Monday, April 11, 2011

PENYAKIT DUNIA KE-3 HALANGAN UNTUK MAJU (KAITAN HIV & TB)

Penduduk Malaysia sudah lama lupa tentang penyakit batuk kering yang juga dikenali sebagai tibi. Penyakit ini hanya tinggal sebagai satu ingatan daripada zaman penjajahan sebelum merdeka. Pada masa itu, batuk kering merupakan pembunuh nombor satu.

Hari ini, tidak ramai yang ingat hospital tibi yang dibina untuk mengasingkan pesakit-pesakit batuk kering bagi mengurangkan jangkitannya ke atas penduduk lain. Walaupun bila sudah terdapat ubat bagi merawati tibi pada sekitar lewat 1950-an, penyakjit tersebut telahpun menjadi punca utama kematian dan kehilangan upaya di seluruh negara.

Batuk kering adalah satu penyakit yang sangat teruk. Ia bermula dengan batuk yang tidak mahu hilang. Selepas itu, pesakit akan hilang selera makan dan tubuhnya perlahan-lahan menjadi kering dan kerepot. Dia akan batuk darah, tubuhnya menjadi sangat lemah dan dadanya sakit setiap kali menarik nafas.

Apabila Malaya mencapai kemerdekaan, Kerajaan yang baru menyedari betapa seriusnya penyakit ini dan mengambil langkah yang lebih bersungguh-sunnguh bagi melindungi orangramai daripada terkena batuk kering. Malah, penghapusan penyakit tersebut menjadi sebahagian daripada manifesto Parti Perikatan.

Limabelas tahun selepas tibi mencetuskan huru-hara terhadap kehidupan penduduk Malaya, kerajaan Malaysia melancarkan Program Kawalan Tibi Kebangsaan pada 1961. Dengan program kawalan itu serta kedapatan antibiotik dan langkah memasukkan suntikan BCG ke dalam program imunisasi kebangsaan bagi melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti tibi, wabak yang dahsyat itu pun dapat dikurangkan dengan berkesan.

Persoalannya, apakah penyakit batuk kering sudah tiada lagi? Jawapannya, tidak. Ini saya tahu.

Pada dekad-dekad baru lalu, kita begitu sibuk bergelut memerangi penyakit-penyakit akibat gaya hidup moden seperi kegemukan, kencing manis, sakit jantung dan kanser sehingga orangramai dan juga kalangan perubatan sendiri menjadi lalai tentng penyakit batuk kering.

Semasa Sesi ke-61 Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Kuala Lumpur yang baru lalu, saya mengumumkan bahawa batuk kering masih merupakan satu penyakit utama di Malaysia dengan 17,000 kes pada tahun lalu. Angka ini terus meningkat setiap tahun.

Saya sangat sedih dengan angka yang begitu tinggi memandangkan kita kini mempunyai ubat yang sangat berkesan bagi merawat tibi dan juga program rawatan DOTS (Directly Observed Treatment-Short course) yang memastikan para pesakit selesai menjalani terapi masing-masing.

Tahun lalu, lebih daripada 1,000 pesakit mati akibat tibi. Saya tidak dapat bayangkan apa perasaan orang-orang yang mereka sayangi apabila mereka meninggal dunia kerana penyakit yang sepatutnya sudah tidak ada lagi.

Bagaimanapun, terdapat cabaran-cabaran baru dalam persekitaran kita yang memberi bakteria terbabit peluang membolosi pertahanan kita.

Sebenarnya, bukanlah satu kebetulan apabila penyakit batuk kering mula muncul semula pada pertengahan 1980-an, wabak HIV juga perlahan-lahan mula menjadi ancaman.

Mereka yang hidup dengan HIV telah menyerah dan melemahkan sistem kekebalan, hatta, menjadikan mereka mudah terkena batuk kering. Hakikatnya, batuk kering adalah punca utama kematian di kalangan mereka ada HIV.

Apa yang lebih menakutkan ialah batuk kering yang lali kepada pelbagai ubat (MDRTB - multi-drug resistant TB). Mereka yang menanggung penyakit ini tidak dapat dirawat dengan antibiotik yang biasa digunakan, yang lazimnya berkesan, kerana mereka dijangkiti bakteria daripada jenis yang sudah menjadi lali kepada ubat.

Malangnya, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa ekoran kemunculan bakteria yang lali ubat ini. Apabila pesakit meninggalkan rawatan, menghentikan terapi separuh jalan, diberi ubat yang salah atau ubat bermutu rendah, bakteria yang ada di dalam badan tidak dapat dihapuskan. Ini membolehkannya muncul semula dan menyerang dengan lebih ganas lagi.

Salah satu cabaran yang kami hadapi ialah mengesan pesakit tibi, terutama sekali pesakit yang mempunyai bakteria lali ubat. Nasib baiklah sekarang ini terdapat kaedah ujian makmal yang membolehkan pesakit ini dikenalpasti dalam masa 90 minit sahaja berbanding dua bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, masalah paling besar yang kami hadapi ialah memastikan pesakit menghabiskan proses rawatan sepenuhnya, tidak kira sama ada mereka menghadapi batuk kering biasa atau yang jenis yang sukar dirawat dengan antibiotiki. Jika batuk kering jenis yang sukar dirawat masih tidak respon kepada ubat mahal yang sepatutnya berkesan, maka kami tidak ada apa lagi untuk melawan penyakit ini.

Saya tidak mungkin dapat menekankan betapa pentingnya rawatan bagi penyakit tibi. Salah guna antibiotik adalah satu amalan sangat bahaya yang tidak boleh dipandang ringan.

Sekiranya kita tidak dapat mengubah tren penyakit batuk kering ini, kita akan mendapati diri kita semakin jauh daripada matlamat kita untuk mencapai Millennium Development Goal yang ke-6 iaitu memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain menjelang 2015.

Kita hanya 10 tahun sahaja lagi daripada menjadi negara maju. Kita tidak boleh membiarkan satu penyakit yang biasanya terdapat di dunia ketiga menghalang kita daripada mencapai matlamat tersebut.


* Dato’ Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. Dalam ruangan ini, beliau berkongsi pandangan peribadinya tentang kesihatan serta perkembangan dalam penjagaan kesihatan di Malaysia. Ikut beliau dalam blognya (www.liowtionglai.com/blog), atau melalui Twitter (@liowtionglai