Tuesday, April 05, 2011

UJIAN HIV DAN KESIHATAN SEBELUM KAHWIN


SETIAP orang mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia. Ada yang sanggup berhabis berpuluh ribu ringgit semata-mata mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang walaupun terpaksa berhutang.

Selain persiapan material, ada satu lagi persediaan penting yang perlu anda dan pasangan lakukan sebelum melangsungkan perkahwinan iaitu menjalani ujian kesihatan.

Ujian ini membantu mengenalpasti masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi pasangan dan anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

1.         Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka.

2.         Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD).

3.         Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemophilia, anemia dan kekurangan G6PD.

4.         Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia.

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 adalah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan.

Apa yang menyedihkan peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut 70 peratus dijangkiti virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Antara ujian lain yang turut disarankan adalah saringan untuk penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Talasemia dianggap antara penyakit genetik yang lazim membabitkan hampir tujuh peratus penduduk dunia. Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 bayi dilahirkan menghidap talasemia major (teruk).

Bagi pembawa genetik talasemia (juga dikenali sebagai talasemia minor) biasanya tidak mengalami sebarang gejala; atau jika ada ia sangat ringan seperti keletihan yang dianggap ‘masalah biasa’ dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan adalah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Ujian kesihatan pra perkahwinan bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang bakal dihadapi kelak pada pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .
Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatandemi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

Sumber: sini


AHP: Sila klik di sini untuk melihat contoh surat pekeliling ujian hiv kepada bakal pengantin.