Dr. Iskandar Firzada bin Osman
1 April 2011, aku menerima SMS daripada Dr. Iskandar yang mencadangkan aku hadir pada 18 April untuk review keputusan ujian darah yang telah dijalankan pada 15 Mac. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, kami bersetuju temujanji tersebut dianjak ke 19 April 2011.
Jika masih ingat dalam entry ini (sila klik) aku berkongsi pengalaman menjalani ujian darah untuk mengetahui CD4,CD8 dan Viral load.
Petang 19 Mac aku yang ditemani isteri dan anak bongsuku terpacak di KK yang berkaitan. Seperti biasa aku sebenarnya gementar untuk berurusan dengan pihak KK mahu pun hospital. Selain itu aku berdebar untuk mengetahui result ujian CD4ku yang pertama.
Memandangkan aku rasa aku ‘sihat’ tanpa apa-apa symptom khusus berkaitan HIV (malahan berat badan pun makin naik), aku menjangkakan belum sampai tahapnya aku perlu menjalani rawatan HAART. Lantaran itu, aku tidak begitu bersedia untuk bertanyakan soalan-soalan lebih detail tentang HAART daripada doctor pada kali ini.
Walau bagaimanapun, memang menjadi prinsipku sentiasa bersikap ‘always expect an unexpected’.
Tidak lama kemudian kami dijemput masuk oleh Dr. Iskandar.
Setelah saling bertanya khabar, Dr. Iskandar pun memaklumkan bahawa hanya result CD4ku sahaja yang sudah diterima oleh pihak KK. Keputusan ujian CD8 & Viral Load akan dimaklumkan kemudian. Namun begitu, keputusan ujian CD4 sudah memadai sebagai indicator untuk menentukan keputusan sama ada aku memerlukan rawatan HAART atau tidak.
Rupa-rupanya result bacaan CD4 aku hanya 46 sel sahaja. Bayangkan 46, sedangkan bagi orang sihat jumlahnya antara 350-1900 sel! Walau pahit, aku redha saja dengan hakikat dan suratan hidup.
Disebabkan aku yakin bahawa aku baru sahaja terdedah kepada virus ini, spontan aku bertanya, adakah jumlah CD4 yang rendah tersebut menunjukkan bahawa aku telah lama dijangkiti HIV?
Doctor menjelaskan bahawa jumlah tersebut tidak mencerminkan lama atau barunya sesuatu jangkitan dan jika berdasarkan sejarahku sebagai pesakit diabetes, ianya adalah situasi yang biasa terjadi kepada pembawa HIV yang sedia mempunyai masalah imunisasi yang rendah.
Beliau sekali lagi menerangkan tentang rawatan HAART kepadaku. Beliau memaklumkan aku perlu mengambil kombinasi Combivir (Lamivudine & Zidovudine) dan Nevirapine , menerangkan aturan pengambilan dan kesan-kesan sampingannya (sila klik sini).
Walau bagaimanapun kesan sampingan adalah berbeza bagi setiap individu. Ianya banyak bergantung kepada ketahanan badan seseorang.
Walau bagaimanapun kesan sampingan adalah berbeza bagi setiap individu. Ianya banyak bergantung kepada ketahanan badan seseorang.
Banyak juga yang kami bincangkan maklumlah ini kali pertama aku perlu melaluinya. Selain itu terdapat juga beberapa isu lain yang berkaitan. Insya-Allah akan aku kongsikan secara umum dalam entries yang lain.
Dr. Iskandar melayan karenahku dengan penuh sabar dan memberikan nasihat dan pandangan dengan jelas. Alhamdulillah berkat pertolongan Allah dan keikhlasan serta kesungguhan beliau, sesi kaunseling dan review tersebut sangat membantuku.
Menariknya, aku didiagnos HIV positive pada tarikh hari lahir anakku (28 Disember) dan aku sepatutnya memulakan HAART treatment pada hari lahirku (20 April). Maka Combivir (Lamivudine & Zidovudine) dan Nevirapine adalah hadiah hari lahir yang paling meninggalkan kesan abadi. (sebenarnya aku tak sambut hari lahir tetapi kalau family aku bagi hadiah, aku sapu. hehe…)
Disebabkan aku perlu menyiapkan beberapa tugasan khusus dan penting, aku memilih untuk mula mengambilnya pada hari ini (22 April 2011 / Jumaat). Aku tidak mahu kemungkinan kesan sampingan rawatan mengganggu deadline tertentu.
Selain itu aku mendapat beberapa nasihat dan sokongan daripada beberapa orang sahabat yang sentiasa menghubungiku sama ada melalui SMS atau emel seperti Adi dan Puan Annafira.
Saudara Adi sudah pesan awal-awal supaya aku tidak panic serta mesti kuat jiwa dan minda untuk menghadapinya. Melalui pengalamannya, Adi tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan kecuali sedikit alahan dengan bau perfume dan gatal-gatal yang ringan.
AHP : Jazakallah khier & jutaan terima kasih kepada Dr. Iskandar atas segala jasabaik beliau. Semoga Allah membalas segala pertolongan dengan melimpahkan rahmat yang berganda kepada beliau sekeluarga.
Juga kepada semua rakan-rakan yang menyokong. Insya-Allah aku mampu menjalani kesan sampingan (sementara) rawatan HAART ini.
Jika blog ini sunyi dan sebarang komen tidak dibalas sementara waktu, mohon situasi tersebut difahami. Yang pasti perjuangan mesti diteruskan. Tolong doa-doakan.
Insya-Allah segala pengalaman ini akanku kongsi untuk panduan pembawa HIV yang lain.