“BILA dapat tahu saya dijangkiti HIV positif, saya nekad untuk menjalani hidup dengan lebih positif dan mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi ke mana harus saya tuju?
“Oleh kerana tiada tempat pemulihan dan perlindungan khusus untuk pesakit HIV lelaki muslim di negara ini, kami terpaksa menumpang teduh di gereja,” cerita Latif Osman, 40-an, (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal baru-baru ini.
Latif dan tujuh rakannya yang baru dua bulan ditempatkan di Baitul Fiqh, Subang, Selangor begitu lega kerana kini dia tidak lagi perlu menghuni rumah perlindungan kelolaan sebuah gereja di Selangor.
Untuk maklumat, selama ini hampir semua rumah perlindungan HIV yang dikelolakan pertubuhan bukan kerajaan atau pihak persendirian beragama Islam dikhususkan untuk pesakit HIV/ AIDS wanita.
Latif nekad untuk keluar dari rumah perlindungan sebelum ini selepas melihat seorang rakannya meninggal dunia akibat penyakit tibi. “Jenazahnya yang tidak dituntut oleh keluarganya telah diuruskan mengikut cara Kristian sedangkan dia seorang muslim,” cerita Latif.
Menurut Latif, Baitul Fiqh pada asalnya ialah rumah perlindungan untuk bayi-bayi yang dibuang oleh ibu mereka namun terpaksa menerima pesakit HIV memandangkan tiada rumah perlindungan khusus yang sanggup menerima mereka.
“Memang ada banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki, tetapi semuanya diuruskan oleh gereja Katolik sedangkan ramai pesakit ialah orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.
“Saya percaya ramai lagi rakan-rakan sebangsa saya yang ingin keluar dari rumah perlindungan tersebut namun tiada tempat yang boleh dituju. Hendak balik kampung, keluarga sudah membuang mereka,” ujarnya.
Latif yang sudah 18 kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan dadah berkata, pesakit HIV memang tidak boleh lari daripada stigma negatif masyarakat, namun mereka perlu tetap pendirian jika benar-benar ingin berubah.
“Kami tidak boleh menyalahkan masyarakat. Namun kami juga mahu masyarakat faham bahawa kami mahu bertaubat dan menjalani kehidupan normal,” ujar anak kelahiran Kuala Selangor ini yang mula menyuntik dadah ke tubuhnya ketika berusia 18 tahun.
Seorang lagi pesakit HIV, Mashud Jamil, 35, (bukan nama sebenar), berkata, dianggarkan beribu-ribu pesakit HIV muslim bakal kehilangan pedoman jika mereka tidak dikeluarkan segera dari rumah perlindungan Katolik berkenaan.
“Rumah perlindungan Katolik berkenaan sangat prihatin dengan nasib pesakit HIV yang tiada keluarga dan merempat di kaki lima dengan menyediakan rumah perlindungan, makan minum dan ubat-ubatan.
“Namun, apa yang menimbulkan rasa kurang selesa bagi pesakit muslim ialah tiada pengisian agama dan kami tidak bebas untuk melakukan ibadah seperti bersolat dan mengaji,” katanya yang pernah tinggal di rumah perlindungan Katolik di Melaka beberapa tahun lalu.
Jelas Mashud, kebanyakan rumah perlindungan ini tidak memaksa mereka untuk menukar agama tetapi jika pesakit dalam keadaan nazak, pihak pengurusan akan berdampingan dengan pesakit sehingga akhir hayatnya.
Bagi Mashud, itu adalah fasa yang menggerunkan kerana walau seteruk mana pun perjalanan hidupnya, dia masih mahu mati sebagai seorang Islam.
Selamatkan akidah mereka – Juhaidi
MENURUT Yang Dipertua, Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, di sekitar Lembah Klang sahaja, terdapat kira-kira 3,000 penghidap HIV yang dilaporkan masih aktif mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan bulanan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Saya percaya 65 peratus daripadanya ialah pesakit muslim. Pada masa ini mereka ditempatkan di rumah perlindungan Katolik memandangkan pertubuhan itu saja yang sanggup menerima dan menguruskan pesakit-pesakit ini.
“Apa yang membimbangkan ialah pengurusan dan pengisian di sana. Menurut penghuni sendiri, ada sesetengah rumah perlindungan memaksa mereka menukar agama jika mahu terus tinggal di situ,” katanya.
Tambah Juhaidi, memang wujud kes jenazah pesakit muslim yang tidak dituntut diuruskan pihak gereja mengikut cara Kristian.
“Ketiadaan rumah perlindungan untuk golongan itu bukan perkara remeh. Ia melibatkan soal agama dan kesihatan.
“Saya gesa pihak berkuasa seperti majlis agama Islam segera bertindak,” katanya.
Setakat ini, Baitul Fiqh menempatkan lapan penghidap HIV muslim. Bagaimanapun tiga daripada mereka telah meninggal dunia.
Sumber: sini