Saturday, January 22, 2011

RM32.5 JUTA RAWAT PESAKIT HIV


KUALA LUMPUR 1 April - Langkah kerajaan membelanjakan sebanyak RM32.5 juta setahun untuk memberikan rawatan 'antiretroviral' kepada penghidap HIV/AIDS telah berjaya memanjangkan hayat individu berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, rawatan itu yang bertujuan merencatkan pembiakan virus pembunuh berkenaan telah membolehkan para pesakit bekerja seperti orang lain yang sihat.

"Rawatan ini adalah sebahagian daripada strategi bagi mengurangkan kematian akibat HIV/Aids," katanya menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, seramai 10,000 penghidap HIV/Aids telah diberikan rawatan antiretroviral berkenaan pada tahun lalu.

"Keberkesanan rawatan ini terbukti apabila jumlah kematian akibat AIDS telah menurun kepada 621 orang pada 2009 berbanding 900 orang (2008) dan 1,179 orang (2007)," ujarnya.

Menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Mojilip Bumburing (BN-Tuaran), Rosnah berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan beberapa pihak di Sabah bahawa mereka tidak dimaklumkan sebab kematian ahli keluarga yang bekerja di Semenanjung.

"Daripada segi dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, ahli keluarga akan dimaklumkan sebab-sebab kematian setiap individu.

"Kita hanya melarang keranda dibuka, jika ia mengandungi mayat individu yang pernah menghidap penyakit berjangkit," kata Rosnah.

Sumber: sini