Monday, February 28, 2011

“SELAGI NAFAS DIHELA, BIARKAN MENTARI BERCAHAYA”

Puan Halina yang sempat bergambar bersama dengan suaminya yang turut hadir memberikan sokongan.

“Saya mendapat HIV dari bekas arwah suami saya dahulu. Ketika diberitahu positif, jiwa saya bergoncang dan terasa sangat sukar menerima hakikat tersebut. Namun kini saya bersyukur pada Allah atas segala yang terjadi dan saya yakin ada hikmahnya di sebalik suratan ini. Malah saya sekarang sangat bahagia dengan suami saya sekarang yang banyak membantu dan menghargai saya meskipun saya seorang HIV positif”.

Begitulah antara luahan ikhlas Puan Halina (bukan nama sebenar) ketika sesi perkongsian pengalaman di hadapan para peserta. Dia yang kelihatan bersikap optimis, sangat berkeyakinan ketika dijemput ke hadapan, sehinggakan ramai peserta tidak menyangka bahawa dia seorang yang positif HIV. Tidak lekang dari bibirnya kata pujian pada Allah serta menasihati agar para pesakit yang lain, bersungguh-sungguh mengikuti rawatan seperti yang diarahkan oleh pihak hospital, meskipun kesan sementara pengambilan ubat tersebut sangat kuat dan perit.

“Para hadirin sekalian, saya dahulu seorang penagih tegar yang akhirnya Allah telah sedarkan saya dengan penyakit ini. Saya redha dengan ujian ini dan akan terus cuba memandang kehidupan yang mendatang dengan lebih positif. Bagi saya rawatan yang saya ikuti telah membuatkan saya rasa lebih sihat dan bersemangat untuk teruskan kehidupan ini. Anda perlu hargai kehidupan ini” ujar Encik Halim (bukan nama sebenar) dengan ceria bersemangat. Dia adalah antara seorang yang positif HIV dan kini masih tinggal di rumah perlindungan HIV/AIDS Dignity.

Puan Harlina dan Encik Halim antara peserta yang mengikuti seminar HIV/AIDS Muslim yang diadakan pada 14 April lalu di Felda Pasak Kota Tinggi. Seminar yang diadakan itu adalah sempena program Pelan Tindakan Manual Islam HIV/AIDS Muslim yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim di bawah tema “Semanis Harapan Iman, Segugus Kasih Prihatin”. Seminar ini juga dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia dan agensi-agensi tempatan termasuk jawatankuasa Felda Pasak Kota Tinggi.

Seramai 160 orang peserta telah mengikuti seminar yang diadakan pada 14 April yang bertempat di dewan serbaguna dan masjid Felda Pasak Kota Tinggi. Peserta adalah dari kalangan Orang Kena Pengawasan dari AADK, pesakit yang mengikuti rawatan methadone dari Klinik Kesihatan Kota Tinggi, penghuni rumah perlindungan Dignity dan wakil kakitangan klinik-klinik kerajaan daerah Kota Tinggi.

Tujuan seminar ini adalah sebagai satu usaha untuk menanamkan rasa kesedaran mengenai HIV/AIDS, terutama kepada mereka yang sangat berisiko untuk terdedah dengan penularan virus tersebut. Di samping itu juga diharap seminar ini dapat mendekatkan mereka dengan masyarakat yang boleh membantu mereka.

