Tuesday, April 05, 2011

6 PERATUS DARAH TERCEMAR!


Ini cerita lama tetapi apa salahnya kita refresh kembali sebagai perkongsian maklumat. 
Berita Harian; 19 Dec 2005
Oleh Annie Freeda Cruez

KUALA LUMPUR: Sikap enam peratus daripada penderma darah di negara ini yang menipu perisytiharan mandatori sebelum melaksanakan tanggungjawab murni itu nyata mendatangkan pelbagai masalah terhadap kakitangan Pusat Darah Negara (PDN).

Ini kerana darah yang disumbangkan mereka didapati dicemari kuman sifilis, Hepatitis B dan C serta HIV.

Tindakan mereka itu dengan sendirinya membazir masa, wang dan usaha kerana darah yang dicemari terpaksa dimusnahkan selepas dihantar bagi pemeriksaan penyakit berjangkit, termasuk menerusi hubungan seks.

Pengarah PDN, Dr Yasmin Ayob, berkata orang ramai tidak sepatutnya menderma darah jika berasa ragu terhadap tahap keselamatan darah mereka.

"Jika mereka mahu memeriksa sama ada darah masing-masing dijangkiti kuman, ia mesti dilakukan di hospital dan bukannya secara menderma darah.

"Kami memerlukan darah yang sihat dan selamat," katanya kepada New Straits Times di  sini, baru-baru ini.

Dr Yasmin berkata, beberapa kes menunjukkan virus bovine spongiform encephalopathy (BSE) yang dikenal pasti sebagai punca penyakit itu, dipindahkan menerusi darah.

Katanya, PDN turut memantau sindrom pernafasan yang teruk (SARS), selesema burung dan demam West Nile.

"Semua darah yang diderma disaring terlebih dulu dan hanya darah selamat dihantar ke hospital bagi dipindahkan kepada pesakit.

"Darah dalam simpanan akan dimusnahkan jika kami ragu-ragu mengenai status keselamatannya," katanya.

Malaysia adalah sebilangan kecil negara di dunia yang menyaring darah bagi mengesan HIV sejak 1985/86 dan Hepatitis C mulai 1991.

Sejumlah 447,690 pendermaan darah dilakukan tahun lalu, dengan 35 peratus membabitkan penderma baru.

Kebanyakan darah yang disumbangkan dibekalkan ke hospital di Lembah Klang, terutama Wilayah Persekutuan, diikuti Johor, Sabah, Perak, Selangor, Kelantan dan Sarawak.

Dalam beberapa keadaan, kata Dr Yasmin, penderma memang tidak mengetahui darah mereka dijangkiti kuman.

Akhbar Sunday Times Singapura keluaran 11 Disember lalu melaporkan lima lelaki menghidap HIV positif di negara itu dijatuhi hukuman penjara di antara lapan hingga 10 bulan kerana menipu mengenai rekod hubungan seksual mereka ketika menderma darah.

Malaysia belum mempunyai undang-undang seperti itu walaupun ia pernah dibincangkan.

FAKTA NOMBOR

140,000 - penderma darah setiap tahun
8,500 - penderma darah tercemar
FAKTA:
Individu yang tidak boleh menderma darah:
1.   Disahkan dijangkiti Aids atau HIV positif
2.   Mengalami hepatitis, sifilis atau malaria
3.   Pernah menyuntik diri dengan dadah
4.   Pernah mengadakan seks dengan pelacur, bertukar pasangan dan

      pasangan sejenis.
5.   Pernah menetap enam bulan atau lebih di Britain atau Ireland

      dari 1980 hingga 1996 dan Eropah (1980 ke atas)

Sumber: sini