Sunday, April 10, 2011

KISAH BENAR: LUAHAN HATI ISTERI PEMBAWA HIV (1)


Kali ini aku akan publishkan luahan sebenar isteri-isteriku tentang pengalaman mereka mengharungi detik-detik kehidupan sebagai seorang isteri pembawa HIV. Isteri-isteri? Sila klik sini  dan sini.

Jika pandangan mereka positive bukan untuk membangga diri, negative bukan bermakna membuka aib sendiri. Entries ini aku publishkan tanpa sebarang editing dan insya-Allah akan ada lagi entries sebegini secara berkala di waktu yang difikirkan sesuai sebagai renungan dan dokumentasi. Mari baca…


Saya ingin berkongsi pengalaman tentang perubahan sama ada positive atau negative yang berlaku kepada suami saya setelah hampir 4 bulan beliau didiagnos sebagai HIV +ve. Bagaimana beliau menghadapinya mengikut perspective saya sebagai seorang isteri. Semoga perkongsian ini ada manafaatnya kepada pasangan HIV+ve yang lain. .

Pada permulaannya memang agak sukar beliau menerima kenyataan bahawa beliau ialah HIV+ve. Alhamdulillah dengan peredaran masa, doa dan usaha yang bersungguh-sungguh, akhirnya beliau dapat menjalani kehidupan seperti biasa bahkan lebih positive dari sebelumnya.

Sebagai isteri, saya sangat bersyukur kepada Allah atas perubahan yang berlaku. Yalah sebelum ini berbagai kebimbangan di hati saya. Bukan senang untuk menerima sesuatu yang sebegini dalam hidup. Beliau adalah ketua keluarga dan memainkan peranan yang besar dalam menjaga keharmonian keluarga.

Apa yang paling ketara, suami  saya lebih bersungguh-sungguh menjaga hubungan dengan Allah. Beliau sehabis daya bersegera mendirikan solat di awal waktu, banyak membaca Al Qur’an dan sentiasa  bersedekah. Sebenarnya  sejak dulu lagi beliau memang orang yang pemurah tapi sekarang ni semakin baik.

Beliau banyak meluangkan masa di rumah bersama  ahli keluarga dan menghargai masa2 berkualiti kami. Solat berjamaah dan makan bersama  adalah rutin keluarga kami. Jika perlu kemana2pun kami akan pergi bersama-sama.

Selain itu beliau juga berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini. Menitikberatkan soal kesihatan dan mengelakkan perkara2 yang boleh merosakkan kesihatan. Lebih prihatin terhadap kebersihan diri kami keluarga. Selalu mengelakkan daripada kawasan yang terdedah kepada jangkitan kuman seperti hospital, kawasan kotor dan sesak dan memakai topeng muka jika perlu.

Beliau sentiasa mendisiplinkan diri memakan ubat yang diberi oleh doctor dan mengambil supplement food untuk meningkatkan imunisasi badan. Beliau turut mengamalkan senaman dan mengawal berat badan, (tak turun2 pun…) seperti yang disarankan oleh doctor. Beliau lebih mempercayai doctor beliau sebagai tempat rujukan yang terbaik jika terdapat sebarang kekeliruan mengenai kesihatan. Bersenam juga menjadi aktiviti wajib jika berkesempatan.

Beliau semakin merendah diri dan menjaga hubungan sesama  manusia, contohnya cuba sedaya upaya menjaga silaturrahim dengan saudara mara, kenalan dan memenuhi permintaan anak2. Beliau juga banyak bersabar melayan kerenah ibunya yang sakit dan sudah berumur. Beliau bertindak cepat jika terdengar sesuatu perkara melibatkan kebajikan orang lain, contohnya melawat orang sakit di hospital.

Di tempat kerja pula, beliau rajin pergi bekerja dan berusaha terlibat dan menghadirkan diri dalam setiap program. Beliau kembali melayan hobinya semasa muda2 dulu iaitu memandu dan modifikasi kereta. Kembali mendengar muzik-muzik metal kegemaran ketika remaja. (yang entah apa2, bunyinya tu) Katanya bimbang nanti tak sempat nak menikmatinya lagi.

Timbul kesedaran untuk membantu orang2 yang senasib dan lebih menghormati orang lain. (tetapi seperti biasa masih liat membantu kami membuat kerja2 rumah) Rajin mencari maklumat berkaitan HIV dan sebenarnya jauh  lebih ‘happy.’

Dalamannya lebih terisi, kelihatan lebih tenang dalam kehidupan dan berupaya menangani stress dengan baik. Beliau juga sangat peka tentang soal kesihatan ahli anggota keluarga, mengamalkan hubungan intim yang selamat dan sangat berhati-hati menghindari jangkitan kepada ahli keluarga.

Saya dapati beliau lebih manja, semakin penyayang dan kadang-kadang mengada-ngada. Ada masa sensitive dan cepat tersentuh hati tetapi tak lama. Lebih berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

Saya perasan beliau agak trauma dan tertekan jika perlu berurusan dengan pihak hospital daerah kami seperti ketika menziarahi orang sakit atau menghantar ibunya mendapat rawatan. Sebenarnya beliau jadi sangat serik ke hospital.

Selain itu, beliau biasa2 saja. Lebih tepat beliau lebih cool, menikmati kehidupan dan lebih baik daripada sebelum disahkan HIV+ve.  

Kepada pasangan lain yang yang menghadapi keadaan yang sama dengan kami bersabarlah dan nikmatilah peluang yang ada dan berserahlah kepada Allah kerana sesungguhnya kita sebagai hamba, amat memerlukan pertolonganNya. Semua ini ketentuan Allah dan kita mesti redha.

Sebagai isteri pembawa HIV, kami sangat memerlukan suami menunjukkan kekuatan dan ketabahan menghadapi situasi ini. Kita sebagai sebuah keluarga perlu sandar menyandar, tolong menolong, menjaga emosi dan bertolak ansur.

Suami dan isteri perlu sama2 menjalankan tanggungjawab agar keharmonian rumahtangga dapat dikecapi. Kami sudah membuktikan bahawa kami berjaya menghadapinya lebih baik daripada sebelum suami dijangkiti HIV. (Besok lusa tak ada siapa yang tahu kecuali Allah) Jangan harapkan orang lain memahami kita sedangkan kita tidak berusaha memahami orang lain. Masing2 ada tekanan mereka sendiri.

Kepada para pembaca doakan keluarga kami bahagia, kesihatan yang berkekalan, tabah menghadapi setiap dugaan yang telah Allah tetapkan dan bersabar dalam menjalani kehidupan.  Amin.