Tuesday, January 18, 2011

PERISTIWA SEBELUM DISAHKAN HIV POSITIF (1)



Sejak 2,3 tahun yang lalu aku disahkan diabetic. Beberapa kesan biasa seorang diabetic ialah kelesuan, kebas kaki dan tangan serta sering keletihan. Memang sukar mengawal gula walaupun aku tahu diabetes adalah ibu kepada segala macam penyakit kronik. Tambahan lagi aku memang kaki makan. Aku sangka keletihan aku selama ini hanyalah disebabkan penyakit tersebut.

Dalam tempoh tersebut juga aku sering mengalami pendarahan gusi dan bibir tetapi tidaklah terlalu serius. Aku jangkakan ianya berpunca daripada masalah gusi dan bibirku yang kering kerana aku sering berasa dahaga.

Suatu hari, 4 bulan yang lalu aku mengalami pendarahan (bleeding) gusi dan bibir yang hampir tidak berhenti langsung. Walaupun sering berkumur dengan antiseptic mouthwash, bleeding tetap berlaku. Akhirnya aku cuba dapatkan rawatan di klinik swasta.

Klinik swasta menyarankan aku membuat ujian darah di Klinik Kesihatan Daerah kerana bimbang aku dijangkiti denggi. Memang sah bacaan plateletku amat rendah dan aku dimasukkan ke Hospital Daerah kerana suspek denggi.

Selama 2 hari aku di wad biasa, akhirnya aku dipindahkan ke HDW (High Dependency Ward) kerana bacaan platelet dan sel darah putihku tidak menunjukkan peningkatan.

Selepas 2 hari di HDW, aku kembali ke wad biasa. Ramai doctor dan nurse adalah kenalanku kerana daerah yang aku tinggal ini bukanlah besar sangat. Tambahan aku tinggal dan bertugas di kawasan berdekatan.

Sejak itulah secara tiba-tiba sahaja aku terasa berbagai-bagai mimpi ngeri datang dalam hidupku.

Mula-mula doctor menjangkakan aku menghadapi masalah leukimia. Hampir pitam bila  aku menerima berita tersebut. Puas bertungkus lumus menguatkan hati cuba menerima berita sedih. Aku cuba terima suratan takdir seadanya.

Baru sahaja aku mula menerima hakikat, timbul pula andaian lain bahawa aku mengidap sejenis kanser yang jarang berlaku iaitu multiple myeloma. Jangka hayatku dijangkakan antara 3-5 tahun sahaja lagi. Lagilah trauma dibuatnya.

Untuk mengesahkannya, doctor perlu menjalankan bone marrow biopsy. (pengambilan sampel darah dari tulang sum-sum). Aku diberi ‘cuti’ selama seminggu sebelum menjalaninya.

Pihak hospital menjanjikan aku doctor pakar tetapi yang melakukan prosedur  bone marrow biopsy tersebut terdiri daripada M.O. yang muda-muda. Akibatnya, bukannya 1 tetapi 3 tusukan di tulang punggungku. Derita melaluinya, Tuhan sahaja yang tahu.  Sampai sekarang ngilunya masih terasa. Itu pun dimaklumkan kemudiannya bahawa sampel yang diambil tidak mencukupi dan tidak diperlukan. Failnya dikatakan ‘hilang’ entah ke mana.

Ketika prosedur bone marrow biopsy tersebutlah berkampit-kampit platelet dan plasma dimasukkan ke tubuhku. Ketika itu jugalah baru aku tahu bahawa aku berisiko mendapat jangkitan kuman melalui prosedur tersebut terutama melalui pemindahan darah. Tambahan lagi aku seorang diabetic. Aku perlu menandatangani beberapa borang ‘kebenaran’ dan akujanji sebelum menjalani prosedur tersebut.

Bila aku membuat sedikit carian maklumat melalui kenalan yang bertugas sebagai doctor, pengalaman individu, internet dan memahami sedikit sebanyak tentang tatacara pendermaan dan pemindahan darah, jelaslah kemungkinan human error semasa ujian penyaringan darah tetap berlaku. Bahkan pesakit berkemungkinan dijangkiti apa-apa saja jenis jangkitan.

Tetapi tiada gunanya saling menuding jari... Wallahu aklam.

Bersambung....



APH: Utamakan ahli keluarga sendiri jika terpaksa melakukan pemindahan darah.