Wednesday, April 06, 2011

CABARAN SEBENAR PEMBAWA HIV YANG INGIN BERKAHWIN


Okay, ini entry yang aku janjikan. Kesinambungan daripada entry ini. (sila klik)

Kita create satu watak utama, namanya Ali. Sedang hangat bercinta dengan Ani.

Setelah persetujuan dicapai, Ali dan Ani sepakat untuk berkahwin. Rombongan peminangan pun dihantar dan alhamdulillah kedua-dua belah keluarga merestui. Menurut perancangan mereka bertunang selama 6 bulan.

Ali dan Ani pun berkursus kahwin. Selepas itu Ali dan Ani dikehendaki menjalani ujian saringan HIV untuk meneruskan hasrat berkahwin. Mereka menjalaninya dengan yakin tetapi alangkah terkejutnya Ali apabila doctor memaklumkan dia HIV positive! Seluruh isi dunia dirasakan telah menghempap kepalanya.

Rupa-rupanya selama ini Ali ialah asymptomatic HIV patient. Ali akur kerana lebih kurang 5 tahun yang lalu dia pernah terbabas melakukan hubungan seks dengan seorang bohsia beberapa kali.

Sekarang kita imaginasikan apa yang sedang dan akan Ali lalui.

1.   Kemungkinan besar Ali akan mengalami major depression dalam tempoh tertentu kerana buntu dengan kenyataan yang baru diterimanya. Rasa kesal, keliru, marah, malu, bingung, sedih, takut dan sebagainya menyerbu fikiran. Ali merasakan dirinya tidak berguna dan terfikir untuk membunuh diri.

2.   Ali takut kehilangan Ani jika berterus terang tentang statusnya sebagai pembawa HIV dan rasa aib untuk mendedahkan kesilapan lampau. Ali bimbang dihukum sebelum diadili. Jika Ani memaafkannya, adakah Ani masih sanggup menerima dia sebagai suami?

3.   Ali buntu untuk berterus terang kepada keluarga terutama kepada keluarga Ani. Ali tiada pilihan selain terpaksa mengambil risiko berbincang dengan Ani kerana hari perkahwinan mereka semakin hampir.

4.   Ani terkejut, sedih, menangis dan mungkin menyalahkan Ali sedangkan Ali tak mampu mengubah sejarah yang telah berlaku. Kesedihan Ali menjadi berganda.
(Nasib baik Ali masih sanggup berterus-terang. Banyak kes pembawa HIV yang didiagnos selepas berkahwin bersikap merahsiakannya daripada pasangan)

5.   Ali dan Ani mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada kaunselor. Kaunselor mencadangkan beberapa pilihan tetapi secara umumnya kaunselor sangat menitik beratkan soal risiko jangkitan terhadap pasangan, zuriat, stigma, diskriminasi dan judgmental yang bakal dilalui.

6.   Selepas 2 minggu, Ani membayangkan hasrat untuk memutuskan tali pertunangan. Ali sedih, ketakutan dan merayu-rayu kehampaan. Ali terpaksa akur kerana dialah yang menjadi puncanya dan Ali tidak mampu memaksa Ani.

7.   Walaupun ‘separuh nyawa pergi’ (wah, bombastic…!) Ali dan Ani terpaksa mengambil keputusan memilih haluan sendiri. Masing-masing sangat merana dan Ani kononnya berjanji kekal sebagai sahabat baik. Bila begini biasanya simpati masyarakat hanya tertumpu kepada Ani. Terkapai-kapailah Ali keseorangan, mentang-mentanglah dia pembawa HIV.

8.   Untuk menutup aib, Ani bersetuju merahsiakan masalah Ali dan pertunangan diputuskan dengan alasan ‘tiada persefahaman’ 3 bulan menjelang perkahwinan.

Katakanlah Ani rela menerima Ali…

1.   Ani pun automatically menjadi ahli kelab ‘golongan berisiko tinggi’.

2.   Mereka rasa bersalah kerana berahsia dan keliru untuk berterus-terang kepada keluarga. Kalau berterus-terang, faham-faham sajalah.

3.   Mereka bimbangkan keadaan kesihatan Ali, risiko jangkitan kepada Ani dan takut memiliki zuriat.

4.   Hubungan dan penerokaan aktiviti seks mereka sebagai pasangan yang baru berkahwin menyebabkan mereka sukar mengamalkan seks yang selamat.

5.   Cabaran menyesuaikan diri sebagai pasangan yang baru berkahwin menjadi berganda kerana status Ali sebagai pembawa HIV.

6.   Ali kadangkala murung dan Ani pula keliru dengan keadaan Ali dan proses rawatan. Ulang alik dan rutin mendapatkan rawatanpun sebenarnya ada tekanan tersendiri.
Kadang-kadang masalah kewangan dan kekangan merancang masa depan boleh terjadi. Tekanan-tekanan ini kadangkala menyebabkan Ani ‘ter’ungkit kesalahan lama Ali. Bayangkan lukanya Ali bila diungkit dan dipersalahkan.

7.   Tekanan daripada keluarga semakin memuncak apabila semakin lama berumahtangga. Contohnya apabila berdepan dengan soalan-soalan cepu emas seperti “Bila korang ni nak dapat anak?”

8.   Tau-tau Ani disahkan hamil. Alhamdulillah bakal dapat anugerah Allah tetapi na’uzubillah tentang risiko… bayangkan ketakutan mereka jika berlaku jangkitan kepada Ani dan zuriat.

Katakanlah Ani meneruskan kehamilan tetapi tidak lama kemudian…

1.  Doctor mengesahkan Ani turut didapati HIV positif. (walaupun tak semestinya berlaku)

2.  Bayi yang dilahirkan pun turut didiagnos HIV positif. (walaupun tak semestinya berlaku)


Kalaulah 2 perkara terakhir ini berlaku... Bagaimana jika Ani akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Ali? Cubalah bayangkan situasinya. Atas rasional tersebutlah aku menyarankan kepada pasangan pembawa HIV supaya berfikir dengan mendalam sebelum bersetuju mendirikan rumahtangga. Cinta semata-mata tidak akan bawa kita ke mana-mana.

Pembawa HIV pula mestilah menunjukkan kecekalan dan positive. Kasihanlah kepada anak isteri...

Akhir kata daripada aku, siapa sebenarnya yang paling merana dan sering dipersalahkan? Cubalah renung dengan mata hati. SEBAGAI PEMBAWA HIV, KAMI TIADA PILIHAN SELAIN AKUR DENGAN KEPENTINGAN ORANG SIHAT! Bayangkan jika anda berada di posisi itu. Hulurkan tangan dan cukup-cukuplah menghukum. 


AHP: Aku rasa perkahwinan antara sesama pembawa HIV dan salah seorang daripada mereka matang boleh mengurangkan tekanan. Walau bagaimanapun langkah-langkah pencegahan kehamilan perlulah diambil. Don’t worry. Allah tak pernah zalim…