Sumber: sini

KESIHATAN TIDAK BOLEH DIBELI


MESKIPUN ia mula dikesan di Malaysia pada tahun 1986 dan hanya melibatkan empat kes, namun mengikut data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Disember 2009, jumlah pesakit HIV/AIDS yang didaftarkan adalah 87,710 orang.
Malah daripada perangkaan ini, majoriti yang mengidap penyakit ini ialah orang Melayu yang mewakili 71.2 peratus atau atau 62,975 daripada kes itu. Pada tahun 2009 sahaja, sejumlah 3,080 kes HIV/AIDS dikesan, di mana sembilan kes baru dikesan setiap hari, enam daripadanya melibatkan individu Melayu, manakala purata tiga kematian setiap hari.
Apabila menyentuh pula dari aspek jangkitan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr. Faisal Ibrahim mendedahkan, daripada 63 penagih dadah yang dikesan setiap hari, 44 daripadanya Melayu. Sementara 821 kes atau 26.7 peratus dijangkiti melalui perhubungan seks.
Sedihkan, bagaimana orang Melayu yang pastinya beragama Islam boleh menjuarai perkara-perkara yang membawa binasa bukan sahaja kepada diri, tetapi keluarga dan negara. Ia sekali gus menconteng arang pada kesucian Islam. Kalau hendak dikaji puncanya kepada kerosakan orang Melayu, jawapannya tepuk dada, tanya iman.
Pun begitu, dalam Islam kita tidak digalakkan untuk saling tuduh- menuduh. Malah memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapan perasmian seminar Menyambung Kasih Ilahi, HIV/AIDS Bersama Ditangani, Islam tidak melihat perkara ini sebagai satu bala atau balasan tuhan. Ia hasil daripada tangan-tangan manusia itu sendiri.
"Ada juga para pesakit HIV/AIDS terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Di mana, wanita mengandung menjangkiti daripada suami melalui hubungan kelamin atau pasangan mereka yang menagih dadah.
"Tambah memudaratkan, bayi yang di dalam kandungan juga berkemungkinan besar dijangkiti HIV positif," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 peserta yang mengikuti seminar sehari tersebut.
Ini terbukti menerusi data, lebih 60 peratus ibu hamil dijangkiti melalui suami dan majoriti mereka adalah Melayu. Dianggarkan 6,000 kanak-kanak yang berusia kurang daripada 13 tahun akan bergelar yatim piatu.
Yang pasti, ketiadaan ibu bapa akan membawa kesan sosial yang besar kepada kanak-kanak itu. Ia secara tidak langsung turut merugikan negara.
Hakikatnya, gejala HIV/AIDS, bukan lagi menjadi isu sosial tetapi melibatkan isu ekonomi, psikologi, agama dan sejagat.
Dr. Faisal dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Pengetahuan dan Kesedaran Masyarakat Menangani HIV/AIDS turut menegaskan bahawa orang ramai perlu meningkatkan kesedaran mengenai penularan penyakit HIV/AIDS kerana ia boleh mengancam kemajuan negara.
"Pencegahan merupakan satu-satunya jalan kepada masalah ini kerana belum ada ubat dan vaksin yang dapat membunuh virus HIV.
"Yang ada hanyalah ubat untuk menyekat pembiakannya. Itu pun memerlukan belanja yang mencecah ribuan ringgit setahun," ujarnya.
Namun sebagai Muslim yang meyakini setiap sesuatu itu ada penawar dan berpegang dengan kepercayaan bahawa setiap apa yang berlaku adalah satu ujian dan peringatan daripada Allah SWT untuk kita bermuhasabah diri dan menginsafi diri.
Sementara itu, Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga selaku panel Kajian Akidah Jakim, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kertas kerjanya Tanggungjawab Umat Islam Di Dalam Menangani HIV/AIDS sempat berseloroh dengan para peserta dengan mengatakan bahawa kita boleh beli ubat tetapi tidak boleh beli kesihatan.
Kita boleh beli jam yang mahal tetapi tidak boleh beli masa. Malah boleh beli tilam yang empuk tapi tidak boleh membeli tidur.
Jelasnya, isu kesihatan merupakan perkara asas dalam kebahagiaan sesebuah kehidupan. Dengan sebab itu, pepatah Arab ada menyebutkan kesihatan adalah mahkota bagi orang-orang yang sihat.
Malangnya, ramai memandang enteng isu perubatan hinggalah ia sampai ke peringkat kritikal barulah berusaha mencari penawarnya.
"Hakikatnya ramai hukama dan cendekiawan Islam menyebut tentang soal kesihatan antaranya iman, kesihatan, kekayaan, kebebasan, keamanan, semangat muda dan ilmu adalah inti daripada semua yang diinginkan oleh orang-orang yang berfikir. Mamun, hanya sedikit sahaja yang mampu mendapatkannya sekali gus.
"Manakala, Hatim al-Zahid berkata Nilai kesihatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit dan nilai bagi sebuah kehidupan tidak diketahui melainkan setelah menghadapi kematian. Itulah hebatnya kesihatan," kata Dr. Zulkifli.
Beliau tegaskan menerusi sebuah hadis yang bermaksud: "Ada lima perkara (yang selalu beriringan) dengan lima perkara. Tidaklah sesuatu kaum melanggar janji, kecuali mereka akan dikuasai oleh musuh mereka, tidak mereka menentukan hukum dengan selain yang diturunkan Allah, kecuali mereka ditimpa kefakiran yang kekal, tidaklah kelihatan perbuatan maksiat di tengah-tengah mereka, kecuali akan ditimpa kebinasaan berpanjangan, tidaklah mereka berbuat tipu helah dalam timbangan, kecuali mereka tidak mendapat hasil tuaian dan ditimpa bencana yang berterusan, dan tidaklah mereka enggan membayar zakat, kecuali mereka tidak akan mendapat hujan yang mencurah-curah (riwayat al-Tabarani)."
Dr. Zulkifli turut membariskan beberapa kaedah bagi menyelesaikan permasalahan dan penyakit ini antaranya mencegah dan menghindari sebelum merawat dan ini adalah cara yang terbaik dalam mengekang penularannya.
Kedua, menjauhi perzinaan. Ini bertepatan dengan nas al-Quran yang bermaksud: Janganlah kamu menghampiri zina! Sesungguhnya ia adalah keji dan buruk kesudahannya.
Ketiga, Jangan mengambil dadah dan pelbagai yang memabukkan kerana ia membawa kepada pelbagai risiko penyakit.
Keempat, Menjaga persekitaran yang baik dengan menghindarkan segala punca yang membawa kepada penyakit tersebut, sama ada melalui pergaulan atau sebagainya.

