Monday, January 17, 2011

PENGALAMAN LAMPAU BERSAMA PESAKIT AIDS

AKU DAN PENGIDAP HIV & AIDS

Sebelum disahkan mengidap HIV positif, aku mempunyai beberapa sahabat rapat, saudara mara atau kenalan yang telah mengidapnya. Tak pernah aku sangka bahawa akhirnya aku termasuk ke dalam golongan ini.

Pertama:
Seorang saudara mara. Bekas pengikut Al-Arqam sehingga dipanggil dengan gelaran ‘ustaz’ oleh rakan-rakan. Baik orangnya tetapi liku-liku hidup menjadikannya tersasar ke kancah penagihan dadah.  Sudah berkahwin, mempunyai anak dan beberapa kali keluar masuk PUSPEN.  

Beberapa kali cuba berubah. Selepas dijangkiti HIV nasibnya sungguh menyedihkan kerana bekas isteri menuntut cerai dan beliau tidak diizinkan berjumpa dengan anak tunggalnya. Sejak itu beliau kembali menagih dadah.

Berita terakhir yang aku dengar beliau meninggal dunia selepas terjatuh semasa mengambil wudhuk untuk solat asar di PUSPEN. Beliau adalah salah seorang imam ketika di PUSPEN.

Alhamdulillah beliau mati semasa mahu bersolat. Kita? Jangan cabul menghina sesama insan.

Kedua:
 Seorang sahabat karib. Meninggal ketika berumur awal 30an. Seorang yang sangat pintar dan murni hatinya, juga tersalah memilih jalan hitam. Kedua ibu bapanya beliau adalah guru. Pernah dimasukkan ke PUSPEN dan meninggal kerana kemalangan jalanraya.

Kematian beliau sangat meninggalkan kesan kepadaku hingga sekarang. Beratus kali aku menasihatinya berhenti menagih dadah dan beratus kali pula dia mencuba walau pun gagal.

Alhamdulillah, akhirnya beliau meninggal dalam usaha meninggalkan tabiat buruknya. Atas permintaan keluarga, jenazahnya dikebumikan di kampung lain untuk memelihara aib. Sejak itu sebilangan ahli keluarganya agak memencilkan diri daripada masyarakat. Itulah penangan stigma melulu terhadap HIV/ AIDS. Ahli keluarga yang tidak bersalah turut menderita.

Ketiga:
Rakan sekampung. Semasa sahabat rapatku yang aku ceritakan di atas meninggal dunia, dia dengan cabulnya berkata “patutlah..., dia orang genius!” sedangkan beliau sendiri telah mula berjinak-jinak dengan dadah. Baru 1,2 tahun yang lalu, giliran beliau pula menyahut panggilan Ilahi kerana AIDS.

Moga segala dosanya diampunkan. Kita yang masih bernafas sama-samalah ambil iktibar.  


Ada beberapa orang lagi sebenarnya termasuk jiran sebelah rumah. Seingat aku mereka memang mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat sama ada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan hubungan seks rambang.

Alhamdulillah aku tidak pernah memandang serong terhadap mereka walaupun aku akui agak ‘takut’ bergaul terlalu rapat. Bahkan golongan berisiko tinggi ini agak rapat dengan diriku kerana aku faham cara hidup anak jalanan seperti mereka. Jika mereka bertaubat dan berubah, aku sangat menghormati mereka. 

Rupa-rupanya Allah uji aku dengan ujian yang sama. Barulah kini aku faham kenapa mereka sering melarikan diri apabila bertemu. Allahu Akbar!

Firman Allah:
“ Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”          (At-Thagabun : 11)



AHP: Siapa kita untuk menghukum dan menentukan hina mulianya orang lain di sisi Allah?