Sebenarnya sejak aku mengetahui isteri-isteriku bebas HIV, (sekalipun masih perlu membuat ujian darah setiap 6 bulan sekali) ianya merupakan satu kemenangan dan kelegaan besar terhadapku. Aku cukup risau keluarga dan zuriatku menderita serta ‘pupus’ akibat virus HIV.
Setelah bertemu Dr. Iskandar, aku bersedia untuk berterus terang dengan anak-anakku kerana kali ini status HIV positif telah sah dan banyak soalan-soalan besar di fikiranku telah terungkai.
Sejak disahkan sebagai HIV positif, sebenarnya aku telah lama mengambil keputusan dan menunggu masa yang sesuai untuk berterus-terang.
Tentu tidak adil jika aku berterusan mengambil sikap berahsia sedangkan kami sekeluarga tidak menerima cara begitu. Apatah lagi anak-anakku sentiasa melihat aku berulang alik ke hospital tanpa penjelasan yang pasti dariku kecuali kerana “jangkitan kuman.”
Lambat laun segala-galanya akan terbongkar juga di saat aku terlantar sakit atau apabila jenazahku diuruskan.
Sekalipun ada doctor yang berpendapat aku tidak perlu memaklumkannya kepada anak-anak tetapi aku lebih selesa berterus-terang.
Aku tak mahu dipersalahkan di kemudian hari sedangkan ketika itu segala-galanya mungkin telah terlambat. Bahkan mereka juga berisiko dijangkiti jika kami mengambil mudah terhadap masalah tersebut.
Aku kenal keperibadian anak-anakku. Mereka telah terdidik supaya sentiasa bersedia dengan perkara di luar jangka yang Allah tentukan. Hidup dan segala nikmat yang ada sekadar pinjaman semata-matanya.
15 Januari 2011, anak sulungku yang sedang belajar di IPTA pulang ke kampung. Aku dan isteri-isteriku merancang untuk memaklumkan berita berkenaan pada tarikh tersebut.
Selepas solat Maghrib berjemaah, kami sama-sama berkumpul dan aku cuba menggunakan segala pendekatan psikologi yang ada supaya mereka tidak terkejut dan memahami situasi tersebut.
Aku juga menerangkan punca-punca jangkitan, rawatan dan kesan virus terhadap pesakit. Aku minta mereka bersedia dengan segala kemungkinan dan menghadapinya sepositif mungkin.
Aku cuba perbetulkan stigma mereka, mengajak mereka mengambil iktibar daripada ujian Allah, membuat perbandingan situasiku dengan pesakit-pesakit kronik lain yang jauh lebih menderita.
Aku juga memberi peluang kepada mereka bertanya apa sahaja tentang masalah tersebut kepadaku. Nak luahkan perasaan marah pun aku izinkan jika itu yang mereka mahu.
Alhamdulillah mereka menerimanya dengan terbuka sekalipun pada peringkat awal mereka agak terkejut. Bahkan aku sangat kagum apabila aku pula yang mereka ‘kaunseling'kan.
Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk menghadapi situasi tersebut seperti biasa. Saling sokong menyokong dan menjaga rahsia tersebut selama-lamanya bagi mengelakkan tekanan yang tidak kami perlukan dalam kehidupan kami.
Sokongan, doa dan kepercayaan mereka membuatkan aku tidak terasa apa-apa masalah untuk berjuang sebagai HIV fighter.
AHP: Pasangan suami isteri (kedua-dua pesakit HIV positif) masih berpeluang mendapat anak yang sihat terutamanya jika kedua-duanya mendapat rawatan HAART walaupun doctor tidak menggalakkan keadaan tersebut berlaku. Kepada pesakit HIV: Jika anda sedia menanggung tekanan yang menggunung, tidak perlu menambahkan macam-macam lagi tekanan akibat stigma melulu. Teruskan berjuang!