Sumber: sini

Sunday, February 27, 2011

TERIMA DARAH HIV DAPAT RM450,000 (CERITA LAMA)


ALOR STAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan Hospital Jitra membayar ganti rugi RM450,000 kepada seorang suri rumah yang dijangkiti HIV berikutan kecuaian doktor ketika menjalani pemindahan darah di hospital berkenaan, tujuh tahun lalu.

Keputusan terhadap tuntutan Bashah Mustaffa, 53, yang sebelum ini menuntut ganti rugi RM3.25 juta, dibacakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rusita Md Lazim.

Rusita berkata, plaintif hanya menerima ganti rugi am selepas mahkamah menolak tuntutannya bagi ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk kerana kecuaian defendan bukan disengajakan dan ia tidak mempunyai niat buruk terhadap Bashah.

Ganti rugi am yang diberikan itu merangkumi kos, faedah serta kesakitan, trauma dan penderitaan yang terpaksa ditanggung Bashah akibat jangkitan virus HIV yang menyebabkan daya imunisasi badannya lemah.

Ketika ditemui, Bashah berkata, dia lega kes itu selesai, tetapi akan mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi.

"Keadaan saya semakin lemah, tambahan pula sejak Julai tahun lalu saya tidak dibekalkan ubat apabila ubat yang diambil sebelum ini tidak lagi sesuai dengan kesihatan saya.

"Darah saya juga sudah diambil September lalu, namun tiada susulan dibuat pihak hospital termasuk pemeriksaan bulanan," katanya yang ditemani suaminya, Halim Hamid, 52, dan anak sulung mereka, Masrizan, 29.

Jagdeep Singh Deo yang mewakili plaintif berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bagi mendapatkan ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 dan ganti rugi teladan RM750,000.

Sebelum ini, Bashah dan Halim yang juga plaintif kedua, memohon ganti rugi RM100 juta kerana disuntik darah tercemar HIV ketika menjalani pemindahan darah di hospital berkenaan pada 29 April 2000. Empat anak mereka juga dinamakan sebagai empat lagi plaintif dalam saman itu.

Sumber: sini

AHP: Sekadar perkongsian maklumat. Selebihnya, no comment!
(Eh, mana perginya sebuah website mengenai rawatan alternatif yang mendakwa telah membantu Puan Bashah ni dulu? URL website nya tentang isu ini pun sekarang ni broken link. Aku terpaksa tukar kepada link lain (iklan mereka di facebook)sebagai rujukan dalam entry berkaitan. Aku tengok dah buat website baru. Macam-macam hal orang berniaga ni....)

KENAPA KITA DIUJI?

