan pembakar wabak ini di Malaysia.
TARIKH 5 Jun 1981 merupakan kali pertama Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menerima laporan kes AIDS. AIDS mula diguna pakai CDC sejak September 1982 sebagai satu definisi seragam untuk penyakit tersebut yang berpunca daripada jangkitan virus kekurangan imuniti manusia (HIV).
AIDS kini adalah satu wabak pandemik dengan lebih 30 juta orang telah dijangkiti HIV di seluruh dunia dan lebih 2 juta daripadanya maut akibat AIDS.
Benua yang paling teruk diserang wabak ini adalah Afrika yang merekodkan lebih 75 peratus jumlah kematian berkaitan AIDS, diikuti Asia Selatan dan Asia Tenggara. Seseorang yang dijangkiti HIV hanya akan menghidap AIDS apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) telah teruk dirosakkan virus tersebut, sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).
AIDS memberi kesan kepada semua anggota badan dan mempunyai beberapa peringkat dari jangkitan hinggalah kepada AIDS. Peringkat-peringkat tersebut ditentukan melalui kiraan jumlah sel darah putih (jenis CD4) yang masih ada dan kehadiran jangkitan kuman tertentu pada pesakit. Tempoh perkembangan jangkitan HIV kepada AIDS berbeza mengikut individu, seawal dua minggu hinggalah 20 tahun (selalunya antara lapan ke 10 tahun).
Malaysia
Mengikut catatan rekod kes HIV/AIDS yang diterima Pusat Sumber Majlis AIDS Malaysia, kes pertama jangkitan HIV dan penghidap AIDS berlaku pada 1986. Jangkitan HIV pada tahun itu melibatkan tiga pesakit lelaki sementara seorang pesakit lelaki dilaporkan menghidap AIDS.
Dua kes jangkitan HIV wanita pertama kali dikesan pada 1988 sementara penghidap AIDS wanita pertama direkodkan pada 1991. Golongan lelaki sentiasa merangkumi peratusan utama jangkitan HIV (lebih 80 peratus) dan penghidap AIDS sejak 1986 sehinggalah rekod terbaru enam bulan pertama 2008.
Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (PPHIVM), Dr. Christopher Lee Kwok Choong menjelaskan, secara keseluruhannya, lebih 10,000 kematian berkaitan AIDS dicatatkan di negara ini sejak ia mula dikesan pada 1986.
“Analisis sejak enam tahun lalu bagaimanapun menunjukkan penurunan jumlah kes jangkitan baru HIV di Malaysia dan ianya berterusan menurun sehingga kini.
“Itu merupakan satu berita baik, tetapi terdapat juga berita buruk. Walaupun bilangan pesakit baru semakin menurun, bilangan dan peratusan wanita yang dijangkiti HIV setiap tahun dilihat semakin meningkat,” tegasnya.
Menurut beliau, trend peningkatan mendadak sejak 1989 ini (setahun selepas jangkitan HIV wanita pertama) adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Rekod menunjukkan peratusan jangkitan HIV di kalangan wanita hanya 1.5 peratus pada 1989 dan terus meningkat sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007. Sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada 18.57 peratus.
Dr. Lee yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Hospital Sungai Buloh menyatakan trend tersebut mungkin dipengaruhi perubahan cara jangkitan.
“Mungkin jangkitan HIV mula beralih dari perkongsian jarum suntikan dadah (IDU) kepada transmisi seksual.
“Sebelum ini, kira-kira 75 peratus jangkitan berlaku melalui IDU tetapi kini telah berkurangan kepada sekitar 66 peratus, sedangkan jangkitan HIV melalui hubungan heteroseksual semakin meningkat,” jelasnya.
Rekod menunjukkan pengambilan dadah IDU menjadi punca utama penyebaran HIV dan menghidap AIDS (secara keseluruhan dan sepanjang enam bulan pertama 2008) di negara ini.
Hubungan seks heteroseksual menjadi punca kedua utama penyebaran HIV dan menghidap AIDS (secara keseluruhan dan sepanjang enam bulan pertama 2008) tetapi dilihat semakin meningkat.
Jangkitan HIV di Malaysia turut direkodkan berlaku melalui pemindahan darah tercemar, pemindahan organ (hanya tiga kes) hubungan seks songsang (homo/biseksual) atau dari ibu kepada anak.
Halangan utama
Dengan kehadiran HAART, kawalan HIV/AIDS bukan lagi menjadi halangan utama untuk pesakit hidup sihat dan menjalankan aktiviti harian seperti individu sihat lain.
Bagaimanapun, Dr. Lee membangkitkan dua halangan utama dalam kawalan penyakit ini di Malaysia.
“Salah satu isu penting di sini adalah menggalakkan pesakit untuk datang mendapatkan dan memulakan rawatan.
“Pesakit yang mendapat rawatan berkesan dapat kekal sihat dan meneruskan kehidupan harian mereka atau bekerja seperti biasa,” jelasnya.
Halangan kedua katanya, adalah masalah kepatuhan pengambilan ubat kerana jika tidak dijaga mungkin akan menyebabkan rintangan virus terhadap ubat baris pertama berkenaan.
Tambahnya, jika ubat baris pertama sudah tidak berkesan, pesakit boleh beralih kepada ubat baris kedua atau ketiga tetapi ianya bukan percuma dengan harga sekitar RM1,000.
Oleh itu, pesakit HIV/AIDS perlu memastikan rawatan ubat baris pertama HAART terus berkesan kerana ubat baris kedua atau ketiga bukan sahaja lebih mahal, malahan mungkin kurang berkesan dalam mengawal virus tersebut.
Dr. Lee mendedahkan banyak kelas baru ubat untuk penyakit ini ditemui dalam tiga tahun kebelakangan ini yang didapati lebih berkesan membunuh virus di samping kurang kesan sampingan.
“Ubat-ubat baru ini bagaimanapun amat mahal dan boleh mencecah RM1,200 setiap satu. Ianya digunakan sebagai ubat baris ketiga bagi pesakit yang gagal mengawal keadaan mereka.
“Tetapi, dari sudut positif, sekurang-kurangnya ubat untuk HIV/AIDS ada dan semakin murah setiap hari,” ujarnya.
Menurut beliau, 12 tahun lalu kos mencecah lebih RM1,000 tetapi kini hanya sekitar RM160, menjadikan HIV/AIDS satu jangkitan yang boleh dikawal.
Dr. Lee menegaskan pencegahan adalah langkah terbaik menentang penyakit ini tetapi jika dijangkiti, pengesanan awal amat penting untuk mengawalnya.
“Fahami bahawa HIV/AIDS ada ubat dan rawatannya. Jika anda syak atau ragu-ragu dijangkiti virus tersebut, lakukan ujian saringan.
“Rawatan awal dapat mengelakkan pesakit diserang penyakit lain pula. Jika sakit teruk dan ditahan wad, bukan sahaja sukar dirawat malahan untuk bekerja atau hidup juga susah,” katanya.