Sunday, January 30, 2011

AKAL YANG TERSASAR, NAFSU YANG MELULU


Sesungguhnya kehidupan di dunia ini amat mempersonakan kita. Orang yang beriman kepada Allah tidak mungkin akan diperdayakan oleh kehidupan dunia kerana yang pastinya satu hari nanti manusia dan makhluk-makhluk yang lain akan binasa. Sementara yang kekal hanyalah Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam.

Kehidupan di dunia ini merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada manusia. Namun begitu, dalam sejarah manusia itu sendiri telah dipenuhi dengan pelbagai peristiwa, ada yang mengembirakan, ada yang menyedihkan, ada yang menyayat hati dan sebagainya termasuklah yang membawa kepada kematian seperti diserang dengan pelbagai penyakit dan wabak-wabak tertentu. Tetapi berkat hasil kajian dan penelitian manusia dalam ilmu perubatan atau kedoktoran telah berjaya membasmi penularan pelbagai wabak penyakit.

Namun begitu, dunia tiba-tiba dikejutkan dengan penemuan satu virus yang disebut sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang menyebabkan kegagalan sistem tubuh manusia melawan penyakit atau kebiasaan disebut sebagai sindrom kurang daya tahan penyakit atau dengan panggilan ringkasnya (AIDS) iaitu suatu penyakit yang sampai sekarang belum ditemui ubat atau penawarnya.

Penyakit AIDS telah mewujudkan pelbagai fenomena sejak ia mula melanda dunia seawal tahun 70-an lagi. Namun demikian penyakit AIDS akibat jangkitan HIV mula dikenal pasti pada tahun 1981 dan semenjak dari itu pelbagai implikasi dan impak social, budaya, ekonomi dan politik mula timbul akibat dari wabak ini, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya sejak lebih 20 tahun yang lalu. Namun masalah ini masih membelenggu hidup masyarakat di negara kita, ibarat duri dalam daging dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Kesan akibat AIDS terhadap masyarakat dunia amatlah besar, berjuta-juta orang yang dijangkiti virus HIV, mereka kelihatan sehat dan tanpa mereka sedari mereka memindahkan virus tersebut kepada berjuta-juta orang lain yang menyebabkan pesakit AIDS meningkat dari semasa ke semasa.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis AIDS Malaysia sehingga Jun 2006, pengidap HIV di Malaysia berjumlah sebanyak 73,427 kes dengan bangsa Melayu sebanyak 53,270 kes atau 72.5% berbanding bangsa yang lain. Manakala kes kematian akibah AIDS bagi tahun 2006 sehingga bulan Jun sahaja sebanyak 524 kes dengan purata 3 kematian setiap hari.

Angka ini cukup menakutkan kita semua kerana sepatutnya perkara sebegini tidak terjadi kepada bangsa Melayu yang sememangnya beragama Islam dan berpegang dengan ajaran agama yang melarang umatnya supaya menjauhi perkara-perkara yang boleh menghampirkan atau boleh menjerumuskan diri kepada kebinasaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Di antara faktor yang menyebabkan tersebar dan merebaknya penyakit AIDS di Malaysia adalah disebabkan oleh hasutan iblis, dadah dan seks. Selain itu, HIV juga boleh merebak melalui ibu kepada anak dalam kandungan, atau melalui pemindahan darah dan pemindahan organ yang dicemari kuman HIV. Bagi mereka ini sama sekali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi dipersalahkan atau disisihkan dari masyarakat kerana kebanyakan mereka ini tidak berdosa dan sepatutnya mereka perlu diberi sokongan, bahkan sawajarnya perlu diberi perlindungan dan pertolongan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Daripada Anas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memberi pertolongan kepada orang yang sedang menderita, Allah akan mengampunkan 73 kesalahannya. Salah satu daripadanya akan diberi kemudahan urusan dalam hidupnya di dunia, manakala 72 lagi akan diberi pada hari akhirat nanti.” (Riwayat Bukhari)

Justeru, bagi mereka yang telah disahkan positif HIV pastikan sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala yang telah disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan serta mematuhi peraturan-peraturan rawatan yang ditetapkan. dalam masa yang sama jangan lupa memohan keampunan dengan Allah s.w.t melalui taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan segala dosa-dosa yang lampau diampuni. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Akhirnya, marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauhmana kita telah menjalankan amanah Allah menjaga diri, keluarga dan mereka yang berada di bawah jagaan kita agar mereka selamat daripada pengaruh dadah dan perkara-perkara mungkar yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan dan azab seksaan api neraka Allah s.w.t.

Seterusnya, dalam usaha kita membendung masalah AIDS, adalah tidak wajar dibebankan kepada pihak tertentu sahaja sebaliknya masyarakat hedaklah sama-sama turut serta dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelbagai penyakit sosial dalam masyarakat seperti pil khayal, seks bebas, dan sebagainya.

Susunan ALIAS ZAKARIA

Sumber: sini