Aku tonton video ceramah ni selepas dicadangkan oleh seorang sahabat blogger. Walaupun dalam bahasa Indonesia, isi ceramahnya sangat dekat dan menyentuh hati.
Jika masih tertanya-tanya kenapa kita diuji dan apakah hikmah di sebalik ujian yang sedang dilalui, aku jemput kawan-kawan untuk sama-sama menghayatinya. Tapi kalau kurang faham, tontonlah sekurang-kurangnya 2 kali, insya-Allah boleh jelas.  Semoga ada sesuatu untuk direnungi.
Jazakallah khier dan terima kasih kepada saudara Mohd Zubir Amry. Moga redha dan rahmat Allah kepada saudara dan kepada kita semua.  

Saturday, February 26, 2011

HAPUSKAN PENYALAHGUNAAN DADAH DAN DEDAH


Kita rehat sekejap.
Suatu petang aku berbual dengan Mak Limah, seorang peniaga minyak urut yang lurus alang di kejirananku.
“AHP, dadah tu sebenarnya apa ya? Lebih kurang je bunyinya macam dedah. Dedah aku tahulah.”
Aku pun, “bla, bla, bla, yada, yada, yada…”

(Aku nak cakap panjang lebar tentang dadah, ramai yang dah tahu dan bagitahu. Google saja, bersepah maklumat boleh jumpa walaupun kadang-kadang yang menulis sebenarnya tak tahu apa-apa tentang dadah. Bunyi cerita, kalah doctor atau professor atau seolah-olah pernah menagih dadah selama 30 tahun.
Penagih dadah ni bukanlah teruk sangat. Mudah untuk kita menyalahkan mereka tetapi adakah kita sedar kebanyakan mereka adalah mangsa keadaan lantas tersasar memilih jalan hitam?
Masalah lebih mencabar apabila dadah jenis sintetik mula dicipta

Antara langkah paling berkesan membenteras dadah ialah menyekat kemasukan dadah atau bahan untuk membuatnya)

Mak limah pun jawab, “eh, kan banyak yang kena tangkap!”  
“itu yang kena tangkap mak Limah…, yang terlepas?”
Mak Limah diam sekejap sebelum bertanya lagi, “macamana nak kawal?”  
“kan saya dah cakap, hapuskan rasuah.”
“iskh… kau ni, apa pula kena mengena dadah dengan rasuah?”
Aku, “fikir-fikirkan.”
Mak Limah, “kaulah bagitahu, sebab tak tahulah aku tanya. Siapa yang patut ubah?” Lajunya Mak Limah bertanya.
“Kita.”
“Macamana?”  
“Fikir-fikirkan,” jawabku acuh tak acuh sambil mengunyah karipap goreng.
“Penatlah, asyik suruh fikir-fikir. Jawablah betul-betul…Dedah pula?” Mak Limah buat-buat muka tak puas hati. Soalan pertama belum dijawab, Mak Limah sekali lagi bertanya soalan kedua.
“Ooo.. kita cerita lain kalilah mak Limah. Dedah pun akhirnya boleh menjadi punca penyebaran epidemic HIV juga mak Limah”
“Epidemic tu apa, HIV tu apa? Macam-macamlah kau ni...”
“Tak apalah Mak Limah, saya belilah minyak urut tu 2 botol. Kaki saya pun memang selalu lenguh-lenguh sebab kencing manis ni.”


"haa... kalau macam tu daripada tadi, kan senang... dah dekat Maghrib ni, aku balik dulu ya!" Mak Limah tersengih sambil mengemaskan botol-botol minyaknya.

KEBANYAKAN PESAKIT HIV BARU DIJANGKITI MELALUI HUBUNGAN SEKS


Orang ramai khasnya kaum wanita di Negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie.

Ini kerana kata beliau kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara kini dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini melalui suntikan.

Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan, katanya dalam ucapan pada pelancaran perbincangan meja bulat mengenai kedudukan Wabak HIV dan Aids di Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara Datuk Aminah Abdul Rahman.

Menurutnya kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV.

Menurut laporan Suruhanjaya mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi penggunaan dadah suntikan (IDU) dan mengadakan hubungan seks rambang, akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang.

Sehubungan itu, sukatan mata pelajaran mengenai Kesihatan Reproduktif dan Pendidikan Sosial akan diperkenalkan di semua sekolah menengah pada tahun hadapan, kata Heng.

