Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Aku dedikasikan blog ini khas untuk semua penghidap HIV positif, ahli keluarga mereka dan para pengunjung yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut tentang penyakit ini. Segala catatan pengalaman peribadi ini diharapkan dapat membantu mereka yang terbabit dan sebagai renungan kepada insan -insan lain.
Pernah menjalani ujian HIV?
Kepada yang pernah, (mungkin kerana urusan perkahwinan dan sebagainya) akui sahajalah bahawa sekalipun anda menjalani cara hidup yang sihat tetapi debarannya tetap ada semasa menunggu keputusan. Kita berisiko dijangkiti HIV dengan pelbagai cara lain yang biasanya tidak kita sedari.
Kepada yang belum pernah, ingat ya, sesiapa sahaja berpotensi menghidap HIV. Jadi, jangan cakap besar!
Umumnya 4 faktor utama jangkitan yang kita ketahui iaitu melalui perkongsian jarum suntikan yang tercemar, melalui hubungan seks rambang, dari ibu kepada anak dan melalui pemindahan darah.
Ya, aku disahkan HIV positif selepas menjalani ujian darah (western blot) sejak 28 Disember 2010. Puncanya? Sabarlah... nanti aku akan ceritakan.
Aku akan cuba berkongsi segala pengalaman ini secara terperinci tetapi terdapat beberapa perkara yang terpaksa aku rahsiakan demi menjaga maruah keluarga dan menghindari stigma masyarakat.
Sesungguhnya tidak ada manusia yang inginkan dirinya dipandang hina. Tekanan stigma masyarakat terhadap pesakit HIV positif dan ahli keluarga adalah jauh lebih berat berbanding tekanan menghadapi penyakit itu sendiri. Mereka terhukum dengan perspektif yang sungguh tidak adil dan akan dikaitkan dengan pelbagai gejala negative termasuk daripada segelintir kakitangan kesihatan sendiri.
Mereka yang teraniaya termasuklah isteri-isteri yang dijangkiti melalui suami, anak-anak yang tidak berdosa, ahli keluarga terdekat dan mereka yang dijangkiti akibat human error.
Sekalipun ada di kalangan pengidap HIV positif pernah melakukan beberapa kesilapan di masa lampau dan ingin berubah, adakah sikap sinis dan cemuhan kita dapat membantu mereka menjalani hidup secara positif dan kembali ke jalan Allah? Wajarkah kita menghukum mereka sebegitu rupa sedangkan terlalu banyak faktor dan rahsia hidup yang belum kita selami?
Aku akan cuba berkongsi pengalaman ini selagi diizinkan-Nya. Aku akan memberikan tumpuan terhadap pengalaman peribadi tetapi pendapat secara klinikal perlukan teguran dan nasihat daripada pakar-pakar berkenaan. Jadi aku mengalu-alukan pandangan pakar-pakar perubatan dan mereka yang jauh lebih berpengalaman memperbetulkan kesilapan fakta yang mungkin berlaku.
Kepada semua HIV positif, harap sentiasa berkunjung dan memberikan apa juga bentuk komen untuk membaiki kualiti penulisan. Aku juga akan cuba jadikan blog ini sebagai pusat perkongsikan maklumat-maklumat berkaitan HIV positif sebagai rujukan. Sentiasalah yakin dengan pertolongan Allah dan berusahalah mencari keredhaan-Nya. Teruskan berikhtiar dan berfikiran positif. Everything done is done!
Firman Allah:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” -Surah Al-Baqarah ayat 216
AHP: Sekurang-kurangnya aku diberi peringatan melalui ujian ini untuk sentiasa mengingati Allah.
INFO:
Ujian Western Blot merupakan kaedah pengesan kehadiran antibodi terhadap
virus HIV. Ujian Western Blot (WB) hanya dijalankan oleh Institut Penyelidikan
Perubatan (IPP) di Malaysia. Ini kerana ujian WB memerlukan peralatan yang
khusus dan keputusan hanya boleh dibaca oleh orang yang mahir sahaja. Ujian WB
pada asasnya dijalankan dengan mengesan kehadiran env protin virus HIV didalam
darah. Ujian WB digunakan sebagai ujian pengesahan kehadiran virus HIV.
sumber: sini
INFO:
Ujian Western Blot merupakan kaedah pengesan kehadiran antibodi terhadap
virus HIV. Ujian Western Blot (WB) hanya dijalankan oleh Institut Penyelidikan
Perubatan (IPP) di Malaysia. Ini kerana ujian WB memerlukan peralatan yang
khusus dan keputusan hanya boleh dibaca oleh orang yang mahir sahaja. Ujian WB
pada asasnya dijalankan dengan mengesan kehadiran env protin virus HIV didalam
darah. Ujian WB digunakan sebagai ujian pengesahan kehadiran virus HIV.
sumber: sini