Thursday, January 27, 2011

FAIL RAWATAN


Biasanya apabila kita dimasukkan ke hospital, kita dilarang melihat fail rawatan kita. Biasanya fail-fail tersebut mula diedarkan ke katil-katil pesakit menjelang lawatan doctor dan akan dipungut kembali sebaik sahaja doctor beredar.

Aku pernah beberapa kali ditegur sister dan nurse kerana curi-curi membaca laporan harian doctor untuk mengetahui perkembangan masalah kesihatan aku.

“Kenapa tak boleh baca dokumen rawatan sendiri nurse?”
“Nanti pesakit buat tafsiran sendiri”
“Nak tau bacaan platelet pun tak boleh?  Sejak  semalam saya tunggu keputusan ujian darah ni. Tak sampai-sampai...”
“Tak boleh pakcik, nanti doctor marah!” 
“Nak tau bacaan gula, boleh?” aku menyakat.
“Tak boleh pakcik, tolonglah...”

Ok, fine! Cakap nurse dan doctor tak boleh dibantah. Kalau tak izinkan baca,  terangkanlah elok-elok supaya pesakit tidak tertanya-tanya tentang kedudukan kesihatan mereka.

Itu hak pesakit.

Kalau doctor kelihatan sangat sibuk, tergesa-gesa, bercakap kasar, bermuka masam, kelihatan letih dan bersikap acuh tak acuh, pesakit tidak selesa berkomunikasi.  Akhirnya akan timbul lebih banyak tafsiran yang keliru di fikiran mereka.

Kita faham beban tugas dan kesibukan doctor tetapi masalah ini tetap perlu diperbaiki.

Berdasarkan pengalaman peribadi, komunikasi biasanya hanya sehala. Doctor bertanya, pesakit menjawab. Kalau pesakit tak tanya, doctor hanya senyap dan berlalu begitu saja. Sedangkan pesakit menunggu kedatangan mereka sepanjang hari.

Lebih menyedihkan bila beberapa orang doctor meletakkan aku dalam isolation room dan setiap hari mereka kelihatan seperti berbisik-bisik  semasa berbincang mengenai masalah kesihatan aku. Biasanya juga hanya berkumpul di luar bilik dan ada pula yang merenung aku melalui dinding cermin dari atas ke bawah. Aku terasa seperti alien yang baru turun ke bumi.

Jadi, memang aku kekurangan maklumat mengenai keputusan ujian gula dan darah sebelum menjalani bone marrow biopsy tempohari termasuk sebelum dan selepas aku disahkan HIV positive.

Mana yang ada ini pun,  beberapa keputusan ujian darah yang aku curi-curi photostat dan keputusan ujian melalui pihak swasta.

Paling menyedihkan aku ialah bila fail tentang prosedur bone marrow biopsy ku dikatakan hilang. Tebuk 3 kali, masuk darah berkampit-kampit, kemudian dikatanya sampel tak cukup, fail hilang dan akhir sekali kononnya semua prosedur tersebut  dikatakan tidak perlu. Janganlah macam tu, aku pun manusia juga.

Aku akan publishkan maklumat tersebut (setakat yang ada) dalam entry selepas ini. Harap ada manafaatnya kepada mana-mana pihak yang ingin membuat kajian dan rujukan.


AHP: Setakat ini, aku sekeluarga sangat puas hati apabila mendapat bimbingan dan kaunseling yang dikendalikan oleh Doktor Pakar Keluarga iaitu Dr. Iskandar Firzada bin Osman. Selain mampu menerangkan situasi dengan jelas, beliau bijak menjawab setiap kemusykilanku sehingga aku betul-betul jelas. Doktor seperti beliau akan kekal berada di tempat yang istimewa di hati pesakit.