“Sukatan mata pelajaran itu akan membolehkan remaja kita lebih melindungi diri mereka daripada gejala sosial seperti mengadakan hubungan seks haram dan memastikan mereka berpengetahuan dalam peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki, wanita, remaja lelaki dan remaja perempuan,” katanya.

Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Malaysia dihadiri 100 orang pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyediakan satu landasan bagi membincangkan pembangunan dan kemajuan wabak HIV di Malaysia.


Sumber: sini


AHP: Apa maksud di sebalik tajuk ini? Ianya bermaksud akan lebih ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah akan teraniaya.

THE BASIC OF “5W+1H” ABOUT HIV


Kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan di peringkat awal penyakit. Rawatan diberikan kepada pesakit-pesakit berikut:

1.      Menunjukkan tanda-tanda AIDS
2.      Bacaan CD4 kurang daripada 200 sel/ml
3.      Bacaan virus lebih daripada 30 000 copies/ml
4.      Pesakit yang mengikuti rawatan sepenuhnya.

Kerajaan menyediakan kombinasi 3 ubat anti-virus dikenali sebagai Highly Active Anti-Retroviral Therapy (HAART) secara percuma untuk pesakit-pesakit berikut:

1.      Kanak-kanak berumur kurang 12 tahun
2.      Dijangkiti HIV melalui pemindahan darah dan organ
3.      Dijangkiti melalui pekerjaan
4.      Wanita yang disahkan positif untuk HIV melalui program pencegahan HIV ibu kepada anak.
5.      Pegawai kerajaan.

Untuk pesakit-pesakit lain, kerajaan menyediakan 2 jenis ubat anti-virus secara percuma. Pesakit hanya perlu membeli 1 jenis ubat sahaja.
Ubat anti-virus boleh didapati di hospital kerajaan dan klinik kesihatan terpilih. Rawatan HIV/AIDS juga termasuk:

1.      Pencegahan dan rawatan untuk jangkitan oportunis (opportunistic infection)
2.      Nasihat mengenai pemakanan berkhasiat
3.      Rawatan penyakit kelamin
4.      Kaunseling ( perubatan & psikologi )
Sumber: sini

PENYEBAR HIV SEKSI




 
SUASANA di dalam mahkamah di Darmstadt, Jerman sepi tiba-tiba apabila ucapan maaf dilontarkan oleh ketua band wanita terkenal negara itu, No Angels, Nadja Benaissa, 28.

"Saya tidak sangka ia berlaku akibat kelalaian saya," ujar Nadja sewaktu dibicarakan atas dakwaan menyebarkan virus kurang daya tahan manusia (HIV) kepada tiga lelaki yang menidurinya.

Nadja masih melakukan hubungan seks dengan kesemua pasangannya itu walaupun dia mengetahui dirinya positif HIV. Perbuatannya itu merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang Jerman.

Dia ditahan polis di Frankfurt tahun lalu dan bakal berhadapan hukuman penjara di antara enam bulan hingga 10 tahun sekiranya didapati bersalah.

Wanita berdarah Maghribi dan Serbia-Jerman ini mula dikenali setelah menyertai sebuah program realiti Jerman, Popstars pada tahun 2000 dan mengalahkan seramai 4,500 peserta lain.

Kes mahkamah Nadja, ibu kepada Laila Jamila, 11, bermula selepas bekas kekasihnya yang berusia 38 tahun membuat laporan polis. Akibatnya, Nadja ditahan semenjak April lalu. Polis menahan penyanyi seksi itu sejurus sebelum dia memulakan persembahan di sebuah kelab malam di Frankfurt.

Menurut pemuzik itu, dia kini menderita kerana menghidap HIV positif yang berjangkit melalui Nadja pada tahun 2004.

"Dia membunuh saya secara perlahan-lahan dengan perbuatannya itu," luah lelaki itu semasa disoal oleh peguam.

Meskipun mengetahui dirinya pembawa virus berbahaya itu semenjak tahun 1999, Nadja tidak memberitahu pasangannya.

Bagaimanapun, Nadja menafikan dia sengaja menyebarkan virus itu kepada orang lain termasuk dua lagi lelaki yang pernah menidurinya. Kata Nadja, dalam apa cara sekali pun, dia tidak mahu pasangannya dijangkiti.

