Hidup positif dengan HIV
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@yahoo.com
Foto SYEFRY MONIZ
adawiyah.koh@yahoo.com
Foto SYEFRY MONIZ
NORLELA dan Rina menunjukkan poster Life Sdn. Bhd: I'm Positive.
MEREKA ini datang daripada segenap lapisan hidup tetapi berkongsi dua perkara yang sama. Mereka dijangkiti dan terjejas dengan HIV dan AIDS dan mereka terbuka untuk berkongsi kisah peribadi mereka dengan orang lain.
Ada antara mereka ini hidup dengan HIV, ada juga yang mempunyai teman istimewa, keluarga atau rakan yang hidup dengan HIV. Ada yang telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata, manakala mereka yang lain masih lagi mencari-cari insan istimewa. Kisah mereka berkisar tentang cinta, serta yang paling penting menyentuh tentang kehidupan, kejujuran dan cukup menyentuh perasaan. Tatapan kisah ini dapat disaksikan menerusi pementasan, Life Sdn. Bhd: I'm Positive!.
Menurut Norlela Mokhtar, 46, kisahnya diharap dapat menjadi contoh dan kekuatan wanita yang senasib dengan dirinya.
"Saya merupakan ibu tunggal yang berjaya membesarkan empat orang anak. Walaupun saya positif HIV, saya bersyukur kerana berjaya menyekolahkan anak hingga ada yang masuk universiti," katanya yang ingin berkongsi kisah dengan masyarakat.
Walaupun tidak pernah berlakon sebelum ini, Norlela tidak berasa kekok dalam persembahan kali ini.
Kebetulan, dia sering bercakap di hadapan orang ramai dan berkongsi cerita tentang pengalamannya. Baginya, dengan adanya perkongsian, kita dapat sama-sama memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perlunya mereka memahami kehidupan pesakit HIV
"Ramai yang tidak tahu, mereka yang positif HIV sudah mencecah 150 ribu walaupun yang dilaporkan hanya 80 ribu. Dulu tanpa bantuan subsidi ubat-ubatan, ramai pesakit HIV menderita. Ini kerana kami dapat bertahan hanya dengan ubat-ubatan dan rawatan. Masyarakat tidak tahu dengan bantuan tersebut, kami dapat mengambil ubat serta hidup lebih lama. Bahkan, ibu bapa yang positif HIV boleh membesarkan anak-anak mereka.
Saya sangat bersyukur kerana saya masih sihat dan dapat menghantar anak belajar hingga ke peringkat universiti," katanya.
Justeru itu, menerusi persembahan ini masyarakat sama ada golongan berada atau sederhana dapat menerima keadaan pesakit HIV. Penonton dapat menyaksikan sendiri suka dan duka kehidupan pesakit HIV.
"Harapan saya agar orang tidak membuat diskriminasi ke atas kami. HIV tidak semestinya tidak boleh hidup secara normal atau berkahwin. Kami juga manusia biasa yang ingin hidup seperti orang lain mempunyai pekerjaan dan keluarga. Semoga kawan-kawan senasib dengan saya mendapat sokongan," ujarnya.
Lain pula cerita Rina, 31, seorang remaja yang dihalau dari rumah dan tidak mempunyai arah tuju. Selepas itu, Rina melalui kehidupan hitam dan didiagnosis HIV.
"Kisah ini memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih prihatin dengan anak-anak mereka. Bagi saya, tidak perlu ada rasa takut kerana informasi perlu hadir daripada perasaan sendiri. Walaupun ada yang tidak mahu menyokong, mereka perlu menerima kami dan bukan menghukum. Setiap manusia ada jalan hidup dan cerita masing-masing. Walaupun saya seperti ini, saya akan bersyukur pada setiap pagi seperti yang ibu saya ajar," ujarnya yang bekerja dengan Yayasan PT.
Kata Rina, dia sudah 15 tahun menderita HIV. Dalam tempoh lima tahun pertama, dia tidak boleh terima kerana baginya ketika itu dia belum cukup jahat untuk mendapat virus.
Selepas didiagnosis, Rina belajar banyak perkara dan dia perlu menerima keadaannya.
"Melalui pekerjaan sekarang, saya terlibat dengan kelompok sokongan yang membantu wanita melalui program yang kami jalankan, kami boleh berkongsi pendapat, isu dan peluang seperti Yayasan AIDS Malaysia (MAC) berikan.
Harapan saya, agar rakyat tidak meminggir kami. Saya bukan terpinggir tetapi masyarakat yang meminggir," ujarnya.
Rina berharap semua yang datang menyaksikan persembahan ini dapat mengubah cara pemikiran. Baginya, usaha ini adalah untuk generasi pada masa akan datang.
Dalam pada itu, pengarah Life Sdn. Bhd: I'm Positive!, Datuk Faridah Merican berkata, menerusi pementasan ini akan wujud sokongan persekitaran yang sihat dan kondusif dalam masyarakat Malaysia terhadap orang yang hidup dengan HIV dan AIDS.
"Saya merakamkan penghargaan kepada sembilan individu ini yang mahu tampil ke depan. Mereka semua ini mempunyai cerita istimewa untuk dikongsi dan kami berharap mereka yang hadir memberi sepenuhnya tumpuan dengan menonton dan mendengar. Itu sahaja yang perlu anda lakukan iaitu mendengar. Saya jamin ia merupakan medium terbaik dalam memahami tentang epidemik HIV dan AIDS serta merupakan sesuatu yang bernilai buat anda," jelasnya.
Persembahan ini telah pun berlangsung selama lima hari berturut-turut bermula dari 24 Mac lalu dan berakhir pada hari ini di The Actors Studio, Lot 10, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Selain pembabitan sembilan individu dalam pementasan berkenaan, ia turut menampilkan beberapa penyanyi dan penulis lirik, Ariff Akhir, Ian Chow, Peter Ong dan Dayang Nurfaizah.
Sumber: sini