Monday, April 04, 2011

VIRUS SEBENAR YANG TELAH MEMBUNUH PESAKIT HIV


DEMI membantu mengurangkan kes HIV dan Aids sedia ada, masyarakat negara ini digesa segera membuang segala stigma dan pandangan serong terhadap penghidap penyakit itu supaya mereka dapat hidup seperti manusia normal.

Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF), Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata penghidap HIV dan Aids juga berhak diberi peluang meneruskan kehidupan mereka seperti biasa dengan bantuan sokongan berterusan.

"Jangan wujudkan unsur diskriminasi terhadap pesakit HIV dan Aids tapi bantulah mereka daripada segi sokongan dan keperluan lain supaya jangka hayat mereka dapat dipanjangkan.

"Apa yang lebih membunuh mereka bukanlah penyakit itu tapi diskriminasi, pandangan serong, stigma dan tindakan memulaukan pesakit daripada menjalani kehidupan mereka sebagai manusia," katanya.


Kata Dr Adeeba, pesakit HIV dan Aids kini menerima pelbagai rawatan bagi membantu mengurangkan tandanya. Kebanyakannya tampak sihat secara luaran selain cergas dan boleh melakukan kerja seperti biasa, sama yang dilakukan orang lain.

"Pesakit HIV dan Aids ini sering digambarkan mengalami masalah kulit yang teruk dan berbau busuk padahal hakikatnya mereka tidak ubah seperti orang lain yang sihat dan cergas.

"Mereka juga boleh bersukan, bekerja, makan, minum, membeli-belah dan melakukan apa jua aktiviti seperti orang lain tanpa timbul masalah asalkan mereka serta masyarakat sekeliling faham bagaimana untuk mengelakkannya daripada merebak," ujarnya.

Justeru, kempen Hari Aids Sedunia 2010 yang berlangsung baru-baru ini dilihat sebagai salah satu medium untuk menyebarkan lagi maklumat mengenai HIV dan Aids serta membantu pesakit menerusi sistem sokongan dalam lingkungan komuniti.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari
www.mac.org.my atau hubungi Majlis Aids Malaysia di 03-40451033.

Sumber: mymetro

 
AHP: Maaf jika artikel ini pernah aku publish sebelum ini. Aku tak larat nak check. Curi-curi masa sambil jaga mak sakit. Rasa macam pernah, tapi rasa macam tak. Kalau ada, kira macam siaran ulanganlah ya. :)