Nadja turut memberitahu, dia baru menyedari caranya menangani penyakit itu selama ini adalah salah. Pada masa yang sama dia takut populariti No Angels akan jatuh merudum jika orang ramai mengetahui dirinya penghidap HIV.

"Doktor memberitahu saya bahawa risiko jangkitan secara teknikal adalah kosong," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya dalam prosiding tersebut.

Nadja didiagnosis HIV positif pada usia 17 tahun ketika menjalani pemeriksaan rutin selepas disahkan mengandung.

Menurut pendakwa raya bandar Darmstadt, Ger Neuber, Nadja mengadakan hubungan seks yang tidak selamat dengan tiga lelaki pada tahun 2004 dan 2006 walaupun dia mengetahui dirinya mempunyai virus pembunuh tersebut.

Jujur

"Untuk itu, kami menangkap dan menahannya kerana terdapat potensi dia akan mengulang perbuatan (hubungan seks) itu lagi," jelas Ger Neuber kepada Time.com.

Kes tersebut, menurut Ger Neuber, disiasat semenjak Jun tahun lalu. Walaupun terdapat beberapa kes yang serupa di Jerman, beliau menyatakan kes Nadja menjadi luar biasa kerana dia seorang selebriti.

Mengimbas perjalanan hidup Nadja yang turut terkenal sebagai penggubah lagu dan pelakon, dia memulakan karier seni pada umur sembilan tahun.

Anak kedua pasangan Muhammed Benaissa dan Sebina ini juga berbakat bermain beberapa instrumen muzik termasuk piano.

Membesarkan anak perempuannya bersendirian selepas ditinggalkan oleh kekasihnya, Nadja mengambil kelas malam untuk mendapatkan sijil O Level.

"Tidak susah membesarkan anak saya. Malah, kelahirannya adalah saat paling membanggakan dalam hidup saya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Datuk Mohd. Zaman Khan berpendapat, tindakan Nadja yang tidak memberitahu penyakit yang dihidapinya merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.


Sehingga Jun tahun lalu, sebanyak 86,127 kes jangkitan HIV dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Daripada jumlah itu, 14,955 merupakan penghidap AIDS dengan 13,003 kes kematian.

Namun, menurut Zaman Khan, terdapat juga pasangan yang didiagnosis HIV positif tetapi masih mahu meneruskan perkahwinan.
"Akta ini bukan sahaja menegah sebarang penyebaran penyakit malah menyelamatkan orang awam daripada dijangkiti," ungkapnya.

Walaupun tidak dapat memberikan statistik yang tepat, Zaman Khan berkata kes penghidap HIV positif tidak memberitahu perkara sebenar kepada pasangan banyak berlaku dan seringkali melibatkan lelaki.
Ujar beliau lagi, bukan saja kerana mahu mengelakkan jangkitan virus tersebut, seks selamat juga penting bagi menghindari penyakit lain yang berjangkit melalui hubungan seks.

Tambah Zaman Khan, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tiada individu boleh mendedahkan risiko penyakitnya kepada orang lain.
"Setiap orang yang mempunyai HIV positif harus melindungi pasangan mereka daripada dijangkiti. Malah, mereka mesti bersikap jujur dan mengamalkan seks yang selamat seperti menggunakan kondom," tegasnya kepada Jurnal.
Ia adalah hak pasangan terbabit. Bagaimanapun, mereka hendaklah mengamalkan hubungan seks yang selamat dan menjalani rawatan agar pasangan dan anak tidak dijangkiti," kata Zaman Khan.


Sumber: sini

Friday, February 25, 2011

7 TIPS BAGAIMANA MENGELAK DARI DIKUASAI FIKIRAN NEGATIF

1. Maafkan semua orang sebelum anda tidur.
Lupakan kesalahan mereka yang menyakitkan hati Anda. Maafkan dan beritahu diri sendiri jangan ingat lagi.


2. Membantu dengan penuh minat, bukan sekadar ikhlas.
Jadi membantu orang lain sesuatu yang menyeronokkan untuk dibuat. Be helpful! Dalam erti kata lain jadikan sikap suka membantu sebagai ‘passion’anda. Jangan membantu kerana ‘ada udang disebalik batu’.

