Rupa-rupanya entri aku yang bertajuk PERISTIWA SEBELUM DISAHKAN HIV POSITIF (1) mendapat respon tertentu daripada beberapa pembaca melalui kotak emel.
Terima kasih kepada yang memberikan sokongan, empati, doa dan termasuk kepada yang mempertikaikan kesahihannya. Ada pula yang marah-marah kepada doctor dan KKM. Janganlah, bukan begitu maksudku.
Aku jawab respon tersebut melalui entry khas ini.
Beginilah, apa yang terjadi, biarlah terjadi. Blog aku ini adalah manifestasi perjuangan aku melawan penyakit HIV. Aku sekadar cuba memberikan sedikit dimensi positif kepada para pesakit, anggota keluarga yang terbabit dan anggota masyarakat.
Harapan aku, blog ini akan menjadi pusat akses yang kaya dengan pelbagai maklumat tentang HIV & AIDS dalam bahasa Melayu untuk rujukan semua pihak. Aku mahu menyumbang sesuatu dan semoga ianya dapat membantu. Itu saja.
Kalau Allah terimanya sebagai suatu ibadah, ianya sudah menjadi bonus yang tidak terhingga kepada aku.
Selain itu, aku langsung tak berniat nak meletakkan kesalahan yang menimpa diriku kepada sesiapa. Aku redha dengan takdirku. Aku mahu focus sebagai HIV fighter selagi berkesempatan. Aku mahu keluargaku tahu suami atau abah mereka berjuang hingga ke hujung garisan.
Walaupun ada beberapa perkara yang telah atau akan aku kongsikan agak cynical, ianya bertujuan penambahbaikan atau pemurnian. Supaya kita sama-sama belajar daripada kesilapan. Sekurang-kurangnya sebagai renungan.
Hidup ini penuh misteri dan perkara luar jangka. Di situlah baru kita sedar betapa kerdilnya kita di sisi Allah. Redha dan sabar sajalah yang terbaik. Aku tak mahu polemic, confrontation and controversy. Penat!
Marah-marah buat apa, virus HIV dah ada dalam badan! Stress dan depression merosakkan aku. Lebih baik aku penuhi masa-masa emas ini dengan segala keindahan manis bersama keluarga dan mencari keredhaan Ilahi.
Memang betul, semasa kita menjalani rawatan, aku berdepan dengan segelintir doctor dan jururawat yang menunjukkan sikap kurang professional tetapi kebaikan, jasa dan pengorbanan sebahagian besar yang lain jauh lebih banyak.
Di sebalik sikap kita yang sibuk menilai dan mengkritik, cuba fikirkan sama bebanan tugas dan tanggungjawab mereka. Ianya sangat berat dengan nisbah pesakit yang terlalu ramai untuk diurus. Itu belum termasuk isu-isu sampingan yang lain.
Apa-apa karier pun akan terdedah kepada human error. Selagi andaian tidak dapat dibuktikan, ianya kekal sebagai andaian. Kita sekadar insan biasa dan itu adalah fitrah. Yang penting, lakukan yang sebaik mungkin.
Bukanlah nak mengampu, (ampu pun, siapalah yang kenal aku kat blog ni) doctor, nurses dan kakitangan perubatan adalah insan-insan hebat yang banyak menabur jasa. Kalau mereka ikhlas, insya-Allah pahala mereka berpanjangan dan berlipat kali ganda.
APH: Doctor yang merawat aku sekarang memang seorang doctor yang sangat hebat! Terima kasih Dr. Iskandar Firzada bin Haji Osman. Moga Allah merahmati beliau dan keluarga beliau.