3. Hormati sesiapa saja.
Walau siapapun dia, hormati dia. Jangan nilai orang dari jawatan, harta dan pangkat serta kehebatan dia. Anda pula jangan hanya mahu dihormati, sebaliknya biarlah anda hormati semua orang.

4. Jadilah diri sendiri, jangan jadi seseorang yang anda nampak ‘perfect’.
Mungkin anda kenal dengan seseorang yang anda nampak sempurna – popular, bergaji besar, berkereta mewah, rumah mewah, bergaya, nampak serba lengkap. Nak jadikan dia sebagai contoh ikutan boleh tapi janganlah jadi perfect sangat macam dia sebab anda akan hilang jatidiri, akhirnya Anda hilang semangat nak memajukan diri. Contohi apa yang positif pada dirinya, kemudian amalkan.


5. Elak dari menyertai perbincangan negatif.
Orang berjaya suka bercakap pasal idea. Orang yang tak nak berjaya suka bercakap pasal orang lain. Sekarang Anda sudah dapat bezakan mana satu orang yang nak berjaya dan mana satu orang yang cuma mahu kekal di tempat biasa.

6. Elak megomel, mengomen, mengata dan mencaci.
Elak fikiran negatif dengan berhenti mengomplen, mengomel untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Stop complaining! Elak bercakap pasal keburukan orang.

7. Bersyukur atas segala apa yang anda ada.
Bersyukur sebab anda masih hidup hari ini. Anda tak akan tahu bila Anda mati. Syukuri rezeki anda tiap kali anda makan dan tiap kali anda minum, walaupun anda cuma minum air kosong!. Amalkan berterima kasih pada Tuhan start dari sekecil-kecil nikmat hinggalah sebesar-besar nikmat.

Walaupun hidup anda bermasalah, sikap rajin bersyukur akan membuat masalah tu hilang sedikit demi sedikit. Jangan mulut anda  menjaja cerita sana sini "Saya sangat bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi pada saya selama ini..." tapi tindakan dan sikap anda langsung tidak menggambarkan apa yang anda cakap tu...itu yang akhirnya akan menyebabkan orang bertambah meluat dan tidak percaya kepada anda lagi....

Ubahlah sikap anda mulai dari sekarang, insaflah akan kelemahan diri anda, akuilah kesilapan yang telah anda lakukan, dan lakukanlah 'anjakan paradigma' dalam hidup anda sekiranya anda benar-benar serius mahu berjaya atau berubah...

Anda kekal dalam masalah sebab anda berfikiran negatif!!!

Sumber: sini

5 TIPS MENGHADAPI UJIAN ALLAH


1.          DUNIA INI SEMENTARA, ALLAH PENENTU SEGALANYA

Sentiasa
menyedari bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara dan permainan sahaja. Kita hidup atas dunia ini hanya sekali, jadi kita tidak boleh mensia-siakannya dengan sesuatu yang tidak bermakna.

Ikhtiar yang disertai dengan niat yang sempurna itulah yang perlu ada. Perkara
apapun yang terjadi, kita patut serahkan sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Tahu agar menentukan yang terbaik buat kita. Kita harus sedar betul bahawa, yang terbaik bagi kita menurut pandangan kita, belum tentu terbaik bagi kita menurut Allah Ta’ ala.

Pengetahuan kita tentang diri kita atau tentang apapun amat terbatas. Sedangkan pengetahuan Allah menyeliputi segala-galanya. Sehingga betapa pun kita sangat menginginkan sesuatu, tetapi hati kita harus kita persiapkan untuk menghadapi kenyataan yang tak sesuai dengan harapan kita. Kerana mungkin itulah yang terbaik bagi kita. Ingatlah bahawa, ALLAH itu Maha Adil lagi Bijaksana.
2.         REDHA
Realiti hidup yang terjadi pada kita, kita kena terima dengan redha dan seadanya.  Itulah kenyataan dan episod hidup yang harus kita jalani. Emosional, sakit hati, tertekan, atau apa jua perkara yang membuat hati kita menjadi kecewa dan sengsara, harus kita tinggalkan. Ingatlah bahawa, sama ada kita tertekan dan tidak gembira, atau kita tidak tertekan dan gembira, ia tetap begitu jadinya.
Maka adalah lebih baik kita redha dan terima apa yang berlaku dengan berlapang dada dan hati yang terbuka. Perit kita telan, manis pun kita telan. Nikmatilah pahit manis itu seadanya.
3.         INGAT JANJI ALLAH
Meyakini bahawa hidup ini bagai siang dan malam yang pasti silih berganti. Tak mungkin siang terus menerus dan tak mungkin juga malam terus menerus. Pasti setiap kesenangan ada hujungnya begitulah masalah yang menimpa kita, pasti ada akhirnya. Kita harus sangat sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan.
Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Ingatlah bahawa, semua fikiran negatif dan emosi buruk kita hanya akan mempersulitkan dan menyengsarakan diri kita saja. Pujuklah hati, agar kita tidak menekan diri sendiri. Hati dan fikiran kita dipujuk agar tetap tenang, tabah dan sabar. Kita harus berani menghadapi mehnah masalah ujian demi ujian. Kita tak boleh lari dari kenyataan. Kerana lari nya kita itu tak akan menyelesaikan masalah. Bahkan ia sebaliknya hanya akan menambah permasalahan.
Jadi, semua yang berlaku harus kita hadapi dengan baik. Kita tak boleh menyerah mudah, kita tak boleh kalah menyerah. Pastinya segala sesuatu itu ada akhirnya. Begitu jualah permasalahan yang kita hadapi. Seberat manapun ujian Allah pada kita, yakinlah dengan janji Allah Ta’ ala : “Fa innama’al usri yusran, inna ma’al usri yusran”. Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan, dan bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan. Janji Allah itu pasti benar. Kerana itu, apalah guna kita menekan diri.
4.         PASTI ADA HIKMAH
Semua apa yang terjadi, sama ada baik atau buruk, terjadi adalah dengan izin dan kehendak Allah Ta’ ala. Dan pastinya Allah tak mungkin berbuat sesuatu dengan sia-sia.
Setiap sesuatu perkara itu, pasti ada hikmah disebaliknya. Sepahit mana pun derita yang kita tanggung, pasti ada kebaikan yang terkandung di dalamnya jika kita terima dan hadapi dengan sabar dan redha. Cuba kita renung dan fikirkan, kenapa Allah mentakdirkan semua ini menimpa kita. Setidak-tidaknya ia adalah sebagai peringatan atas dosa-dosa dan kelalaian yang kita telah lakukan. Atau mungkin Allah mahu naikkan darjat dan kedudukan kita di sisi Nya.
Mungkin agak sukar untuk kita sedar kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Namun, iktibar dari setiap ujian yang menimpa sebenarnya mencerminkan amalan dan tingkah laku yang kita lakukan. Tak usah takut atau bimbang menerima kekurangan dan kesilapan yang kita telah lakukan. Yang penting, kita mesti berazam sungguh-sungguh untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.
Muhasabahlah diri, bertaubat atas dosa dan mohonlah hidayah dan kekuatan daripadaNya.
5.         ALLAH SAJA PENOLONG KITA
Kita wajib meyakini bahawa, walau seluruh manusia, jin dan semua makhluk atas dunia ini bergabung untuk menolong kita sekalipun, ketetapan Allah tetap akan berlaku. Semua usaha pasti tidak akan membuahkan hasil tanpa izin Allah Ta’ala. Hati kita mesti bulat yakin sepenuhnya bahwa hanya Allah lah satu-satunya yang dapat menolong dan memberi jalan keluar terbaik daripada sebarang perkara yang terjadi. Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya. Dialah pemilik dan penguasa segala sesuatu. Dialah yang mengatur segala-galanya.
Maka, kita harus bermunajat dan berusaha menagih simpati daripadaNya agar menolong kita. Mengadu dan dekatilah Allah dengan membuat amalan yang disukaiNya. Pohonlah hidayah, kekuatan dan pertolongan daripadaNya. Bebaskan hati dan diri kita daripada mengharap pada makhluk dan selain daripada Allah. Tagih dan pintalah pertolongan dengan sabar dan solat.
Ingatlah firman Allah Ta’ ala yang bermaksud “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya akan diberi jalan keluar dari setiap urusannya dan diberi rezeki dari arah yang tak disangka-sangka, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya akan dicukupi segala keperluannya.”(QS [65] : 2-3)

Sumber: sini